Nostalgia lagu-lagu klasik warnai pesta seni warga emas
Pesta Seni Silver Arts Festival bagi warga emas kembali buat tahun kelapan Setember ini, dengan gabungan sekitar 270 artis dan persatuan seni.
SINGAPURA: Pesta Seni Silver Arts Festival bagi warga emas kembali buat tahun kelapan Setember ini, dengan gabungan sekitar 270 artis dan persatuan seni.
Pesta kendalian Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu berlangsung antara 5 hingga 29 September dan bakal mengimbau kenangan masa lalu.
Sebanyak 44 program menarik yang berunsurkan teater, filem, bengkel dan pameran seni diadakan di serata Singapura.
Buat pertama kalinya proses pengolahan program Silver Films, melibatkan 11 warga emas.
Sebelum ini ia hanya melibatkan kaki tangan NAC.
Lagu-lagu dari filem Melayu klasik antara sajian utama pesta seni tahun ini.
Lagu-lagu seperti "Tiada Lari Gunung Dikejar", "Bibirmu Terlukis Di Hati" dari filem Sumpah Wanita pada tahun 1960 bakal dinyanyikan bakat-bakat seperti Eddy Ali, Chacha Salleh dan Rudy Djoe menerusi konsert “Sukma Irama Layar Perak” pada 14 September di Sekolah Seni (SOTA).
Selama satu setengah jam, para penonton akan dibawa mengimbau nostalgia lagu-lagu klasik Melayu supaya tidak tenggelam dalam ingatan.
"Ini semua adalah lagu-lagu lama yang bezanya bahasa, kerana dalam bahasa-bahasa lagu-lagu lama ini, ada tersemat dan tersirat sesuatu yang "tak direct". Jadi, itulah yang saya harapkan, penonton-penonton yang muda bawa pulang sesuatu yang mereka boleh pelajari", menurut Chacha Salleh, yang juga giat aktif dalam bidang pementasan sejak kecil lagi.
“Saya ingin sekali mendedahkan lagu-lagu sebegini untuk anak-anak muda kita, generasi baru supaya mereka dapat lebih mengenali dan juga mendalami lagu-lagu era 50-an, 60-an, lagu-lagu klasik.”, kata penyanyi Siti Zahrah.
Konsert “Sukma Irama Layar Perak" juga menurut penerbit Wadah Seni Entertainment, Siti Aminah pula bertujuan menjunjung budi penyanyi latar seperti Abdullah Chik and Jamaliah Syarif.
SUSUNAN MENARIK, GHAZALKAN LAGU-LAGU GENRE LAIN
Orkestra Melayu Mutiara juga bakal membuat penampilan di pesta itu buat pertama kali pada 22 Sep di Bangunan Perpustakaan Negara.
(Gambar: Orkestra Melayu Mutiara)
Mereka akan mengiringi penyanyi veteran, seperti R. Ismail dan turut menyajikan lagu-lagu asli, inang, rock, yang disusun dalam genre ghazal untuk menarik perhatian para penonton.
Menariknya, juga orkestra itu turut akan mempersembahkan lagu-lagu Jepun.
Menurut pemimpin mereka, Encik Nasir Abdullah: "Orkestra Melayu Mutiara mampu untuk menghidangkan para penonton dengan penyanyi-penyanyi yang sungguh luarbiasa dari kami. Kami akan menghiburkan para penonton yang akan datang, insya-Allah."
Bagi maklumat lanjut, anda boleh melungsuri lelaman NAC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.