NParks nasihati pengurusan kondo Lakeview Estate baiki pagar setelah dicerobohi babi hutan
Lembaga Taman Negara (NParks) telah menasihati pengurusan kondominium dekat Upper Thomson Road mengenai bagaimana untuk membaik pulih jurang pada pagar-pagarnya yang mungkin menyebabkan beberapa ekor babi hutan memasuki premisnya.

Babi hutan di Lakeview Estate. (Gambar: Sheldon Trollope)
SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) telah menasihati pengurusan kondominium dekat Upper Thomson Road mengenai bagaimana untuk membaik pulih jurang pada pagar-pagarnya yang mungkin menyebabkan beberapa ekor babi hutan memasuki premisnya, menurut agensi tersebut kepada Mediacorp pada Selasa (27 Apr).
Ini selepas seorang penghuni Lakeview Estate memaklumkan di media sosial bahawa babi hutan telah memasuki kawasan hartanah privet itu, yang terletak bersebelahan dengan Kolam Air MacRitchie.
Kolam air tersebut dan hutan di sekelilingnya membentuk sebahagian daripada Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.
Bercakap kepada Mediacorp, Encik Sheldon Trollope berkata bahawa pagar yang memisahkan kondominium itu dengan kawasan hutan telah dipasang oleh NParks baru-baru ini.
Ia dilakukan setelah para penghuni mengemukakan petisyen untuk memasang pagar sedemikian supaya dapat mencegah haiwan liar termasuk babi hutan daripada memasuki premis tersebut, katanya,
Bagaimanapun pada Jumaat lalu, beliau ternampak dua haiwan di pekarangan kondominium, sambil menambah bahawa haiwan-haiwan itu kelihatan seperti tidak dapat mencari jalan pulang ke hutan.
"Sekiranya tidak ada pagar, haiwan-haiwan itu akan melarikan diri, haiwan-haiwan itu biasanya akan berkumpul di sana," kata Encik Trollope.
"Kini (haiwan-haiwan itu) tidak dapat mencari jalan pulang ke hutan dan haiwan-haiwan itu berasa terperangkap.
"Tingkah laku haiwan itu juga sukar untuk diramal, dan terdapat juga isu keselamatan mengenai bagaimana untuk membawa haiwan itu keluar."
Beliau menambah bahawa dalam satu lagi insiden berasingan, beliau ternampak biawak benggala terperangkap di belakang pagar.
JURANG DIKESAN PADA PAGAR KONDOMINIUM
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, pengarah kumpulan NParks bagi pengurusan kehidupan liar, Dr Adrian Loo, berkata agensi tersebut sedia maklum tentang beberapa ekor babi hutan yang memasuki kawasan pekarangan kondominium.
Beliau menambah bahawa bangunan itu dikelilingi oleh pagarnya sendiri, dan juga pagar yang dipasang oleh NParks di kawasan yang mengelilingi hutan simpanan itu.
Sebahagian daripada pagar itu bercantum dengan Lakeview Estate, dan meluas ke sebidang tanah pemerintah di mana babi hutan dilihat berkeliaran di sana, menurut Dr Loo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.