Notis tangkap dikeluarkan terhadap hartawan Ong Beng Seng dalam siasatan CPIB libatkan S Iswaran
SINGAPURA: Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) mengeluarkan satu notis tangkap dan meminta hartawan hartanah Ong Beng Seng, iaitu pengarah pengurusan Hotel Properties Limited (HPL), supaya memberikan maklumat tentang interaksi beliau dengan Menteri Pengangkutan S Iswaran.
"Tiada dakwaan difailkan terhadap Encik Ong. Beliau akan ke luar negara dari 14 Julai dan akan menyerahkan pasport kepada CPIB sebaik sahaja kembali ke Singapura," menurut HPL menerusi satu pengumuman syarikat pada Jumaat (14 Jul), sambil menambah bahawa Encik Ong membayar ikat jamin sebanyak S$100,000.
HPL menyatakan Encik Ong sedang memberi kerjasama sepenuhnya kepada CPIB dan sudahpun memberikan maklumat yang diminta.
"Memandangkan perkara ini sedang berlangsung, beliau tidak dapat memberikan butiran lanjut buat masa ini.Beliau akan memberi kemas kini kepada lembaga sekiranya ada perkembangan lanjut yang penting," menurut syarikat itu lagi.
Encik Ong dilihat memasuki dan meninggalkan ibu pejabat CPIB pada Rabu (12 Jul) selepas biro itu mendedahkan bahawa Encik Iswaran sedang membantu dalam satu kes yang diselongkar pihaknya.
Hartawan berusia 77 tahun itu seringkali dikenali sebagai individu yang memainkan peranan besar dalam membantu memuktamadkan satu perjanjian pada 2007, antara Lembaga Pelancongan Singapura dengan bos Formula-1 ketika itu, Bernie Ecclestone, untuk menganjurkan perlumbaan sebelah malam pertama di negara ini.
Encik Ong memiliki hak dalam Singapore Grand Prix.
Kontrak untuk Singapura menjadi tuan rumah kepada Formula 1 Grand Prix selama lagi tujuh tahun dimeterai pada tahun lalu - pembaharuan keempat dan lanjutan yang terpanjang - membawa kembali acara itu ke Marina Bay selepas ia tidak dapat dianjurkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Encik Iswaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, berkata pada waktu itu bahawa pembaharuan (kontrak) akan membantu "mengekalkan reputasi Singapura sebagai sebuah bandar global dengan gaya hidup yang bertenaga, memikat pelancong antarabangsa sedang sektor pelancongan kembali pulih, dan menjana pendapatan perniagaan serta pekerjaan buat rakyat Singapura."
HPL, yang diasaskan oleh Encik Ong, merupakan pemilik hotel-hotel Four Seasons dan Hilton. Syarikat itu juga memperoleh hartanah di Australia, Kanada, Britain dan Amerika Syarikat.
HPL merupakan sebahagian daripada sebuah konsortium - di samping syarikat pelaburan negara Temasek - yang pada Mei 2022 membeli beberapa aset hartanah Singapore Press Holdings.
Menerusi pengumuman syarikat pada Jumaat, HPL menyatakan bahawa jawatankuasa pencalonannya sudah menilai situasi buat masa ini dan memutuskan bahawa Encik Ong "masih sesuai untuk menjalankan kewajipan dan tanggungjawab beliau sebagai pengarah urusan".
"Lembaga dan jawatankuasa pencalonan akan terus memantau perkembangan perkara ini dan jawatankuasa pencalonan akan menilai semula sama ada Encik Ong sesuai untuk terus menyandang jawatan," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.