Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NMP Janet Ang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pengangkutan Awam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Janet Ang dipilih sebagai Pengerusi Majlis Pengangkutan Awam (PTC). 

Demikian diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Selasa (26 Apr). 

Cik Ang dan 15 anggota, yang lima daripadanya baru sahaja dilantik, akan berkhidmat di PTC selama tiga tahun, mulai 1 Mei sehingga 30 April 2025. Majlis itu terdiri daripada wakil-wakil institut akademik, perniagaan, pertubuhan akar umbi, pergerakan buruh dan khidmat-khidmat profesional. 

Cik Ang kini memegang jawatan sebagai pengerusi Politeknik Singapura, Institut Sains Sistem di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan SISTIC.com. Beliau juga berkhidmat sebagai pengarah bebas pelbagai lembaga, badan dan majlis. 

Beliau akan mengambil alih tugas daripada mendiang Encik Richard Magnus, yang dilantik sebagai pengerusi pada 2014. 

Cik Ang sebelum ini bertugas sebagai Naib Presiden IBM Asia Pasifik dan menghabiskan 10 tahun bagi melaksanakan tugasan antarabangsa di Tokyo dan Beijing, menurut MOT. 

"Dengan pengalamannya dalam sektor privet dan khidmatnya kepada sektor dan masyarakat awam dalam pelbagai keupayaan, Cik Ang akan meneruskan warisan mendiang Encik Richard Magnus dan memimpin PTC untuk mencapai misinya - memastikan yuran pengangkutan awam kekal berpatutan, sambil memastikan kemampanan kewangan sistem pengangkutan awam buat jangka panjang." 

Lima anggota yang baru dilantik adalah:

- Cik Ku Geok Boon, ketua pegawai eksekutif SG Enable 

- Encik Benny Lee, Ketua Setiausaha Sulit kepada Presiden 

- Encik Mak Mun Whai, setiausaha Kesatuan Pekerja Pengangkutan Negara

- Encik Naseer bin Ghani, pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Aktiviti Masyarakat India West Coast 

- Encik Tan Soo Nan, pengarah eksekutif bukan bebas Raffles Medical Group dan Raffles Health Insurance

Sementara itu, lima anggota yang sudah bertugas selama sekurang-kurangnya dua penggal, akan mengundur diri daripada Majlis tersebut mulai 1 Mei. Mereka adalah: 

- Cik Chua Lee Hoong, Pengarah Kanan (Pusat Daya Tahan, Dasar & Kajian),  Sekretariat Penyelaras Keselamatan Negara Pejabat Perdana Menteri

- Cik Anne Chua, ketua pegawai kewangan di Daiwa House Asset Management Asia 

- Encik Adrian Chua, Timbalan Setiausaha (Perusahaan) di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)

- Encik Fang Chin Poh, mantan setiausaha Kesatuan Pekerja Pengangkutan Negara

- Dr Kwong Chee Keong, pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat Keat Hong

"MOT ingin mengucapkan terima kasih kepada para anggota tersebut atas sumbangan mereka kepada PTC.

"Dengan pengalaman dan latar belakang mereka, mereka membolehkan PTC untuk mempertimbangkan secara objektif pandangan dan keprihatinan para penumpang, agensi awam dan pengendali pengangkutan awam untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Singapura," menurut MOT. 

Dalam satu catatan Facebook pada Selasa (26 Apr), Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata bahawa majlis itu mempunyai "tugas penting untuk mengekalkan keseimbangan antara mutu, kemampuan dan kemampanan kewangan sistem pengangkutan awam kita". 

Ia juga berusaha untuk membina budaya inklusif dan baik budi untuk semua penumpang, melalui Jawatankuasa Penumpang SG Penyayang. 

"Saya yakin mereka akan teruskan kerja baik dan warisan mendiang Encik Richard Magnus dengan komitmen tegas kepada misi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam kita," tambah Encik S Iswaran. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan