Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Norfasarie buka perniagaan aksesori demi sokong minat anak, pupuk semangat keusahawanan

Anggaran Waktu Membaca:
Norfasarie buka perniagaan aksesori demi sokong minat anak, pupuk semangat keusahawanan

(Gambar-gambar: Instagram/Norfasarie)

BERITAmediacorp: Hasrat ibu empat anak ini hanyalah untuk meninggalkan legasi bagi empat cahaya matanya apabila mereka dewasa kelak.

Maka itu, usahawan dan personaliti Norfasarie Yahya bertungkus-lumus membina perniagaan syarikat kecantikan Moza Aesthetics - sempena nama anak perempuan sulung beliau - untuk mendorongnya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi pakar dermatologi demi memperluaskan perniagaan tersebut di kemudian hari.

Namun, cita-cita anak berusia 11 tahun itu jelas jauh lebih besar daripada itu.

"Mummy, saya mahu cuba berniaga. Boleh tak saya lakukan sesuatu sekarang?

"Saya mahu mulakan dengan 'scrunchie' (sejenis getah rambut), sikat dan mungkin aksesori," ujar anak kecil itu kepada Norfasarie awal tahun ini.

moza
(Gambar: Norfasarie Yahya)

Yang jelas, semangat keusahawanan yang membara pada usia muda dalam diri Moza Alyka Baihakki tidak dapat disangkal ibunya sendiri, yang akhirnya mengalah untuk menjadikan impian murid Sekolah Rendah St. Margaret's itu satu kenyataan.

Norfasarie memberitahu BERITAmediacorp: "Saya tidak mahu melunturkan semangatnya.

"Saya pun minat pada kecantikan, sebab itu saya pun berkata 'okaylah, kita mula di Instagram dan TikTok dahulu'.

"Kami menjual set empat hingga lima 'scrunchie', sikat dan tempat menyimpan 'scrunchie' dalam kotak yang bernilai $78 untuk 'test market' semasa bulan puasa tahun ini dan sekitar 100 kotak berjaya dijual.

"Pada masa yang sama, ada ruang yang kurang digunakan di cawangan Moza Aesthetics. Jadi saya bertanya kepada Moza sama ada dia bersedia untuk 'go full force'.

"Moza kemudian mula bekerja keras menghasilkan logo dan sangat menunjukkan minat serta sangat terlibat dalam mewujudkan jenama ini."

myla moza

Berkat sokongan ibu dan minat mendalam Moza dalam bidang perniagaan, jenama aksesori Myla Moza akhirnya bakal dirasmikan petang Sabtu (1 Okt) bersempena rumah terbuka Moza Aesthetics di cawangan yang terletak di Far East Plaza itu.

Sempena pelancaran Myla Moza juga, khidmat menindik telinga juga akan mula disediakan di pusat kecantikan Moza Aesthetics pada hari yang sama.

DICIPTA BAGI IBU DAN ANAK PEREMPUAN; DEMI MINAT MOZA

Menggabungkan kedua-dua nama anak perempuannya - Myla Alyka Baihakki dan Moza - jenama tersebut menjual pelbagai jenis aksesori yang dipilih secara khusus, termasuk anting-anting, gelang, klip rambut, cekak dan beg tangan.

"Myla Moza dihasilkan bagi ibu dan anak perempuannya, dan demi minat Moza.

"Saya sudah berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak Moza bayi lagi dan dia nampak bagaimana saya berkembang maju dalam dunia perniagaan.

"Setakat ini, tidak banyak syarikat aksesori tempatan. Jadi kami berharap satu hari nanti, kami dapat mereka bentuk barang kemas kami sendiri dan buka beberapa kedai pada masa akan datang," kongsi Norfasarie tentang matlamat Myla Moza.

Malah sebahagian daripada hasil jualan Myla Moza akan turut disalurkan kepada pertubuhan pilihan Moza, Enabling Village, ruang inklusif bagi golongan berkeperluan khas untuk berlatih dan bekerja.

"Moza pernah berada di Enabling Village dan menyaksikan mereka di sana.

"Meskipun dia sendiri dilahirkan dengan satu tangan sahaja, dia rasa dia lebih bernasib baik dan mahu menjadi seorang relawan di sana satu hari nanti," kongsi Norfasarie, atau lebih mesra dengan panggilan Norfa.

DIDIK ANAK SUPAYA MENGIMBANGI TANGGUNGJAWAB, JERIH PAYAH PERNIAGAAN

Turut memiliki Spa by Norfasarie dan Tumeet by Norfasarie, isteri Baihakki Khaizan ini bagaimanapun merasakan hari pelancaran Myla Moza sebenarnya 'hari besar-besaran' bagi Moza, dan bukan dirinya.

"Moza begitu teruja bagi pelancaran itu sehingga mahu saya mengajarnya cara mengendalikan wang jualan, tetapi tentunya belum masanya lagi.

moza
(Gambar: Norfasarie Yahya)

"Pada masa yang sama, saya memberitahu bahawa dia harus belajar mengimbangi semua ini jika dia mahu melakukan sesuatu. Jika pelajarannya merosot, dia harus menghentikan semua ini," tegas Norfa.

Yang pasti, Norfa tetap memberi keutamaan kepada peranannya sebagai seorang ibu terlebih dahulu, berbanding usahawan.

Sekalipun demikian, beliau tetap berharap pengalaman membuka perniagaan baru ini mendidik Moza menjadi seorang anak kecil yang lebih berdedikasi dalam bidang perniagaan.

"Saya harap beliau mula belajar bahawa menjadi seorang usahawan itu tidak semudah yang disangka dan dia harus bekerja keras.

"Saya harap insya-Allah dia dapat mengambil alih dan memperluaskan perniagaan ini, dan saya boleh bersara," kongsi Norfa lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan