Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NMP sekarang 'menjalankan tugas dengan baik': Tan Chuan-Jin

Seseorang NMP boleh berkhidmat selama dua tempoh, dengan setiap tempoh selama dua setengah tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
NMP sekarang 'menjalankan tugas dengan baik': Tan Chuan-Jin

Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 04 Jul 2018 10:58AM Dikemas Kini : 04 Jul 2018 11:08AM

SINGAPURA: Barisan Anggota Parlimen yang Dilantik (NMP) yang ada sekarang sudah "menjalankan tugas dengan baik" dan "terus cuba meneroka perkara-perkara baru" kata Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dalam satu wawancara dengan Mediacorp.

Komen beliau itu dibuat menjelang tarikh tutup pencalonan awam bagi barisan NMP baru pada 4.30 petang Jumaat (6 Julai). Sekurang-kurangnya separuh daripada sembilan NMP sudah memaklumkan bahawa mereka akan melepaskan jawatan pada bulan September apabila tamat tempoh khidmat mereka. Mereka adalah Cik Kuik Shiao-Yin, Encik Thomas Chua, Encik Kok Heng Leun dan Encik Azmoon Ahmad.

Seseorang NMP boleh berkhidmat selama dua tempoh, dengan setiap tempoh selama dua setengah tahun.

"Kadang-kala mereka mungkin membuat pemerintah berasa tidak selesa tetapi itulah yang seharusnya. Bukan untuk kepentingannya sendiri, tetapi isu-isu yang sukar, janggal, yang patut dibincangkan ... sepatutnya dibincangkan. Dan saya fikir adalah tanggungjawab pemerintah untuk memberi respon," kata Encik Tan, yang juga mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas, lapan anggota yang meneliti nama-nama orang yang layak bagi jawatan tersebut.

Encik Tan berharap bahawa dengan berbuat demikian, ia akan membuka jalan bagi Anggota Parlimen yang lain untuk menyumbangkan perspektif masing-masing, dan dialog-dialog serta perbincangan tersebut boleh membawa kepada keputusan yang lebih baik terhadap dasar-dasar.

Para anggota lain dalam jawatankuasa itu adalah Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pendidikan Chee Hong Tat, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu, Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon, Anggota Parlimen GRC Aljunied Sylvia Lim, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo, Anggota Parlimen GRC Sembawang Vikram Nair dan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Mengenai apa yang Parlimen mengharapkan dalam barisan NMP yang baru, Encik Tan berkata bahawa ia adalah individu-individu yang dapat mengemukakan isu-isu dengan sebaik mungkin.

Apabila ditanya sama ada Singapura bersedia untuk mendengar suara-suara lantang di Parlimen, Encik Tan berkata bahawa ia tidak mempunyai pilihan.

"Kita harus bersedia, dan bersedia menerimanya kerana ia mewakili masyarakat di luar sana. Kita semakin mempunyai pengundi yang berpendidikan, yang mempunyai jangkaan, yang mempunyai akses kepada lebih banyak maklumat. Mereka mempunyai pandangan, aspirasi dan kita perlu membenarkan suara-suara itu diluahkan, "katanya.

"Tugas mana-mana pemerintah adalah untuk mendengar, untuk mengambil seberapa banyak perspektif yang mungkin, mempertimbangkan isu-isu yang masuk akal supaya diserapkan ke dalam dasar-dasar dan itulah yang perlu dilakukan oleh pemerintah.

"Sekarang jika ia membuat pemerintah tidak selesa - dan saya sudah berada di situasi sedemikian sebelum ini kerana saya seorang menteri Kabinet, dan ia boleh menjadi tidak selesa - tetapi saya fikir kita perlu belajar menerima perkara itu kerana ia menjadikan kita lebih berhati-hati, ia membuat kita lebih berfikir mengenai dasar-dasar yang dibuat."

Skim NMP diperkenalkan pada tahun 1990 untuk memberi suara alternatif di Parlimen. Terdapat tujuh kumpulan yang akan memberikan nama-nama calon yang sesuai. Kumpulan tersebut adalah dari sektor perniagaan dan perusahaan, para karyawan, gerakan buruh, pertubuhan khidmat sosial, sektor sivik dan rakyat, institusi-institusi pendidikan tinggi serta kesenian, media dan sukan.

Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen menyatakan bahawa calon-calon harus sudah berbakti kepada masyarakat atau mereka yang mengharumkan nama Singapura atau mencipta nama dalam bidang masing-masing.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan