Skip to main content

Singapura

NParks pertimbang kembiri memerang bagi kawal jumlahnya selepas insiden ceroboh rumah, makan ikan koi

Anggaran Waktu Membaca:
 NParks pertimbang kembiri memerang bagi kawal jumlahnya selepas insiden ceroboh rumah, makan ikan koi

Otters are found in Singapore's waterways and reservoirs. (Photo: Facebook/Tan Kiat How/NParks)

Memerang ditemui di laluan air dan kolam air Singapura. (Gambar: Facebook/NParks)

Diterbitkan : 13 Jan 2026 02:34PM Dikemas Kini : 13 Jan 2026 02:36PM
SINGAPURA: Fiona Leung, seorang penduduk Lentor, sedang menonton televisyen bersama keluarganya apabila beliau melihat sesuatu melintas dengan pantas.

Sangka beliau ia adalah kucing jiran, sehinggalah beliau mendengar bunyi percikan air dari kolam di halaman belakang rumahnya.

Tetamu yang tidak diundang itu adalah seekor memerang - dan itu adalah kali kedua haiwan itu datang melawat pada minggu tersebut.

"Ia mendengar saya mendekati kolam. Ia mengeluarkan kepalanya dari air dengan seekor ikan di mulutnya... saya pun menjerit. Pembantu saya mengambil penyapu dan ketika itulah ia melompat keluar dan melarikan diri," cerita Cik Leung.

Walaupun kesemua sembilan ekor ikan koinya terselamat, ada yang mengalami luka dan sirip yang hilang. Ikan-ikannya juga menjadi lebih takut-takut sejak kejadian itu, tambahnya.

Memerang itu berjaya masuk melalui celah pintu pagar rumahnya yang tidak ditutup dengan jaring kawat. Keluarga itu sebenarnya baru sahaja memasang jaring selepas lawatan pertama haiwan itu pada 29 Disember tahun lalu.

Pengarah pengurusan hidupan liar di Lembaga Taman Negara (NParks), Cik Cyrena Lin, berkata memerang tersebut berkemungkinan sedang meneroka kawasan baharu untuk mencari makanan.

LANGKAH KURANGKAN KONFLIK

Jumlah memerang di Singapura meningkat daripada 80 ekor pada 2017 kepada kira-kira 170 ekor pada 2021.

NParks sedang mengkaji langkah-langkah untuk mengurangkan konflik antara manusia dengan memerang, termasuk memindahkan haiwan tersebut dan kawalan jumlahnya dalam jangka panjang seperti pengembirian.

"Tiada penyelesaian yang sesuai untuk semua kes. Kita perlu melihat setiap kes secara berasingan dan menyesuaikan tindakan kita," kata Cik Lin.

Buat masa ini, NParks sudah memulakan rondaan harian di kawasan perumahan yang terjejas sejak awal Januari untuk mencari tanda-tanda kehadiran memerang. Jika ditemui, pasukan rondaan akan menghalau haiwan itu keluar dari kawasan perumahan.

Pemindahan hanya akan dilakukan sebagai langkah terakhir demi keselamatan awam, terutamanya jika keluarga memerang tersebut mempunyai anak kecil yang menyebabkan mereka bertindak lebih agresif untuk melindungi anak.

Sebagai contoh, pada hujung 2022, sebuah keluarga enam ekor memerang dipindahkan dari Seletar ke kawasan rahsia selepas mereka menceroboh sebuah rumah dan membunuh lebih 50 ekor ikan di sana.

KEBIMBANGAN PENDUDUK

Penduduk di kawasan Mayflower dan Lentor berkata ini adalah kali pertama mereka melihat memerang masuk ke dalam rumah dan memakan ikan peliharaan.

Seorang pemilik rumah, Shirley Tan, memberitahu bahawa enam ekor ikan koi jirannya dimakan oleh memerang yang menyelit masuk melalui pintu pagar.

Oleh kerana beliau juga memelihara ikan koi, Cik Tan mengambil langkah pencegahan dengan menutup lubang pada pagar dan memasang jaring di sekeliling kolam. Beliau menganggarkan kos tersebut mencecah ribuan dolar dan membuatkan pemandangan rumahnya kurang indah.

Namun, penduduk bukan sahaja risaukan ikan mereka, tetapi juga keselamatan jiran tetangga.

"Kami sangat bimbang memerang boleh masuk ke rumah bila-bila masa. Ia tidak takut kepada manusia. Di sini ramai orang berjalan kaki, ada anjing dan kanak-kanak juga," kata Cik Tan.

Pakar menjelaskan bahawa memerang jarang menyerang kecuali jika mereka merasa terancam, terutamanya apabila mempunyai anak kecil.

Ahli Parlimen bagi kawasan yang terjejas, Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) dan Henry Kwek (Kebun Baru), menyatakan hasrat untuk membangkitkan isu pengurusan jumlah memerang ini di Parlimen dan bekerjasama dengan NParks untuk membantu penduduk mengetatkan keselamatan rumah mereka.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita