Skip to main content

Singapura

NSA bakal pergiat inisiatif bantu warga emas tingkat kemahiran

Dalam tempoh tiga tahun sahaja sejak ditubuhkan pada 2016, Akademi Kebangsaan bagi Warga Senja (NSA) sudah membantu lebih 32,000 warga emas untuk menimba kemahiran baru menerusi program-programnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam tempoh tiga tahun sahaja sejak ditubuhkan pada 2016, Akademi Kebangsaan bagi Warga Senja (NSA) sudah membantu lebih 32,000 warga emas untuk menimba kemahiran baru menerusi program-programnya.

Dalam tempoh yang sama juga, jumlah kursus yang ditawarkan akademi itu turut naik lebih seganda, di mana warga emas kini boleh memilih lebih 1,000 kursus. Ini di samping melanjutkan jadual kursus kepada hujung minggu, bagi memudahkan warga emas menimba pengalaman baru dan kekal aktif.

Perangkaan terbaru itu antara yang dikongsi Presiden Halimah Yacob sempena sambutan ulang tahun NSA yang diadakan di Perpustakaan Negara petang tadi (2 Aug).

Related article image

Perkembangan ini, kata Presiden Halimah, memberangsangkan kerana ia satu petanda bahawa golongan warga senja mempunyai azam yang kuat untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

AKSES LEBIH BAIK UNTUK WARGA EMAS TINGKAT KEMAHIRAN

Bagi mempertingkat peluang-peluang pembelajaran, Presiden Halimah turut mengumumkan bahawa majlis yang mentadbir NSA, iaitu Council for Third Age (C3A), akan menjalin kerjasama dengan rakan-rakan korporat dan kesatuan untuk menganjurkan kursus-kursus di tempat kerja para pekerja lanjut usia.

C3A juga akan berusaha mengadakan kursus-kursus NSA di lebih banyak kawasan agar peluang terus terbuka kepada mereka.

Sejauh ini, terdapat tiga jenis kursus bersubsidi yang ditawarkan NSA iaitu kursus singkat, kursus bebas peperiksaan dan program pembelajaran antara generasi.

Dalam ucapannya, Presiden Halimah turut berkata, C3A akan menerapkan hasil-hasil kajian untuk memastikan pengalaman pembelajaran yang optimal bagi para warga emas selain memenuhi keperluan mereka yang berubah-ubah.

Related article image

"Beberapa kajian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan penggunaan teknologi dan kepelbagaian dalam kaedah pendidikan boleh menarik minat warga emas. Usaha kita untuk merubah menjadi sebuah Negara Bijak menyediakan peluang-peluang untuk menyokong lebih baik pembelajaran sepanjang hayat," kata Presiden Halimah.

"Warga senja Singapura pada masa hadapan akan menjadi lebih berilmu dan celik digital, memanfaatkan wadah-wadah digital untuk mengakses pelbagai khidmat, maklumat dan rangkaian sosial."

Kaedah pembelajaran online juga sedang dipertimbangkan. Buat masa ini, maklumat bagi kursus-kursus yang ditawarkan NSA boleh diakses melalui satu aplikasi mudah alih.

WANITA MELAYU 61 TAHUN DIPUJI PRESIDEN HALIMAH

Menarik perhatian kepada beberapa peran contoh yang sudah mengikuti kursus-kursus NSA, Presiden Halimah berkongsi satu kisah tentang seorang wanita berusia 61 tahun bernama Cik Hamidah.

Related article image
(Gambar hiasan: Alex/Unsplash)

Pada 2003, Cik Hamidah dibuang kerja setelah berkhidmat dalam sektor pelancongan selama 20 tahun lamanya. Beliau kemudian menjadi seorang suri rumah dan hanya bekerja sambilan.

Namun, beliau terus mencari cara untuk mempertingkat kemahiran dan menyifatkannya sebagai satu cara untuk menghilangkan rasa tertekan.

Berkat kegigihannya yang rajin bertanya, Cik Hamidah mula yakin diri untuk membuka perniagaan biji kopi - walaupun beliau ketika itu sudah berusia 56 tahun!

"Tidak ramai dan semua yang ingin berkongsi selok-belok perniagaan. Jadi saya cari di Internet dan mendapat tahu tentang NSA," cerita Cik Hamidah.

BAGAIMANA NSA MEMBANTU?

Sejak 2017, Cik Hamidah mengambil tiga kursus NSA untuk membantunya berdaya saing dalam sektor perniagaan. Antaranya termasuk tentang pemasaran, perundingan dan membina model perniagaan.

Related article image

Dengan ilmu yang diraih, Cik Hamidah mahir memasarkan perniagaannya menerusi media sosial dan secara online.

Tidak terhenti di situ, beliau turut berhasrat untuk terus mengikuti kursus lain.

Perniagaan biji kopi yang diusahakan sendiri oleh Cik Hamidah sudah bertahan sekitar lima tahun!

"Keinginan Cik Hamidah untuk mempertingkat dirinya patut dicontohi. Saya harap, kisahnya akan menyuntik inspirasi kepada lebih ramai warga emas untuk terus menimba pengetahuan dan kekal sebagai penyumbang aktif dalam masyarakat kita," kata Presiden Halimah.

Dalam pada itu, satu acara sempena sambutan ulang tahun ketiga NSA diadakan di Perpustakaan Negara untuk mendedahkan warga emas kepada program-program yang ditawarkan. Ia akan berlangsung hingga esok (3 Ogos).  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita