NParks siasat kes anjing mati selepas dibiarkan tanpa diawasi di Pawsome Singapore
NParks sedang menyiasat insiden yang melibatkan seekor anjing dan seorang pendandan atau perapi bulu haiwan di Tanjong Katong Road. (Gambar: Tanya Dhillon)
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Ahad (2 Nov), pengarah kumpulan penguatkuasaan dan siasatan NParks, Jessica Kwok, berkata agensi itu sedang “menyiasat kes yang melibatkan seekor anjing di sebuah kemudahan penjagaan dan perawatan haiwan.”
“NParks memandang serius terhadap kes ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya kemudahan tersebut didapati cuai.”
Polis juga memaklumkan kepada Mediacorp bahawa laporan sudah dibuat.
Pemilik anjing berkenaan, Tanya Dhillon, berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di media sosial pada Sabtu, yang menunjukkan seekor anjing yang tidak diawasi dalam keadaan tertekan semasa ditempatkan di dalam sangkar di Pawsome Singapore, sebuah kemudahan runcit dan penjagaan dan perawatan haiwan di 320 Tanjong Katong Road, pada Khamis.
Beliau turut memuat naik gambar haiwan peliharaannya yang sudah mati dan berikrar akan “menegakkan keadilan untuk Buddy dan setiap anjing lain yang boleh dilindungi.”
PEMILIK MAHUKAN PENJELASAN
Cik Dhillon, 27 tahun, memberitahu Mediacorp pada Ahad bahawa beliau menghantar anjingnya, seekor anjing poodle standard bernama Buddy, ke Pawsome untuk sesi dandanan atau perapian bulu secara rutin pada hari tersebut.
Beliau mendakwa bahawa Buddy, berusia tiga tahun, ditinggalkan tanpa pengawasan di dalam sangkar sementara menunggu giliran.
Dalam rakaman CCTV sepanjang 12 minit yang dilihat Mediacorp, Buddy kelihatan terperangkap dengan kedua-dua kaki hadapannya di antara jeriji sangkar.
Anjing poodle itu dilihat berada dalam keadaan tidak selesa serta dapat didengar menyalak tanpa henti.
Sekitar minit kelapan, Buddy berhenti berdiri dan menolak sangkar menggunakan sebelah kaki.
Rakaman CCTV tersebut, yang dirakam antara pukul 9.50 pagi hingga 10.02 pagi, menunjukkan tiada kakitangan berada di tempat kejadian sepanjang tempoh itu.
Cik Dhillon, seorang peguam pelatih, berkata pihak Pawsome memaklumkan kepada keluarganya bahawa Buddy ditemui oleh seorang pendandan haiwan pada 10.33 pagi dan bantuan CPR dilakukan.
Beliau menambah bahawa salun berkenaan tidak berkongsi keseluruhan rakaman CCTV insiden itu.
Menurutnya, pihak Pawsome menghantar Buddy ke doktor haiwan, yang kemudian mengesahkan kematiannya.
“Apabila saya mengangkat telinganya, saya perasan ada kesan darah (di dalam telinganya),” kata Cik Dhillon.
“Ia tidak kelihatan semula jadi sama sekali… Mengapa terdapat kesan darah di telinganya jika ia berada dalam keadaan baik?”
Keluarga Cik Dhillon menghantar bangkai anjing itu ke Perkhidmatan Haiwan & Veterinar (AVS), sebuah kelompok di bawah NParks, untuk bedah siasat, namun punca kematian masih belum diketahui.
Pawsome pada Sabtu mengeluarkan kenyataan melalui Instagram Stories, sambil menyatakan bahawa pihaknya “sangat berdukacita” atas kejadian yang menimpa Buddy.
Ia menambah bahawa setiap anjing di bawah jagaan mereka “dilayan dengan kasih sayang, hormat dan perhatian - seperti haiwan peliharaan kami sendiri”, sambil memohon “kebaikan dan pemahaman” serta menegaskan ia akan terus menyediakan “persekitaran yang selamat, prihatin dan profesional untuk semua anjing yang diamanahkan kepada kami.”
Pawsome menyatakan ia berkongsi rakaman CCTV insiden itu dengan pemilik Buddy “atas semangat ketelusan”.
Pawsome menambah bahawa pihaknya bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan dan seluruh pasukannya amat terkesan dengan kematian anjing tersebut.
PERLU PENUHI PIAWAI LEBIH TINGGI
Di bawah Akta Haiwan dan Burung, mereka yang berurusan dengan kebajikan haiwan dalam perniagaan berkaitan, termasuk sektor dandanan haiwan, dijangka mematuhi standard kebajikan haiwan yang lebih tinggi kerana mereka diamanahkan dengan penjagaan haiwan oleh pelanggan mereka, kata Cik Kwok.
AVS mempunyai Kod Kebajikan Haiwan (untuk Industri Haiwan Peliharaan), yang menetapkan piawai minimum untuk perniagaan haiwan peliharaan, termasuk pendandan haiwan.
Kod ini merujuk kepada piawai tempat tinggal, pengurusan dan penjagaan haiwan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas haiwan tersebut.
Terdapat juga pelbagai “amalan terbaik” dalam kod tersebut yang perlu dipatuhi oleh perniagaan dandanan haiwan, termasuk tidak meninggalkan haiwan yang sedang didandan atau dirapikan bulunya, dimandikan, atau dikeringkan tanpa pengawasan di meja, bilik atau tempat mandi.
“Semua pemilik perniagaan dalam industri haiwan peliharaan digalakkan untuk mengamalkan piawai ini. Sebarang ketidakpatuhan terhadap kod tersebut boleh digunakan sebagai bukti untuk menyokong tindakan penguatkuasaan,” tambah Cik Kwok.
Pemilik haiwan peliharaan dan perniagaan di Singapura yang ditemui Mediacorp pada Ogos tahun lalu menyeru agar piawai dan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dilaksanakan, menyusuli beberapa insiden haiwan yang dianiaya oleh penyedia perkhidmatan.
Pada Januari, Persatuan Mencegah Penganiayaan Haiwan (SPCA) turut melaporkan bahawa jumlah kes penganiayaan dan kebajikan haiwan di Singapura meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun pada 2024.
Terdapat 961 kes yang disahkan, meningkat daripada 915 pada tahun 2023.
Sesiapa yang disabit kesalahan menganiaya haiwan semasa mengendalikan atau bekerja di bawah perniagaan berkaitan haiwan boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau denda sebanyak S$40,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.