Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Noor Fuad dan Fauzan Ramlan tinggalkan kerjaya stabil demi kejar impian untuk berniaga sendiri

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bukan mudah untuk meninggalkan kerjaya yang stabil untuk menceburi bidang perniagaan.

Apatah lagi jika perlu bermula daripada bawah dan perlu membina semula kerjaya dalam bidang seterusnya.

Itulah yang dilakukan Encik Noor Fuad, 32 tahun yang mengambil langkah berani untuk meninggalkan kerjaya sebagai Kapten dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).


(Gambar: Noor Fuad) 

Alasan untuk menukar kerjaya selama enam tahun dibuat pada waktu genting dalam hidupnya.

Encik Fuad menghidap penyakit barah Koriokarsinoma tahap empat pada 2016 dan merasakan perlu memberi tumpuan kepada proses pemulihan diri.

"Bukan keputusan yang senang untuk meninggalkan kerjaya saya tetapi saya membuat keputusan untuk meninggalkan SAF kerana untuk memberi tumpuan pada diri saya dari segi rohani dan juga fizikal juga," kongsi beliau.

Beliau kemudian bekerja secara sambilan di sebuah kedai kuih dan roti.



"Di kedai itu ada seorang pakcik membuat roti jadi saya tertarik dengan proses membuat roti tersebut. Pada masa itu, saya mengambil kesempatan untuk belajar. Dan selepas itu, minat membuat pastri ini bermula bila saya melihat media sosial dan juga YouTube, daya tarikan dari segi astetikanya," kongsi Encik Fuad kepada BERITAmediacorp.

Tanpa latar belakang dalam bidang kulinari, Encik Fuad perlu bermula daripada bawah.

Beliau mengambil masa kira-kira dua tahun untuk belajar teknik membuat roti dan pelbagai jenis pastri seperti Viennoiserie.

Encik Fuad kemudian mula berniaga dari rumah secara sambilan pada awal tahun 2020.



Pada tahun ini, beliau mengambil langkah berani untuk melakukan perniagaan dari rumahnya yang dipanggil Captain Roti secara sepenuh masa.

"Keluarga saya yang menjadi motivasi, isteri saya dan anak saya untuk memberi mereka kehidupan dan nafkah yang sebaik-baiknya. Saya rasa itu adalah motivasi yang membuat saya bangun setiap hari pukul 2.00 atau 3.00 pagi untuk bermula bekerja," ujar Encik Fuad yang mempunyai seorang anak.

INGIN BINA LEGASI KELUARGA DAN BERI INSPIRASI KEPADA PESAKIT BARAH

Perniagaan itu disifatkan olehnya sebagai cara untuk membina satu legasi buat keluarganya.


Encik Fuad bersama isteri (Gambar: Noor Fuad) 

"Perniagaan ini bukan sahaja semata-mata untuk mencari duit tetapi untuk membina legasi. Saya ingin memberi inspirasi kepada pesakit-pesakit barah bahawa ia adalah wajar untuk bangun semula. Tidak mengapa jika jatuh tetapi apa yang penting adalah untuk bersemangat dan berusaha dengan gigih," luah Encik Fuad.

Malah, untuk Encik Fuad sendiri, beliau pernah menghadapi beberapa rintangan semasa beliau baru mula ingin berjinak-jinak dengan perniagaannya.


Ia termasuk pendapatan serta kebimbangan tentang mutu pastri-pastri yang dijualnya.

"Di Singapura, bukan senang ingin membuat pastri ini sebab cuaca yang panas dan lembap jadi mentega ini yang saya gunakan untuk membuat pastri amat sensitif kepada suhu. Dan ini membuat saya amat bimbang hari-hari sama ada ia akan jadi atau tidak," luah Encik Fuad.

"Ada juga orang yang berkata kepada saya, sudahlah, cari kerja yang biasa sudah. Buat apa ingin bersusah payah membuat perniagaan?" tambahnya lagi.

BANGUN PADA 3 PAGI UNTUK ULI ROTI CROISSANT DI SAMPING ISTERI

Namun begitu, beliau tidak membenarkan cabaran-cabaran itu untuk menjejas minat dan semangat beliau untuk meneruskan perniagaan itu.

"Saya sanggup bangun pada 3.00 pagi untuk menguli supaya mahir membuat roti croissant ini. Dan isteri saya berada di samping saya semasa dia hamil," kata beliau.

"Dengan mengimbas kembali bagaimana kami bermula, ia membuat saya ingin terus maju ke hadapan," tambah Encik Fuad.



Apabila ditanya pula tentang sambutan bagi pastri-pastrinya, Encik Fuad berkongsi bahawa rata-rata maklum balas yang diterima adalah baik.

Beliau kini berharap untuk terus membuat roti pastri yang "bukan sahaja sedap untuk dimakan tetapi juga artistik dan cantik untuk dilihat, cantik untuk bergambar."



Pada masa yang sama, Encik Fuad juga sanggup melabur masa dan wang untuk mengikuti kursus di luar negara untuk meningkatkan kemahirannya itu.

Beliau berharap usaha gigih dan konsisten beliau dapat dijadikan teladan bagi golongan muda.

TINGGALKAN KERJAYA SEBAGAI JURUTERA UNTUK MULAKAN PERNIAGAAN MENGAIT AMBAL



Seperti Fuad, Fauzan Ramlan, 30 tahun, juga perlu bermula daripada bawah tanpa sebarang latar belakang dalam bidang seni.

Beliau mengambil langkah berani untuk meninggalkan kerjaya enam tahun sebagai jurutera jualan di sektor perubatan untuk mengait dan menjual ambal.

"Saya akhirnya menemui sesuatu yang saya minat dan saya suka. Bila saat saya buat ini (ambal), saya gembira," kongsi Encik Fauzan kepada BERITAmediacorp.

"Tetapi bila saat saya bekerja sepenuh masa ini semua, memang tujuan kita untuk menolong orang tetapi rasanya tidak sama seperti mengait ambal. Mengait ambal ini membuat saya lebih gembira," tambah beliau.



Minatnya dalam seni mengait ambal bermula pada 2019 ketika beliau menonton sebuah video di mana seorang warga Arab itu mengait ambalnya sendiri.

"Bila saya melihat prosesnya, saya terus minat dan jatuh cinta dengan ideanya. Jadi daripada situ, saya perlahan-lahan ke wadah online mencari barang-barang dan kemudian saya mula membuat bingkai sendiri dan saya bermula dari situ," kata Encik Fauzan.

PERNIAGAAN MENARIK PERHATIAN RAMAI



Walau bagaimanapun, ada juga yang meluahkan kebimbangan terhadap idea artis "belajar sendiri" itu untuk memulakan perniagaannya.

Ia termasuk rakan-rakannya.

"Saat saya berkongsi idea dengan mereka, mereka macam '50/50' atau kurang yakin dengan idea saya," luah Encik Fauzan.

"Jadi saya terangkan kepada mereka, apa kata anda memberi rekaan kepada saya. Saya mengaitkan ambal untuk anda dan bila anda lihat hasilnya, anda beritahu saya sama ada perniagaan ini boleh maju atau tidak," tambah beliau.

Encik Fauzan berjaya meraih keyakinan rakan-rakannya.



Malah, perniagaannya itu juga mula mendapat perhatian di ruang media sosial di mana beliau kerap berkongsi proses mengait ambal.

"Saya selalu membuat video jadi bila pelanggan saya menonton video, mereka seperti tidak sabar untuk menerima ambal itu. Jadi bila saya sendiri menghantar ambal itu kepada mereka, tanggapan pertama mereka kepada saya ialah ia (ambal) kelihatan lebih baik daripada dalam video. Jadi ini saya rasa adalah maklum balas yang positif," menurut Encik Fauzan.

IBU BANGGA DENGAN KEJAYAAN ANAK

Dalam masa setahun sahaja, beliau sudah menjual lebih daripada 140 ambal.

Ibunya yang pada mulanya ragu dengan keputusannya meninggalkan kerjaya kini bangga dengan pencapaiannya.



"Memang tak ada keyakinan (pada mulanya) sebab kerja (dahulu) sudah bagus dan sekolahnya pun bagus. Bila dah beri bagus-bagus, apa hal ingin buat kerja sebegini?" kongsi Cik Gaya kepada BERITAmediacorp.

"Alhamdulillah, perlahan-perlahan itu, saya nampak dia ada tunjukkan kemajuan apabila nampak orang yang membeli. Saya tanyalah, berapa banyak orang beli? Boleh buat ke tak boleh?," ujar ibunya.

Pada masa yang sama, Cik Gaya juga turut memberi sokongan moral dan juga fizikal, termasuk membelikan bahan-bahan untuk Encik Fauzan.

"Kita sebagai mak bapak cuma doa yang terbaik untuknya. Apa yang dia buat, mudah-mudahan dia berjaya dalam apa yang dia ingin lakukan," kata Cik Gaya.

NASIHAT KEPADA ANAK MUDA



Ditanya apa nasihat yang boleh diberikan kepada anak muda di luar sana, Encik Fauzan menggalakkan mereka untuk mengejar impian dan minat mereka.

"Yang paling penting bagi saya ialah untuk mereka menjadi lagi konsisten bila melakukan sesuatu yang mereka minat," ujar Encik Fauzan.

Beliau merancang untuk membuka studionya sendiri bagi melatih anak-anak muda dalam seni mengait ambal.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan