'No Plastic Bag' mula dikuat kuasa di 7 cawangan FairPrice
Mulai hari ini (16 Sep), anda yang berbelanja di tujuh cawangan FairPrice dan Cheers perlu membayar 10 atau 20 sen untuk menggunakan beg plastik.
SINGAPURA: Mulai hari ini (16 Sep), anda yang berbelanja di tujuh cawangan FairPrice dan Cheers perlu membayar 10 atau 20 sen untuk menggunakan beg plastik.
Inisiatif "No Plastic Bag" atau 'tiada beg plastik' itu sebagai menyokong usaha menjaga alam sekitar.
Percubaan selama sebulan itu berkuatkuasa di cawangan-cawangan berikut:
1) FairPrice Xtra @ Hougang One No. 1
2) FairPrice Finest @ Zhongshan Park
3) FairPrice @ Tai Seng
4) Cheers @ 1 Create Way
5) Cheers @ Sengkang Community Hospital
6) Cheers @ 611 Aljunied Road
7) FairPrice Xpress @ 384 Lorong Chuan, Singapore 556810
Pembeli yang memerlukan beg plastik di pasar raya FairPrice dikenakan bayaran S$0.20 sen manakala di kedai Cheers dan FairPrice Xpress pula, dikenakan bayaran S$0.10 sen bagi setiap urus niaga.
Hasil yang terkumpul pula akan disalurkan ke Persatuan Kanak-Kanak Singapura dan Dana Wang Saku Sekolah Straits Times.
RAMAI PEMBELI DATANG SIAP BAWA BEG-BEG DAN TROLI SENDIRI
Berita tentang percubaan tiada beg plastik itu mula dihebahkan pada minggu lalu dan mula dilaksanakan hari ini.
BERITAmediacorp turun padang ke salah sebuah pasar raya NTUC FairPrice Xtra kejiranan yang sibuk iaitu di pusat beli-belah Hougang One, untuk meninjau suasananya.
Ternyata, rata-rata ramai pembeli memang sudah bersiap sedia dengan beg mereka sendiri, beg guna semula dan juga troli.
Ketua Pegawai Eksekutif, NTUC FairPrice, Encik Seah Kian Peng sendiri turun padang untuk sama-sama menyebarkan mesej mengurangkan penggunaan beg plastik.
Akur dengan pentingnya beg-beg plastik di Singapura, Encik Seah berkata: "Beg-beg plastik di Singapura memang ada kegunaannya. Bagaimana kita membuang beg-beg plastik itu juga sangatlah berbeza berbanding dengan negara-negara lain. Jadi kita harus pertimbangkan itu.
"Ayuh kita sama-sama bawa beg guna semula."
BUKAN BANTU ALAM SEKITAR SAHAJA...
Tinjauan kami ke atas para pelanggan mendapati ramai yang menyambut baik inisiatif ini dan akur bahawa langkah ini bukan saja melindungi alam sekitar, malah juga haiwan dan mereka yang kurang bernasib baik.
"Inisiatif ini bagus kerana banyak kali plastik dibuang di tepi jalan dan binatang-binatang akan makan plastik ini," kata Mustaqim, seorang pelajar.
"Kalau kita beli barang di sini (pasar raya) dan bayar setakat 20 sen, ibarat macam menderma untuk dan salurkan kepada badan-badan dana yang memerlukan," kata Cik Rohayah, yang bertugas di kawasan berdekatan cawangan NTUC FairPrice itu.
Selain daripada percubaan itu, FairPrice akan menjalankan tinjauan sentimen para pembeli mengenai penggunaan beg plastik sepanjang sebulan itu.
Ia berharap dapat membantu dalam membangunkan rancangan lebih mampan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dalam jangka panjang.
Sejajar dengan itu warga Singapura dipelawa mengemukakan cadangan supaya dapat mengurangkan sisa plastik dan makanan di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.