Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NParks, OCBC lancar projek pemulihan rumput laut pertama di Singapura; ikrar hampir S$1 juta

Anggaran Waktu Membaca:
NParks, OCBC lancar projek pemulihan rumput laut pertama di Singapura; ikrar hampir S$1 juta

Dr Samantha Lai memeriksa rumput laut di akuarium di Pulau Sekijang Bendera. (Gambar: NParks)

SINGAPURA: Satu projek pemulihan rumput laut bernilai sejuta dolar akan dimulakan pada suku keempat tahun ini, umum Lembaga Taman Negara (NParks) dan OCBC pada Jumaat (27 Sep).

Projek tersebut, yang merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Singapura, akan menumpukan perhatian kepada cara-cara meningkatkan kadar kelangsungan hidup rumput laut.

Rumput laut adalah tumbuhan berbunga yang berupaya membuat penyesuaian dengan persekitaran marin. Ia berbeza daripada rumpai laut, yang merupakan sejenis alga laut.

Selama tiga tahun, penyelidik daripada NParks dan Universiti Nasional Singapura (NUS) akan mengkaji ciri-ciri pembiakan rumput laut dan merintis pemulihan spesies itu.

Mereka juga akan melakar dan menguji beberapa kaedah inovatif untuk meningkatkan kejayaan pemindahan rumput laut, menurut NParks dan OCBC menerusi kenyataan bersamanya.

OCBC akan sepenuhnya membiayai projek ini, menyumbang "hampir" S$1 juta, kata ketua kumpulan jenama dan perhubungan bank, Cik Koh Ching Ching.
 
Padang rumput laut di Singapura. (Gambar: NParks)
Singapura mempunyai 12 spesies rumput laut. Ini dianggap "satu kepelbagaian cukup rencam" memandangkan Singapura adalah sebuah negara kecil, kata timbalan pengarah pusat biodiversiti nasional NParks, Dr Samantha Lai.

Seperti bakau, padang rumput laut adalah habitat karbon biru yang penting. Ia berupaya menyimpan karbon 40 kali lebih berkesan berbanding hutan di darat.

Karbon biru merujuk kepada karbon yang diserap oleh ekosistem laut dan tepi pantai.

Padang rumput laut yang menjadi habitat udang kecil, ikan dan ketam juga penting buat biodiversiti, kata Dr Lai. Ia "tempat perlindungan sempurna" terutama sekali bagi anak hidupan laut, dan dugong serta lembu laut yang memakan rumput laut, tambah Dr Lai.

Rumput laut boleh dilihat di Taman East Coast atau Taman Pantai Changi. Padang rumput laut paling besar di sekitar Singapura terletak di Chek Jawa, Cyrene Reefs dan Pulau Semakau.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan