Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NSF dipenjara, disebat kerana edar dadah; jual ganja secara sampingan

Anggaran Waktu Membaca:
NSF dipenjara, disebat kerana edar dadah; jual ganja secara sampingan

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 12 Aug 2024 05:52PM Dikemas Kini : 12 Aug 2024 08:32PM

SINGAPURA: Seorang Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) yang menjual ganja secara sampingan, diberkas di sebuah kem tentera selepas Biro Narkotik Pusat (CNB) menangkap salah seorang pelanggannya.

Min Soe Htat, 26 tahun, seorang warga Myanmar dan Penduduk Tetap (PR) Singapura, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu bulan, serta 10 sebatan rotan pada Isnin (12 Ogos).

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) kerana mengedar 3.3 gram (g) ganja dan memiliki 21.87g ganja bagi tujuan pengedaran, dengan dua lagi tuduhan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Min Soe Htat membeli 50g ganja dari seorang penjual pada harga S$420 pada 6 Oktober 2023.

Ganja tersebut dibahagikan kepada enam bungkusan, dengan niat untuk menjualnya kepada pelanggannya.

Min Soe Htat mempunyai lapan pelanggan tetap yang akan membeli ganja daripadanya, dan dia akan menggunakan keuntungan itu untuk perbelanjaan peribadinya.

Pada kira-kira pukul 3.00 petang pada 10 Oktober 2023, pegawai CNB memberkas tertuduh Nyi Thu San, salah seorang pelanggan Min Soe Htat.

Para pegawai CNB kemudian pergi ke sebuah kem tentera, di mana mereka memberkas Min Soe Htat kira-kira satu setengah jam kemudian.

Pegawai tersebut menggeledah rumah Min Soe Htat dan merampas beberapa alat berkaitan dadah, termasuk enam bungkusan yang ditemui secara keseluruhan mengandungi sekurang-kurangnya 21.87g ganja.

Ganja adalah dadah terkawal Kelas A di bawah MDA.

Siasatan menunjukkan bahawa Nyi Thu San mengenali Min Soe Htat pada Julai 2023 dan mula membeli ganja daripadanya selepas itu.

Pada Oktober 2023, Nyi Thu San membeli 15g ganja daripada Min Soe Htat dengan harga S$300.

Pendakwa meminta hukuman penjara antara lima tahun dengan lima tahun dan sebulan buat Min Soe Htat, serta 10 sebatan rotan.

Beliau berkata Min Soe Htat mempunyai pelanggan tetap dan "mula menawarkan dadah lain seperti methamphetamine, selain ganja".

Dia juga "didorong oleh keinginan untuk meraih keuntungan melalui cara yang salah," tambah pendakwa.


Atas kesalahan mengedar dadah terkawal Kelas A, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, dan antara lima hingga 15 sebatan rotan.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan