Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NSF dan NSmen terima elaun bulanan lebih tinggi

Mulai 1 Mac, anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dan anggota kerahan (NSmen) bagi semua pangkat menerima kenaikan elaun NS bulanan mereka antara S$70 hingga S$120.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Mar 2020 05:18PM Dikemas Kini : 02 Mar 2020 11:09PM

SINGAPURA: Mulai 1 Mac, anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dan anggota kerahan (NSmen) bagi semua pangkat menerima kenaikan elaun NS bulanan mereka antara S$70 hingga S$120. Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How mengumumkan demikian di Parlimen pada Isnin (2 Mac) semasa perbahasan Jawatankuasa Bekalan kementeriannya hari ini.

Penambahan elaun itu termasuk kenaikan dalam kedua-dua komponen elaun pangkat dan kerja. Sebagai sebahagian daripada semakan itu, semua anggota NS mendapat elaun kerja sekurang-kurangnya S$50 sebulan. Mereka yang kini menerima elaun tempur atau operasi akan mendapat tokokan sehingga S$100.

Ini bermakna NSF yang memegang pangkat Rekrut atau Pelatih akan mendapat S$630 sebulan, naik daripada S$560 sekarang.

Seorang penyelam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), polis unit Taktikal Polis NSF Pasukan Polis Singapura (SPF), atau anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang memegang pangkat Korporal akan mendapat S$1,050, naik daripada S$930 sekarang.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan elaun itu menyokong keperluan asas anggota NS dan disemak dari semasa ke semasa. Encik Heng berkata kenaikan itu juga sebagai mengiktiraf sumbangan mereka.

Encik Heng turut mengumumkan langkah-langkah lain untuk memperbaiki pengalaman NS bagi semua anggota sambil menekankan bahawa "aset paling besar" SAF adalah anggotanya.

Salah satu langkah adalah melanjutkan ujian PREP4NS yang menawarkan keanggotaan percuma setahun bagi kemudahan gim SAFRA EnergyOne ke gim-gim ActiveSG bagi bakal anggota NS.

Program PREP4NS diumumkan October lalu untuk mempersiapkan bakal anggota NS untuk Ujian Kecergasan Jasmani Individu (IPPT) dan fizikal NS.

MINDEF menyatakan lebih 6,000 sudahpun mendaftarkan diri bagi keanggotaan itu sejak ia dilancarkan November lalu. Kementerian itu menambah ia sedang bekerjasama dengan Sport Singapore untuk memperluaskan ujian program tersebut ke 24 gim ActiveSG. Pendaftaran bagi ujian itu berakhir pada 30 April.

Selain itu, Encik Heng berkata MINDEF bekerjasama dengan Majlis Penasihat bagi Hubungan Masyarakat dalam Pertahanan untuk melantik penyelaras NS yang berdedikasi bagi membantu bakal anggota NS daripada latar berbeza dengan pertanyaan-pertanyaan berhubung NS.

Berhubung penambahbaikan semasa NS, Encik Heng berkata MINDEF akan memberi subsidi penuh bagi yuran kursus Program Pekerjaan Sebelum Tamat NS (E-PREP) dan bukan lagi subsidi sehingga 90 peratus seperti sekarang.

NSF boleh memilih daripada lebih 4,000 kursus dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), turut menawarkan tambahan daripada 3,000 kursus sedia ada.

Encik Heng berkata MINDEF juga menggunakan teknologi untuk menjadikan pelbagai aspek NS - seperti pentadbiran, latihan dan jagaan kesihatan - lebih lancar.

Pada Jun, ia akan melaksanakan ePerkhidmatan yang dipertingkat seperti urus niaga online lebih mudah bagi permohonan bon dan permit keluar agar bakal anggota NS boleh menyelesaikan kebanyakan urus niaga secara online.

Di samping tu, rundingan maya di pusat perubatan SAF dan peranti teleperubatan seperti stetoskop digital akan membolehkan akses lebih pantas dan mudah kepada khidmat-khidmat perubatan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan