NParks selamatkan 12 kucing peliharaan dari flat usang di Bedok susuli aduan kes pengabaian
Lembaga Taman Negara (NParks) menyelamatkan beberapa kucing peliharaan daripada sebuah flat di Bedok selepas ia menerima aduan berlaku kes pengabaian, menurut agensi itu pada Jumaat (20 Dis).
(Gambar: Facebook/Reyn Teng)
NParks dimaklumkan kepada kes di sebuah unit di 147 Bedok Reservoir Road dan sedang menyiasat hal itu.
Demikian menurut pengarah penguatkuasaan dan penyiasatan kumpulan NParks, Jessica Kwok.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) menyatakan pasukannya tiba di lokasi pada Rabu (18 Dis) kira-kira pukul 9.50 pagi selepas dimaklumkan tentang kucing-kucing peliharaan yang dikhuatiri cedera selepas terjatuh daripada tingkat yang tinggi.
Beberapa kucing kelihatan terjatuh daripada tingkap sebuah unit perumahan dan memandangkan terdapat lagi banyak kucing yang berkeliaran di belebas tingkap yang sama, seorang pegawai penyelamat memasang jaring penyelamat di bawah tingkap berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak lagi kucing terjatuh, kata pengarah eksekutif SPCA, Aarthi Sankar.
Menurutnya, pegawai AVS dari NParks mendapat akses kepada unit tersebut sekitar pukul 2.00 petang.
"Unit itu kelihatan sangat usang. Lebih banyak kucing ditemui, kesemuanya dalam keadaan terbiar, dan kucing-kucing yang masih hidup diselamatkan.
"Salah seekor daripadanya sedang dirawat di SPCA, manakala kucing-kucing yang lain dihantar ke AVS."
Seorang pengguna Facebook bernama Reyn Teng memuat naik catatan mengenai kejadian itu di laman Facebook Sayang Our Singapore's Community Cats pada Khamis, di mana beliau katakan telah melihat beberapa ekor kucing yang mati dan cedera di kawasan yang sama sepanjang beberapa hari ini sejak Isnin.
Pada Rabu (18 Dis), beliau melihat seekor kucing terjatuh daripada tingkat yang tinggi di blok tersebut, dan apabila beliau menjenguk ke atas, beliau melihat lagi dua ekor kucing berada di belebas tingkat salah satu daripada unit tersebut.
Beliau kemudian menghubungi NParks, SPCA dan polis.
Menurutnya, seorang pegawai NParks mendapatkan bantuan seorang tukang kunci untuk membuka pintu unit tersebut.
"Apabila kami membuka pintu, sangat mengejutkan kerana terdapat banyak kucing, sampah, air kencing dan najis bersepah merata tempat," katanya dalam catatan itu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan SPCA dan NParks kerana melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan kucing-kucing itu daripada rumah tersebut.
"Keadaan dalam rumah itu sangat teruk, baunya sangat busuk. Mereka tidak boleh membuka pintu atau tingkap lalu terpaksa menahan bau itu dan menangkap kesemua kucing itu dalam serba kegelapan," katanya.
Terdapat 19 ekor kucing keseluruhan di dalam unit itu, di mana 12 diselamatkan, katanya.
"NParks memandang serius kesemua kes berkaitan kebajikan haiwan dan menyiasat semua maklum balas yang diterima.
"Kami akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mengabaikan haiwan peliharaan mereka, gagal memastikan penjagaan wajar diberikan, atau melakukan tindakan kekejaman dan penyeksaan terhadap haiwan," kata Cik Kwok.
Orang awam boleh memainkan peranan masing-masing dengan segera melaporkan sebarang kes disyaki penyeksaan haiwan atau kes-kes cedera kepada NParks, katanya.
"Seperti semua siasatan yang dilakukan, segala bentuk bukti adalah penting bagi prosesnya, dan bukti gambar dan/atau video yang diserahkan oleh orang awam dapat membantu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.