Skip to main content

Singapura

NParks siasat pokok di bawah gerakan OneMillionTrees ditebang tanpa izin di hutan simpanan

Anggaran Waktu Membaca:
NParks siasat pokok di bawah gerakan OneMillionTrees ditebang tanpa izin di hutan simpanan

Tapak penanaman pokok di Kolam Air Lower Peirce yang pokoknya ditebang. (Gambar: Facebook/Raffles' Banded Langurs)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 06:42PM
SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) pada Khamis (4 Jun) memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat penebangan tanpa kebenaran di sebuah tapak di Kolam Air Lower Peirce, yang mempunyai pokok-pokok yang ditanam di bawah inisiatif penghijauan seluruh negara.

NParks menyatakan seorang kakitangan yang menjalankan pemeriksaan rutin pada pagi Selasa mendapati sekitar 40 anak pokok dan pokok renek dalam separuh daripada kawasan asal penanaman pokok, sudah dibersihkan.

Menurut Pengarah Kumpulan Pemuliharaan NParks, Lim Liang Jin, seorang kontraktor melakukan tindakan tersebut tanpa kelulusan bagi menyimpan bahan-bahan secara sementara di tapak berkenaan.

NParks tidak menamakan kontraktor tersebut dalam kenyataannya.

Encik Lim berkata NParks segera mengarahkan kontraktor itu menghentikan kerja dan mengalihkan semua bahan yang disimpan di kawasan tersebut.

Beliau menambah bahawa NParks bercadang untuk menanam semula kawasan itu, yang terletak di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

Penanaman pokok asal dilakukan di bawah gerakan OneMillionTrees oleh NParks, yang menyasarkan penanaman sejuta pokok di seluruh Singapura antara 2020 hingga 2030.

“NParks sebelum ini telah beberapa kali memaklumkan kepada penyelia tapak kontraktor bahawa kawasan itu tidak sesuai dijadikan tempat penyimpanan dan menasihatkan mereka menggunakan lokasi alternatif,” kata Encik Lim.

“Namun, kontraktor tersebut mengingkari arahan NParks dan meneruskan kegiatan penebangan kawasan itu pada 29 Mei 2026 tanpa memaklumkan NParks.”

Menebang, mengutip atau memindahkan mana-mana pokok atau tumbuhan di taman negara atau hutan simpanan tanpa kebenaran Pesuruhjaya Taman dan Rekreasi merupakan satu kesalahan.

Pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali.

Tapak penanaman itu mempunyai 87 anak pokok yang ditanam pada 22 Januari 2025 oleh saintis warga daripada Kumpulan Kerja Lotong Berbelang Raffles (Raffles’ Banded Langur Working Group).

Lotong Berbelang Raffles merupakan satu daripada hanya dua spesies monyet asli Singapura dan kini berada pada tahap amat terancam.

Dr Andie Ang, pakar primatologi dan pengerusi kumpulan kerja tersebut, memberitahu Mediacorp bahawa beliau menganjurkan program penanaman pokok itu sebagai sebahagian daripada sambutan menjelang ulang tahun ke-10 kumpulan tersebut pada 2026.

Menurut beliau, tapak penanaman itu terletak berhampiran pintu masuk Taman Kolam Air Lower Peirce.

Dr Ang berkata beliau menghubungi NParks pada 2 Jun selepas seorang sukarelawan yang berada di lokasi memaklumkan keadaan anak-anak pokok tersebut.

Sukarelawan itu menghantar mesej kepadanya bahawa tapak penanaman tersebut sudah “diratakan” dan terdapat bahan binaan di kawasan berkenaan.

Dr Ang berkata lokasi penanaman dan spesies pokok yang dipilih ditentukan oleh NParks.

“Banyak usaha dan perhatian diberikan untuk memastikan setiap anak pokok dapat hidup, dan kami juga tahu kadar kelangsungan hidupnya mungkin tidak tinggi, jadi kami sangat berhati-hati,” katanya mengenai proses penanaman itu.

Daripada lima spesies tempatan yang ditanam, dua daripadanya merupakan sumber makanan bagi lotong, iaitu Canthiumera robusta (Kopi Hijau), yang terancam, dan Vitex pinnata (Jati Malaya).

Tiga spesies lain ialah Kopsia singapurensis (Kopsia Putih), yang amat terancam, serta Horsfieldia polyspherula dan Ixora congesta (Siantan Malaya).

Menurut Dr Ang, penanaman pokok memberi manfaat kepada hidupan liar di kawasan itu dengan menyediakan sumber makanan, memulihkan habitat dan membantu meningkatkan kesalinghubungan kawasan hutan.

Ia juga memberi makna kepada saintis warga kerana data yang mereka kumpulkan mengenai diet lotong dapat diterjemahkan kepada tindakan sebenar melalui penanaman pokok makanan yang dikenal pasti, tambah beliau.

“Mereka terkejut, tidak percaya perkara ini berlaku, sangat sedih dan kini mempunyai banyak persoalan,” katanya mengenai reaksi para peserta.

Dr Ang berkata program penanaman pokok seperti itu perlu diteruskan kerana manfaatnya terhadap biodiversiti dan pelibatan masyarakat, namun beliau mengakui mempunyai “perasaan bercampur-campur dan berbelah bahagi” selepas insiden tersebut.

Beliau turut mempersoalkan sama ada anak-anak pokok yang ditanam di bawah gerakan OneMillionTrees dipantau secara aktif dan sama ada kontraktor terbabit sudah digantung kerja memandangkan betapa serius insiden itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita