NParks buka bahagian pertama Taman Pasir Panjang hari ini
Sebahagian daripada Taman Pasir Panjang dibuka pada Sabtu (4 Sep) sebagai sebahagian daripada "rangkaian meluas alam semula jadi" yang akan dibina di bahagian barat Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
Bahagian pertama Taman Pasir Panjang dibuka pada 4 September. (Gambar: NParks)
SINGAPURA: Sebahagian daripada Taman Pasir Panjang dibuka pada Sabtu (4 Sep) sebagai sebahagian daripada "rangkaian meluas alam semula jadi" yang akan dibina di bahagian barat Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
Laluan sepanjang 450 meter itu, yang merupakan bahagian pertama taman tersebut, bermula dari stesen MRT Pasir Panjang hingga ke estet perumahan Jalan Pelepah.
Taman yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026 itu akan mempamerkan "sejarah semula jadi dan budaya" Pasir Panjang, kata Encik Lee.
Ia adalah taman pertama yang direka dan dibangunkan bersama masyarakat, di bawah Program Rakan-Rakan Pendampingan Taman, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan media berasingan.
Sekitar 170 pihak berkepentingan terlibat dalam program tersebut termasuk para penduduk yang didampingi menerusi Jawatankuasa Penduduk Telok Blangah dan Jawatankuasa Persatuan Kejiranan Pasir Panjang East.
Menurut Encik Lee, bahagian pertama taman itu sebelum ini merupakan sebahagian daripada "pantai semula jadi" dari Batu Berlayar hingga ke persimpangan Clementi dan West Coast Road.
Ia kemudian dijadikan dermaga Pasir Panjang dan selepas itu, Terminal Kontena Pasir Panjang.
"Pertimbangan khas diambil untuk membentuk lanskap taman tersebut agar ia mencerminkan kawasan yang dahulunya pantai dan memulihara tanam-tanaman yang pernah memenuhi kawasan tepi pantai itu," kata menteri itu.
"Taman itu juga akan memperingati sejarah Pasir Panjang sebagai salah satu tapak pelabuhan utama Singapura, iaitu Terminal Kontena Pasir Panjang.
Dalam fasa kedua pembangunan taman itu juga, papan-papan sejarah akan dipasang. Ia memaparkan gambar-gambar lama kawasan tersebut yang disumbangkan oleh masyarakat.
NParks juga akan bekerjasama dengan masyarakat untuk menanam lebih banyak pokok di taman itu, mereka lebih banyak papan tanda dan menyediakan maklumat pengguna di laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal.
LEBIH BANYAK LALUAN SEMULA JADI
Kebun masyarakat di West Coast. (Gambar: NParks)
Di majlis pelancaran itu, Encik Lee mengumumkan rancangan untuk menghijaukan lagi kawasan West Coast menjelang 2030.
Rancangan bagi Koridor Semula Jadi West Coast termasuk ketersambungan ekologi yang dipertingkat antara kawasan barat dengan kawasan-kawasan lain di Singapura, prasarana dan kawasan-kawasan perindustrian mesra alam sekitar serta lebih banyak taman dan ruang bercucuk tanam.
Lebih 10 "laluan alam semulajadi" akan dibangunkan di kawasan barat dengan "mempertingkat landskap jalan dengan tumbuh-tumbuhan semula jadi menghijau yang bertingkat-tingkat", dedah menteri itu.
Selain itu, NParks akan menyuburkan semula 14 tapak berdekatan kawasan-kawasan semula jadi sedia ada seperti Southern Ridges dan Koridor Kereta Api, tambah beliau.
Stesen-stesen MRT sepanjang Laluan Daerah Jurong yang bakal siap juga akan dibarisi dengan kehijauan dalam tiga peringkat sepanjang 10 tahun mendatang, katanya lagi.
NParks juga akan menanam 150,000 pokok di estet-estet perindustrian menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada pelan yang diumumkan sebelum ini untuk menanam 170,000 pokok di estet-estet perindustian.
Sehingga lagi 30 kebun masyarakat akan ditambah di kawasan-kawasan kejiranan di West Coast, kata Encik Lee.
Ini selain 120 kebun sedemikian di estet-estet perumahan, sekolah dan pertubuhan di West Coast.
Secara keseluruhannya, 40 kemudahan berdasarkan alam semula jadi akan ditambah di kawasan West Coast menjelang 2030.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.