Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NSF main peranan penting lindungi SG, kata Dr Faishal Ibrahim susuli pemergian CPL Edward Go

Anggaran Waktu Membaca:
NSF main peranan penting lindungi SG, kata Dr Faishal Ibrahim susuli pemergian CPL Edward Go

Jambangan bunga yang diletakkan oleh orang awam pada 10 Dis 2022 di luar Balai Bomba Central di Hill Street, di mana Korporal Edward H Go bertugas. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Para anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) dan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (ORNSmen), serta para kakitangan sepenuh masa memainkan peranan yang penting dalam melindungi Singapura.

Ini agar semua rakyat Singapura berupaya menjalani kehidupan seharian dalam keadaan yang selamat.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam catatan Facebooknya hari ini (11 Dis) menyusuli kematian seorang anggota bomba NSF ketika memadamkan kebakaran di sebuah flat di Henderson Road pada Khamis (8 Dis) lalu.


Koperal (CPL) Edward H Go akan sentiasa diingati atas keberanian dan jasanya kepada negara, tegas Dr Faishal dalam catatan Facebooknya itu.

Ini kerana CPL Edward jelas mempertaruhkan nyawanya semata-mata untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang anggota bomba untuk melindungi serta menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Dr Faishal, malah turut menekankan bahawa SCDF kehilangan salah seorang anggota bomba terbaik.

Mendiang CPL Go, yang berusia 19 tahun, adalah anggota bomba pertama yang gugur di medan tugas.


Dr Faishal juga berkongsi bahawa beliau telah menziarahi keluarga CPL Go dan hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga CPL Go bagi pihak kementeriannya itu.

Menyusuli insiden tersebut, Dr Faishal menekankan betapa rakyat Singapura sepatutnya berasa terhutang budi dengan mereka yang berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara (NS) kerana mereka sering kali mempertaruhkan nyawa demi menjaga kebajikan dan keselamatan seluruh rakyat Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan