Notis Risiko Kesihatan ganti HRW; tempoh pengasingan dikurangkan kepada 5 hari
Kit ujian kendiri ART. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Individu-individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes COVID-19 harus menjalani tempoh pengasingan kendiri selama lima hari, dan bukan lagi tujuh hari.
Ini di bawah langkah yang disemak semula, yang dipanggil notis risiko kesihatan (HRN), yang akan dilancarkan pada 18 Februari.
HRN itu akan menggantikan amaran risiko kesihatan (HRW) yang kini diberikan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) kepada kontak-kontak rapat kes COVID-19.
MOH yang membuat pengumuman itu hari ini (16 Feb), menyatakan keputusan mengurangkan tempoh pengasingan dibuat menyusuli dapatan bahawa individu-individu yang dijangkiti varian Omicron mengalami tempoh sakit yang lebih singkat lagi.
"Individu-individu yang diberikan HRN boleh mendapatkan kit ujian ART daripada mesin-mesin layan diri yang tertentu, untuk melakukan ujian kendiri semasa tempoh pemantauan," menurut MOH dalam satu kenyataan media.
"Mereka yang sudah menerima HRW harus menyelesaikan tempoh pemantauan mereka."
Individu-individu yang sedia maklum mereka terdedah kepada kes COVID-19 baru-baru ini harus mematuhi Protokol 3, meskipun mereka tidak menerima HRN daripada MOH, tambah MOH lagi.
"Mereka harus mengurangkan aktiviti-aktiviti sosial, memantau kesihatan dan melakukan ujian kendiri menggunakan ART sebelum meninggalkan rumah mereka pada hari itu, terutama sekali jika mereka akan ke tempat-tempat ramai orang atau akan berinteraksi dengan individu-individu mudah dijangkit," menurut MOH.
Di bawah Protokol 3, ujian ART harus dilakukan dan keputusannya harus dimuat naik pada hari pertama. Individu-individu di bawah Protokol 3 boleh keluar rumah jika diuji negatif. Jika diuji positif, mereka harus mematuhi Protokol 2 bagi kes-kes bergejala ringan atau tidak mengalami sebarang simptom.
LEBIH RAMAI BOLEH PULIH DI BAWAH PROTOKOL 2
Ia juga diumumkan bahawa pesakit-pesakit daripada lebih banyak kelompok usia boleh pulih di bawah Protokol 2.
"Kesemua pesakit yang berusia antara tiga hingga 69 tahun yang tidak mengalami sebarang simptom atau bergejala ringan, tidak kira status vakinasi, boleh diuruskan oleh doktor biasa di bawah Protokol 2 tanpa memerlukan rawatan di hospital," kata Pengarah Khidmat Perubatan MOH Profesor Madya Kenneth Mak di sidang media hari ini (16 Feb).
Kes-kes COVID-19 yang sudah lengkap divaksin, berusia antara 70 dengan 79 tahun, juga boleh diuruskan oleh doktor biasa di bawah Protokol 2, tambah beliau.
Ini merupakan langkah melauaskan lingkungan usia, yang tertakluk kepada para pesakit yang sudah lengkap divaksin yang berusia antara lima degan 69 tahun, serta pesakit belum lengkap divaksin yang berusia antara lima dengan 49 tahun.
MOH juga menyatakan antara para pesakit yang dijangkiti virus itu sejak Januari, "kebanyakannya" mengalami gejala ringan dan boleh pulih sendiri.
"Antara warga tua juga, kadar penyakit serius rendah," menurut MOH. Antara warga tua berusia 60 dengan 69 tahun yang dijangkiti, kira-kira 0.5 peratus pesakit sudah lengkap divaksin dan 1.8 peratus pesakit belum lengkap divaksin dianggap sebagai kes serius.
Antara warga tua sudah lengkap divaksin yang berusia antara 70 dengan 79 tahun, 1.2 peratus sakit tenat selepas dijangkiti, menurut MOH lagi.
Dalam kalangan kanak-kanak, 4.5 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun yang datang ke jabatan kecemasan perlu dirawat di hospital dan kurang satu peratus daripada mereka di bawah program pemulihan di rumah dirujuk kepada pengendali teleperubatan bagi pengurusan lanjut, tambah MOH.
Dengan perubahan itu, individu-individu di bawah Protokol 2 yang mengalami keadaan-keadaan bukan kecemasan, termasuk kanak-kanak, "digesa" untuk mengelak daripada mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan hospital dan untuk mendapatkan nasihat doktor mereka ataupun para pengendali teleperubatan, jika memerlukan sebarang bantuan perubatan, menurut MOH lagi.
Individu-individu berkenaan juga boleh dipindahkan ke kemudahan rawatan COVID-19 bagi pemantauan lanjut, sekiranya mereka tidak perlu dirawat di hospital.
Langkah-langkah itu akan membenarkan Pemerintah untuk bertindak dengan "lebih pantas lagi" terhadap gelombang Omicron, kata Prof Madya Mak.
"Perubahan itu akan membolehkan kami untuk terus memberikan jagaan sewajarnya kepada para pesakit yang dijangkiti COVID-19, sementara memastikan sumber hospital terus diperuntukkan bagi mereka yang mengalami jangkitan lebih serius," tambahnya.
"Ini agar sistem jagaan kesihatan kami lebih berdaya tahan dan dapat menangani kenaikan permintaan bagi tenaga kerja jagaan kesihatan yan."
PENGGANTUNGAN LAWATAN KE HOSPITAL, RUMAH JAGAAN DILANJUTKAN
MOH juga menyatakan bahawa lawatan ke semua wad hospital dan rumah jagaan akan digantung lagi empat minggu sehingga 20 Mac.
Ia akan disemak semula selepas dua minggu.
"Hospital-hospital dan rumah jagaan berhak untuk membenarkan lawatan bagi kes-kes tertentu," menurut MOH. "Pengunjung-pengunjung harus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat."
Mulai hari ini, MOH dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) akan menyokong secara berperingkat rumah-rumah jagaan untuk menjaga para penghuni yang sudah lengkap divaksin namun dijangkiti COVID-19 tetapi tidak bergejala atau mengalami simptom-simptom ringan, di premis tersebut. Para pesakit sedemikian diasingkan daripada penduduk lain yang tidak dijangkiti.
Ini akan membolehkan para penduduk dijangkiti COVID-19 untuk pulih di bawah jagaan penyedia rumah jagaan yang paling mengetahui keperluan mereka, menurut MOH.
Memindahkan pesakit daripada sekitaran yang sudah mereka terbiasa akan memberi tekanan kepada penghuni rumah jagaan dan menjejas penjagaan holistik mereka, tambah MOH.
"Para penghuni yang dinilai berisiko tinggi, atau menunjukkan tanda-tanda akan berlarutan, akan terus dipindahkan ke kemudahan jagaan bagi pengurusan selanjutnya," menurut MOH lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.