Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Northshore Plaza di Punggol dibuka rasmi; pusat kejiranan pinggir laut pertama HDB

Northshore Plaza, pusat kejiranan generasi baru di pinggir laut yang pertama oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dibuka rasmi pada Ahad (24 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jul 2022 04:35PM Dikemas Kini : 24 Jul 2022 09:01PM
SINGAPURA: Northshore Plaza, pusat kejiranan generasi baru di pinggir laut yang pertama oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dibuka rasmi pada Ahad (24 Jul).

Pusat yang merangkumi dua blok dan setinggi tiga tingkat itu ditempatkan di Daerah Punggol Northshore iaitu kawasan bijak dan mampan yang pertama seumpamanya oleh HDB, menurut satu lembaran fakta.

Bangunan tersebut, yang menempatkan 52 kedai, "direka sedemikian rupa untuk memanfaatkan kawasan utamanya yang terletak di pinggir laut dan disepadukan secara lancar dengan bangunan-bangunan di sekelilingnya," menurut HDB.

Northshore Plaza membolehkan ketersambungan yang lancar dari stesen LRT Samudera ke pinggir laut Punggol dan Rangkaian Penghubung Taman serta juga kawasan perumahan sederetnya. Lantas, memberikan penduduk kemudahan dan akses yang berbumbung untuk ke kedai-kedai, ruang masyarakat serta pesiaran tepi pantai.

Reka bentuknya juga, menurut HDB, mesra alam.

Pemodelan alam sekitar terlibat dalam perancangan dan reka bentuk bangunan itu.

Antaranya, interaksi faktor-faktor persekitaran seperti aliran udara, jumlah cahaya matahari yang menyimbahi permukaan dan di mana bayang-bayang terbentuk dapat disimulasikan.
Ruang masyarakat di Northshore Plaza. (Gambar: HDB)
Data yang dihimpunkan digunakan untuk mereka dan menentukan lokasi ruang-ruang masyarakat dengan cara yang memanfaatkan arah tiupan angin serta memaksimumkan aliran udara, terang HDB.

"Lampu-lampu yang dipasang pada bahagian bumbung juga membolehkan cahaya semula jadi memancarkan sinaran ke dalam ruang-ruang dalaman bangunan tersebut, manakala tumbuhan-tumbuhan ditanam di kawasan yang berpotensi menjadikannya mekar bagi mengurangkan suhu kawasan sekeliling.

Ciri-ciri ini mengurangkan keperluan bagi pencahayaan buatan dan hawa dingin, lantaran itu, mengurangkan penggunaan tenaga.

Northshore Plaza juga dipasang dengan panel-panel suria untuk memanfaatkan tenaga bersih bagi menjana kuasa untuk ruang-ruang yang digunakan bersama.

CIRI-CIRI BIJAK NORTHSHORE PLAZA

Antara ciri-ciri bijak yang disertakan dalam pembinaan Northshore Plaza adalah kipas angin dan pencahayaan di ruang bersama. Kelajuan kipas angin dan tahap pencahayaan boleh disesuaikan berdasarkan aliran angin serta corak lalu lintas orang ramai, jelas HDB.

Lif dan tangga bergerak di Northshore Plaza juga dipasang dengan penderia yang mengesan operasi dan mengeluarkan amaran apabila ia perlu menjalani kerja-kerja penyenggaraan.

Cara ini dapat menghuraikan sebarang masalah dengan segera, dengan sedikit gangguan pada perkhidmatannya.

Northshore Plaza juga memanfaatkan sistem letak kenderaan bijak yang bebas hadangan, Parking@HDB, yang sudahpun digunakan di kawasan perumahan HDB Northshore berhampiran.

Ketiadaan penghadang gantri membantu mengurangkan kesesakan yang kadangkala berlaku di tempat masuk atau keluar tempat letak kenderaan, terutama semasa waktu sibuk, terang HDB.

Plat nombor kenderaan juga didaftarkan melalui kamera dan bayaran letak kenderaan dihitung secara automatik. Pemandu boleh membuat pembayaran untuk meletak kenderaan melalui sebuah aplikasi, tanpa perlu menggunakan CashCard.

Bahkan, pengalaman membeli-belah juga sudah diubah, dengan kedai digital yang dapat diakses melalui sebuah aplikasi.
Robot automatik menghantar barangan ke sebuah kedai runcit di Northshore Plaza. (Gambar: HDB)
Robot-robot automatik juga sedang diuji cuba bagi penghantaran barangan.

"Di bawah kerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), robot-robot mengambil dan menghantar barangan secara automatik dari tempat memunggah ke kedai-kedai, mengurangkan keperluan bagi penghantaran secara manual," menurut HDB.

"Para pembekal juga boleh menggunakan sistem tempahan HDB untuk menyatakan waktu penghantaran mereka dan menempah petak di tempat memunggah bagi proses penghantaran yang lebih cekap."

Sementara itu, HDB juga menyatakan enam daripada lapan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Daerah Punggol Northshore sudahpun selesai.

Baki dua BTO dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini.

HDB menarik perhatian Northshore Plaza adalah dalam kalangan lima pusat kejiranan generasi baru yang sudah siap dibina sejauh ini, di samping Oasis Terraces di Punggol, Buangkok Square, Hougang Rivercourt dan Canberra Plaza di Sembawang.

Anchorvale Village di Sengkang dijadual siap menjelang hujung tahun 2023, menurut HDB.

Ia menambah dua pusat kejiranan di Tengah dijangka siap menjelang suku pertama 2024 dan suku ketiga 2025.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan