NParks anggarkan populasi ayam liar di Taman Pasir Ris 50 ekor
(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)
SINGAPURA: Jumlah ayam liar di Taman Pasir Ris dianggarkan kira-kira 50 ekor, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Isnin (7 Nov).
Minggu lalu, akhbar Shin Min Daily News melaporkan sekitar 200 ayam kelihatan di taman tersebut, menukil anggaran daripada seorang pengunjung yang kerap memberi makanan kepada ayam di sana.
Pengarah kumpulan bagi taman-taman NParks, Chia Seng Jiang, memberikan perangkaan dianggarkan itu semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. Beliau menambah bahawa ayam liar boleh dilihat di mana-mana ruang hijau di serata Singapura.
"Ayam-ayam berkeliaran bebas boleh dilihat di sesetengah taman dan kebun kami, termasuk Taman Pasir Ris," kata Encik Chia.
"Sudah lama terdapat ayam-ayam yang berkeliaran bebas di Taman Pasir Ris, khususnya berdekatan dengan kawasan pokok bakau."
Encik Chia menggesa anggota masyarakat agar tidak memberi makanan kepada ayam liar itu kerana ia berpotensi menyebabkan lebihan populasi ayam.
"Tambahan pula, perbuatan memberi makanan kepada semua haiwan, termasuk ayam, dilarang di ruang-ruang hijau yang diuruskan oleh NParks, di bawah Akta Taman dan Pokok," jelasnya.
"Ayam yang berkeliaran bebas mampu mencari makanan di habitatnya dan tidak memerlukan makanan daripada manusia untuk terus hidup."
Mentelah lagi, sisa makanan daripada makanan yang diberikan juga boleh mengundang serangga perosak, seperti tikus, yang membawa penyakit dan menimbulkan risiko kepada kesihatan awam, terang Encik Chia.
Beliau menambah masyarakat awam boleh membantu untuk mengurangkan pertumbuhan populasi ayam liar dan isu perhimpunan haiwan dengan memastikan mereka membuang sisa makanan dengan betul.
Selain dilarang di bawah Akta Taman dan Pokok, perbuatan memberi makanan kepada haiwan liar juga tidak dibenarkan di bawah Akta Hidupan Liar tanpa kelulusan bertulis daripada ketua pengarah pengurusan hidupan liar.
Dalam kenyataannya, Encik Chia berkata NParks "mengambil pendekatan holistik berteraskan masyarakat dan sains terhadap pengurusan haiwan, termasuk ayam liar".
Ini termasuk memanfaatkan kajian untuk memahami ekologi populasi burung, seperti pola tempat tinggal dan pergerakan.
NParks juga melihat risiko yang mungkin ditimbulkan oleh haiwan-haiwan kepada keselamatan dan kesihatan awam melalui penyakit yang mungkin dibawanya.
Langkah-langkah lain termasuk membuang sumber makanan yang disediakan oleh manusia, mendidik masyarakat awam supaya tidak melepaskan atau memberi makanan kepada ayam liar, pengubahsuaian habitat dan kawalan populasi, kata Encik Chia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.