Skip to main content

Singapura

Notis Jangan Keluar Rumah lebih singkat bagi pelawat dari Poland, Arab Saudi

Para pelawat dengan sejarah perjalanan ke Poland dan Arab Saudi dalam tempoh 21 hari yang lalu dan ingin memasuki Singapura mulai 23 September akan dibenarkan menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari di tempat penginapan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Sep 2021 07:10PM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 09:29PM

SINGAPURA: Para pelawat dengan sejarah perjalanan ke Poland dan Arab Saudi dalam tempoh 21 hari yang lalu dan ingin memasuki Singapura mulai 23 September akan dibenarkan menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari di tempat penginapan mereka.

Ini setelah Kementerian Kesihatan (MOH) menilai semula keadaan COVID-19 di negara-negara tersebut, menurut kementerian itu dalam kenyataan medianya pada Jumaat (17 Sep).

Negara-negara lain dalam kategori II yang sama adalah Australia, Brunei, Kanada, Jerman, New Zealand dan Republik Korea.

Para pelawat dari negara-negara atau wilayah-wilayah itu diwajibkan mengambil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dalam masa 48 jam sebelum berlepas, menjalani ujian sejurus tiba di sini dan ujian PCR pada tamat tempoh SHN pada hari ketujuh.

MOH turut menyertakan Bulgaria, Republik Czech, Perancis, Latvia, Portugal dan Sepanyol ke dalam kategori III yang lebih ketat, yang mewajibkan para pelawat dari negara-negara itu untuk menjalani SHN 14 hari di kemudahan khas atau tempat penginapan jika memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Para pelawat boleh memilih untuk menjalani SHN di tempat penginapan yang sesuai jika mereka sudah lengkap divaksin, dan tinggal seorang diri di tempat penginapan tersebut atau bersama orang lain yang lengkap divaksin dengan sejarah perjalanan dan tempoh SHN yang sama.

Mereka juga perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) kendiri pada hari ketiga, ketujuh dan ke-11.

Para pelawat dari negara dan wilayah dalam kategori I iaitu kategori paling tidak ketat, iaitu Hong Kong, Macao, tanah besar China dan Taiwan, hanya perlu menjalani ujian ketibaan sebelum memasuki Singapura.

KETIBAAN DARI INDONESIA

Dengan keadaan COVID-19 di Indonesia menunjukkan "kemajuan", MOH menyatakan semua penumpang yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dalam tempoh 21 hari sebelum berangkat ke Singapura akan dibenarkan melakukan persinggahan di Singapura.

MOH sebelum ini mengumumkan bahawa para pelawat dengan sejarah perjalanan ke Indonesia dalam tempoh 21 hari lalu tidak akan dibenarkan transit melalui Singapura, dan mereka yang memasuki Singapura juga perlu menjalani ART sejurus tiba di sini, selain ujian PCR semasa ketibaan.

Dengan perubahan-perubahan tersebut, para pelawat yang memasuki Singapura hanya perlu mengambil ujian PCR sejurus tiba di sini, selain mematuhi langkah-langkah kategori IV yang lain.

"Para pelawat dinasihatkan supaya melungsuri laman web untuk memeriksa langkah-langkah kawalan sempadan terbaru untuk negara atau wilayah yang disebutkan sebelum memasuki Singapura; dan bersedia untuk dikenakan kawalan sempadan yang dikuatkuasakan sebaik tiba di sini," menurut MOH. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita