Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Norheesham Rahmat lulusan ITE pertama ditawar tempat dalam NTU selepas ikuti WSDip

Keputusan GCE 'N' Norheesham Rahmat menurut beliau sendiri "gagal dan rabak". Dengan keputusan itu, dia meneruskan pendidikan di Institut Pendidikan Teknikal sebagai pelajar Nitec.

Anggaran Waktu Membaca:
Norheesham Rahmat lulusan ITE pertama ditawar tempat dalam NTU selepas ikuti WSDip

Norheesham Rahmat lulusan ITE pertama dapat masuk universiti tempatan selepas mengikuti WSDip. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Keputusan GCE 'N' Norheesham Rahmat menurut beliau sendiri "gagal dan rabak". Dengan keputusan itu, dia meneruskan pendidikan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebagai pelajar Nitec.

Namun percayakah anda, Norheesham baru-baru ini mendapat tempat di Universiti Teknologi Nanyang (NTU)? Pada usia 28 tahun, dia akan melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan awam di universiti itu. Cukup mengagumkan.

Ini dapat dicapainya menerusi program diploma bekerja sambil belajar (WSDip) yang ditawarkan ITE. Di bawah program itu, para lulusan ITE diberi peluang bekerja sepenuh masa dengan sebuah syarikat hos sambil mengikuti pengajian diploma.

(Gambar-gambar: Norheesham Rahmat)

Norheesham dalam kalangan kumpulan pertama pelajar WSDip yang memulakan pengajian diploma mereka pada 2018. Selepas tiga tahun, kesemua 84 penuntut WSDip itu akhirnya rasmi tamat pengajian dan kini pemegang diploma.

Norheesham pula salah satu pelajar terbaik dalam kohort pertama program berkenaan di mana purata nilai gred yang diraih adalah 3.75. Ini bermakna, gred yang dicapai bagi kebanyakan modul yang didudukinya adalah gred A. Ini sekali gus melayakkan Norheesham menjadi lulusan WSDip pertama yang ditawarkan tempat di sebuah universiti tempatan.

"Rasa gembira ada. Bangga pun ada. Seram juga. Ini satu cabaran," luah Norheesham kepada BERITAmediacorp.

PERJALANAN DARI NITEC HINGGA KE NTU

Menceritakan perjalanannya semasa baru-baru masuk ITE, bekas pelajar aliran Normal Akademik di Sekolah Menengah Dunman itu mengakui dia dahulu "memang susah sikit nak belajar dari buku".

Sungguhpun begitu, keinginan untuk belajar tidak disangka-sangka mula tercetus ketika dia mengikuti kursus automotif di ITE.

"Saya lagi laju kalau saya dapat pegang apa yang saya pelajar. Senang untuk saya faham. Dari Nitec saya faham apa bakat saya. Saya bagus dalam jurusan teknikal. Dari situ, saya ingin meneroka lagi. Saya nak cuba lagi banyak kerja," ujar Norheesham.

Norheesham bersama adik-beradiknya. 

Anak kedua empat beradik itu seterusnya mengikuti Nitec Lanjutan dalam jurusan teknologi perkapalan sebelum mendapat kerja di syarikat Keppel Offshore & Marine Ltd sebagai seorang pendraf.

Selepas beberapa tahun bekerja, Norheesham ditawarkan pula untuk menyertai WSDip yang mana dia dapat belajar di syarikatnya sendiri. Keppel Offshore merupakan antara syarikat hos WSDip.

"Sebagai pelajar program ini, saya dapat buka minda saya. Saya dapat cuba semua jabatan. Bukan satu tempat sahaja. Saya dapat pergi misalnya ke jabatan badan kapal, perpaipan," kongsi Norheesham.

Pendedahan seperti itulah yang membolehkannya mempunyai prestasi menyerlah sehingga diiktiraf dengan Pingat Emas Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura. Norheesham juga sudah dinaikkan pangkat menjadi Penolong Jurutera Perancangan di Keppel.

Pendek kata, kisah Norheesham ini membuktikan selagi keinginan itu ada, kejayaan boleh dicapai. Norheesham malah boleh berbangga. Dari ITE, dia kini akan melangkah ke NTU.

Ini nasihatnya bagi para pelajar di luar sana yang mungkin kurang dorongan untuk belajar saat ini:

"Cuba semua perkara. Kalau itu tak boleh, cuba ini. Ini tak boleh, cuba itu. Eventually you will land somewhere you like. (Anda akhirnya akan berada dalam sesuatu bidang yang anda suka)."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan