Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Novel belia Dr Noridah Kamari disenarai pendek untuk Hadiah Sastera Singapura 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebanyak 71 buku karya 69 penulis disenarai pendek dalam 16 kategori untuk Hadiah Sastera Singapura (SLP) tahun ini.

Lima karya fiksyen Melayu juga disenaraikan.

Karya-karya tersebut merangkumi pelbagai genre, termasuk cereka sains, epik, serta fiksyen pendek dan koleksi cerpen.

Kesemuanya dihasilkan oleh penulis mapan dan mereka yang telah lama berkecimpung dalam dunia persuratan.

Antara penulis yang disenarai pendek buat kali pertama dalam kategori fiksyen ialah Dr Noridah Kamari, penulis dan pemilik bersama Unggun Creative, melalui novel belia yang berjudul 'Membina Istana Di Angkasa'.

"Ini merupakan semacam validasi ataupun pengiktirafan bahawa kita tidak 'syok sendiri' kerana kadangkala bila kita menulis, kita dalam alam kita sendiri.

"Ini bermakna bahawa karya kita itu ada mutunya, ada faedahnya untuk masyarakat dan pastinya dapat memberi sumbangan yang bererti kepada pembangunan kesusasteraan Melayu di Singapura," kongsi Dr Noridah kepada wartawan Nurfazirah Azman.

KARYA SEBAGAI CERMINAN MASYARAKAT

"Beliau, yang juga merupakan pensyarah adjung di NIE dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkongsi bahawa buku tersebut dihasilkan dengan sokongan geran Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew dan disasarkan untuk golongan belia.

"Saya cuba mencari ilham semasa saya zaman belia dulu, isu-isunya pun berpusat atau berputar kepada watak-watak belia dalam masyarakat yang lebih muda.

"Ceritanya ialah tentang seorang remaja di peringkat maktab rendah yang suka bercakap bohong. Dia suka mereka-reka dunianya sendiri. Sebab itu judulnya ialah membina istana di angkasa. Jadi dunia yang direka ini terlalu indah, terlalu mewah dan itu bukan kehidupannya yang betul," kongsi Dr Noridah.

Menurut beliau, karya tersebut juga mencerminkan masyarakat dan dijangka memberi kesan yang mendalam kepada para pembaca.

"Saya lihat ini sebagai pemikiran masyarakat iaitu ia juga mungkin boleh dilihat sebagai cerminan kerana sekarang kita ada banyak platform-platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan sebagainya.

"Kalau kita ambil Instagram sahaja, sebagai contoh, gambar-gambar yang kita paparkan sebenarnya tidak seelok dalam kehidupan nyata dan pastinya kita hanya paparkan kegembiraan atau kejayaan. Tapi bila kita menangis, bila kita dalam kesedihan, kita tidak paparkan cerita yang sebenarnya," kata Dr Noridah.
DISENARAIKAN DALAM KATEGORI SAMA DENGAN PASANGAN

Pengiktirafan itu menjadi lebih istimewa bagi Dr Noridah kerana beliau disenaraikan dalam kategori yang sama dengan suaminya, Encik Farihan Bahron, yang juga seorang penulis sastera.

"Pastinya saya gembira kerana selama ini saya cuma temankan suami saya apabila ke acara SLP. Saya tukang jaga beg. Tukang ambil gambar beliau. Jadi kali ini ialah kami sama-sama dicalonkan.

"Itu adalah satu kejayaan bagi saya dan saya sebenarnya tidak mengharapkan sangat kemenangan kerana disenarai pendek pun bagi saya cukup bererti," kata Dr Noridah.
JADI LANDASAN UNTUK LAHIRKAN KARYA-KARYA BERMUTU DI SG

Beliau dan suaminya telah mengusahakan syarikat penerbitan Unggun Creative sejak 2016.

Syarikat itu menjadi platform penting bagi penulis menerbitkan karya-karya mereka, yang turut disenarai pendek dan meraih anugerah tertinggi di SLP sebelum ini.

"Kami sudah menghasilkan dalam 33 judul buku dan majalah berkala untuk setiap tiga bulan. Antara 33 judul buku ini selama empat edisi SLP sejak 2018, sudah 17 buku yang sudah disenarai pendek daripada kami dan beberapa orang penulis. Antara karya-karya yang disenarai pendek, tiga pernah meraih Anugerah SLP yang tertinggi," kongsi Dr Noridah.

Antaranya buku 'Mengasah Kalam 2' karya Allahyarham Suratman Markasan dan 'Kepala Kotak' karya Farihan Bahron.

MUTU KARYA YANG DIHANTARKAN BERMUTU TINGGI, GUNA PENDEKATAN SEGAR

Ketua Pengadil untuk kategori fiksyen, Dr Sa'eda Buang, menekankan bahawa mutu karya-karya yang dihantar tahun ini adalah sangat tinggi.

"Karya-karya ini mempunyai kualiti yang sangat tinggi terutama dari segi mutu kesusasteraannya iaitu mereka menggunakan pendekatan-pendekatan yang sangat segar dan mereka dapat memberikan impak yang sungguh mengasyikkan bagi pembaca yang membaca karya-karya mereka," kongsi Dr Sa'eda.

Beliau memuji penulis-penulis yang berani meneroka pendekatan baru dan mengetengahkan isu-isu terkini dalam masyarakat.

"Apa jua pendekatan yang digunakan, yang paling penting adalah isu kemanusiaan dan realiti yang menjadi fokus dalam kehidupan kita hari ini. Beberapa karya menggambarkan betapa mendalam kehidupan ini, mengajak kita untuk merenung dan memikirkan dengan lebih serius.

"Kerana kita berhadapan dengan isu, bukan isu semalam, bukan sahaja isu hari ini bukan sahaja isu esok, tapi isu yang mungkin dalam kerangka kurun yang ke-30 dan 40. Malahan ada karya-karya yang mengajak kita membawa balik ke alam fantasi yang berasaskan nilai-nilai murni dan ada karya yang membawa kita ke alam kerohanian." kata Dr Sa'eda.

KEPUTUSAN YANG SUKAR UNTUK PILIH PEMENANG

Beliau mengakui bahawa membuat keputusan untuk memilih pemenang tahun ini adalah satu tugas yang sangat sukar.

"Kami mengambil masa yang yang agak panjang untuk membuat keputusan. Tetapi pada dasarnya kita berpegang kepada tiga kriteria yang sudah pun ditetapkan oleh Hadiah Sastera Singapura dan kami akur dengan kerangka yang diberikan.

"Iaitu tentang nilai susastera, sejauh mana kehebatan cerita ini, sejauh mana kedalaman falsafah yang diutarakan. Kemudian kita juga melihat dari sudut nada, dari sudut penggunaan bahasa dari sudut strategi pertukangan penceritaan itu sendiri. Kita juga melihat dari sudut kemungkinan penerimaan pembaca termasuk penerimaan pembaca antarabangsa," kongsi Dr Sa'eda.

USAHA SLP HARUS DITERUSKAN

Beliau juga menegaskan bahawa usaha SLP perlu diteruskan bagi memastikan karya-karya penulis tempatan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, beliau menggalakkan penulis yang tidak disenarai pendek untuk terus berkarya dan menyumbang kepada perkembangan bidang persuratan dan sastera Melayu Singapura.

"Ia merupakan satu usaha yang mesti dan harus diusahakan kerana walaupun adanya fenomena yang kurang baik iaitu adanya penurunan dari segi purata pembacaan dan persepsi pembaca terhadap buku-buku Melayu dan sebagainya. Namun, ini merupakan salah satu usaha untuk membanteras ataupun mengatasi cabaran sedemikian," kata Dr Sa'eda.

PENGHARGAAN KEPADA ALLAHYARHAM SURATMAN MARKASAN

"Bertemakan 'Mata Hati', anugerah SLP tahun ini memberikan penghargaan kepada pelopor sastera Melayu, Allahyarham Suratman Markasan.

Karya terakhir Allahyarham, "Menghitung-hitung Nama-Mu", merupakan salah satu calon bagi kategori Puisi tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan