Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NParks terima 200 maklum balas tentang ular tedung sejak 12 bulan lalu

Lebih 200 maklum balas orang ramai berkaitan ular tedung atau 'cobra' diterima Lembaga Taman Negara (NParks) sepanjang 12 bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih 200 maklum balas orang ramai berkaitan ular tedung atau 'cobra' diterima Lembaga Taman Negara (NParks) sepanjang 12 bulan lalu.

Ini didedahkan NParks sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp mengenai kejadian seekor ular tedung hitam yang dilihat di Blok 24 Pusara Aman baru-baru ini.

Dalam satu video yang dimuat naik pengguna Facebook bernama Ramzul Ihsan, seekor ular tedung hitam ditemui menjalar di bahagian dapur-dapur kubur tanah perkuburan tersebut.

Yang membimbangkan adalah, ia sejenis ular berbisa. Jika dipatuk, bisanya boleh membawa maut.

"Terutama sekali kalau anda berada di blok-blok lama dengan rumput-rumput tinggi, tolong berhati-hati, buat bising, bukan untuk menakutkan mereka, tetapi supaya haiwan itu tahu tentang keberadaan anda," tulis Encik Ramzul Ihsan yang menyatakan bahawa video itu dirakam seorang pembuat dapur-dapur kubur.

Semasa BERITAmediacorp berkunjung ke Pusara Aman pada petang Selasa (17 Ogos), seorang pembersih kubur memberitahu kami bahawa ular sememangnya sering dilihat di tanah perkuburan.

"Apa yang saya nampak ada dalam 6 hingga 7 ekor gitu. Kalau nak cakap, banyak. Yang kecil-kecil itu memang ada. Bila rumput panjang setelah dipotong seminggu atau dua minggu sekali, kadang-kadang dia mula merayap. 'Rumahnya' itu ibarat sudah kena potong, jadi nampak ular berkeliaran," kata Encik Abu Hassan yang sudah bekerja sebagai seorang pembersih kubur selama 15 tahun.

Lelaki berusia 59 tahun itu menambah, ular tedung yang dilihatnya pula biasanya berukuran lebih satu meter.

Jadi sejauh mana wujud kes-kes pengunjung dipatuk ular berlaku?

"Selama saya di sini, tidak ada dengar ada yang kena patuk. Belum ada lagi. Memang kadang-kadang rasa takut juga tapi bila kita mula gunakan peralatan bersihkan kubur, ada bunyi motor, dia lari," cerita Encik Abu lagi.

ULAR HANYA SEMBUR RACUN KALAU...

Walaupun lebih 200 maklum balas mengenai ular tedung diterimanya sejak setahun lalu, NParks menjelaskan bahawa ular jenis itu biasanya tidak menyerang kecuali diganggu.

"Ia umumnya spesies yang tidak suka mendekati manusia dan sebaliknya akan cuba melarikan diri. Seperti kebanyakan haiwan lain, ia tidak akan menyerang kecuali diganggu.

"Apabila diganggu, ular tedung itu akan menegakkan badannya, mengembangkan kepalanya dan berdesis dengan kuat kerana ia berasa terancam," terang Pengarah (Pengurusan & Mendekati Hidupan Liar) NParks, Encik How Choon Beng.

"Ia juga boleh menyemburkan racun berbisa apabila ia berasa takut."

Jadi bagi ular yang dilihat dalam video yang tular, Encik How berkata ia mungkin "sedang mencari mangsa seperti tikus atau amfibia". Ular menurutnya, memainkan peranan penting dalam mengawal bilangan haiwan pengganggu dalam sesebuah ekosistem.

Apa pula yang harus dilakukan sekiranya anda ternampak ular tedung di hadapan anda? Ini nasihat NParks:

"Kekal tenang dan hanya melihatnya dari jarak jauh," kata Encik How.

Seandainya anda melihat seekor ular di rumah atau di kawasan bandar, anda boleh menghubungi Pusat Respons Haiwan menerusi talian 1800-476-1600.

NParks akan membantu untuk memindahkan ular tersebut ke kawasan hutan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan