Skip to main content

Singapura

Norman Ishak tetap popular tanpa akaun media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
Norman Ishak tetap popular tanpa akaun media sosial

Norman Ishak merangkul tiga anugerah di Pesta Perdana ke-18. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Pelakon berbakat besar, Norman Ishak berjaya mempertahankan kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Bersiri) Pesta Perdana 2025 menerusi lakonannya dalam 'Cerita Dia Macam Ni'.

Sebelum ini, beliau pernah memenangi kategori itu pada 2023 bagi lakonannya dalam drama Identiti.

Tahun ini, beliau berjaya mengetepikan pesaing-pesaingnya yang lebih mapan iaitu Rafaat Hamzah, Hasnul Rahmat, Husin Saaban, Sani Hussin dan Fir Rahman.

Norman, 37 tahun juga merangkul Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Telefilem/Antologi).

TIADA AKAUN MEDIA SOSIAL, NORMAN TETAP POPULAR

Bukan sahaja bakatnya diakui para juri, Norman juga dihargai para peminatnya dengan kemenangannya dalam kategori Personaliti Lelaki Paling Popular.
 
Norman Ishak membuktikan beliau boleh terus meraih perhatian para penonton menerusi bakat dan seninya. (Gambar: Mediacorp)
Beliau juga pernah memenangi Anugerah Personaliti Lelaki Paling Popular pada 2021.

Meskipun tanpa akaun media sosial dan tidak aktif di alam maya, Norman juga membuktikan beliau boleh terus meraih perhatian para penonton menerusi bakat dan seninya.

"Ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada yang saya kenal atau saya tidak kenal. Saya ingin mengucapkan terima kasih melalui online juga susah kerana saya tidak mempunyai media sosial. Terima kasih kerana mengundi saya dan menyokong kerjaya saya dan juga menyokong industri tanah air kita ini", ujar Norman kepada wartawan Hidir Ezat.

Dengan kejayaan itu, Norman berhasil membolot ketiga-ketiga anugerah dalam kategori yang beliau dicalonkan.

“Saya rasa saya sebenarnya lebih kepada terkejut. Tak sangka menang ketiga-tiga sekali tapi saya berterima kasih dan bersyukur. Ini mungkin malam ini malam saya, rezeki saya tapi saya rasa kurang selesa kalau terima anugerah seorang diri. Jadi sebab tu saya rasa saya memang selalu ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong dan juga semua calon calon yang lain,” kata Norman.
 
Wahyu Rahman menang Anugerah Personaliti Wanita Paling Popular. (Gambar: Mediacorp)
Bagi kategori Personaliti Wanita Paling Popular pula dimenangi oleh Wahyu Rahman. Antara pesain-pesaing yang berjaya kalahkan adalah Daya AJ, Izyan Mellyna, Lydia Asyiqin dan Sofia Dendroff.

Kata pelakon, penulis skrip dan penerbit Wahyu Rahman, "Terima kasih kerana mengundi saya, kerana percayakan saya. Jadi jangan lupa untuk undi diri anda sendiri. Percaya dengan diri anda sendiri kerana siapalah kita kalau kita tidak percayakan pada diri kita sendiri. Terima kasih kepada anda semua."

HUSIN SAABAN BANGGA LAWAK MELAYU DIANGKAT

Pengiktirafan tertinggi Pesta Perdana 2025 pula diberikan kepada pelawak veteran Husin Saaban.
 
Husin Saaban dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Emas Pesta Perdana ke-18. (Gambar: Mediacorp)
Bagi dirinya, Anugerah Perdana Emas itu juga mengiktiraf lawak Melayu Singapura.

"Saya sama sekali tidak menyangka akan menerima anugerah tertinggi dalam seni tanah air Singapura ini. Jadi bila saya diberitahu, saya rasa perjuangan saya selama ini terutama dalam membangkitkan dunia lawak Melayu Singapura ini, saya rasa macam dapat dihargai dan ini juga bagi saya satu selain daripada hadiah satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya. Selagi saya sihat, saya akan terus dan terus memajukan, menyuburkan dunia Lawak Melayu Singapura," kata pelakon mapan berusia 72 tahun itu.

Beliau juga bangga melihat bagaimana lawak Melayu makin diterima dan diangkat setaraf dengan aspek lain hiburan.

Encik Husin berharap ia dapat terus berkembang maju dalam industri hiburan tanah air.

"Bagi saya, dalam bidang drama,contohnya termasuk hiburan lawak ini dulu hanyalah sampingan dulu tapi sekarang bila kita lihat di Singapura terutama sekali di negara-negara jiran, lawak adalah benda yang kuat dan utama dan banyak kita dapat saksikan sekarang pelawak pelawak sudah sangat besar. Nama mereka setanding dengan penyanyi penyanyi yang tersohor. Jadi bagi saya, ini harus menjadi contoh kepada industri seni Singapura ini yang mana kita cubalah cuba menyuburkan balik dunia lawak kita baik dalam drama ataupun hiburan agar dapat bersaing dengan Lawak Lawak Luar Singapura," luahnya kepada wartawan Hidir Ezat.

GABUNGAN 4 NEGARA HASILKAN DRAMA TERBAIK

Hasil gabungan bakat-bakat hebat dari empat buah negara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Australia menerusi drama 'Operandi Gerhana' pula diangkat sebagai 'Drama Terbaik' dalam Pesta Perdana yang ke-18.
Pengarah drama Operandi Gerhana, Mike Wiluan (kiri) dan penerbitnya, Freddie Yeo (kanan) meraikan kemenangan Anugerah Drama Terbaik. (Gambar: Mediacorp)
Drama bersiri terbitan Infinite Studios itu berjaya mengetepikan lagi empat calon iaitu Banjir Raya, Cerita Dia Macam Ni, Mencari Marina dan musim kedua S.P.Y.

Pengarahnya, Mike Wiluan berkata, “Beberapa episod yang sangat berat ada aksi, ada drama dengan ada beberapa pemain juga dari beberapa negara logistiknya sangat-sangat berat juga. Jadi pengorbanan dengan kru dengan para pelakon sangat berat dengan saya bangga dengan persembahan mereka."

“Sudah tentu ia akan mengambil banyak masa untuk mencapai keaslian dan memastikan ketepatan dalam drama ini. Jadi, saya rasa setiap masa dan usaha setiap ahli pasukan jelas terpamer dalam siri ini,” kata Penerbit Operandi Gerhana, Freddie Yeo.

Siri drama itu merupakan antara penerbitan Melayu terbesar SURIA dan menjadi rancangan terbitan Mediacorp pertama yang ditayangkan serentak di kedua-dua meWatch dan perkhidmatan penstriman, Netflix.

'Operandi Gerhana' turut memenangi lagi dua anugerah iaitu Pelakon Wanita Terbaik (Drama Bersiri) oleh Carmen Soo dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama Bersiri) oleh Jamie Aditya.
 
Sebanyak 25 anugerah disampaikan dalam malam gilang-gemilang Pesta Perdana ke-18 pada Sabtu (24 Mei).

Pemenang bagi kategori-kategori teknikal bagi penerbitan Melayu di SURIA pula akan diumumkan dalam acara Mediacorp Screen Awards kemudian.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita