NLB lanjutkan tempoh dibenarkan di perpustakaan awam, sambung lebih banyak perkhidmatan
Kesemua perpustakaan awam akan membenarkan pengunjung berada di premisnya sehingga tiga jam mulai Selasa depan (20 Okt) dengan langkah jarak selamat dan had jumlah pengunjung dilaksanakan, menurut Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Khamis (15 Okt).

(Gambar: NLB)
SINGAPURA: Kesemua perpustakaan awam akan membenarkan pengunjung berada di premisnya sehingga tiga jam mulai Selasa depan (20 Okt) dengan langkah jarak selamat dan had jumlah pengunjung dilaksanakan, menurut Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Khamis (15 Okt).
Para pengunjung boleh melawat Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian dan perpustakaan daerah di Jurong, Tampines dan Woodlands untuk sehingga tiga jam, dan dua jam di semua perpustakaan awam lain.
Buat masa ini, setiap orang dihadkan masa 30 minit dan dua jam masing-masing di perpustakaan awam dan Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian.
"Tempoh lawatan ke premis-premis kami bagi setiap pengunjung dilanjutkan supaya para pengunjung boleh meluangkan masa lebih lama untuk membaca, belajar dan melakukan kerja di kemudahan-kemudahan kami," menurut NLB.
Para pengunjung juga dibenarkan menggunakan ruang tempat duduk dan belajar di perpustakaan awam, termasuk stesen akhbar elektronik dan multimedia tetapi dengan jumlah pengguna yang dihadkan.
Langkah pengurusan selamat seperti jadual masuk dan sistem tempahan online akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan awam tidak terjejas, menurut NLB dalam satu kenyataan media.
Lebih banyak khidmat seperti program-program awam turut akan disambung semula di bangunan Perpustakaan Negara, 25 perpustakaan awam dan Oldham Theatre di Bangunan Arkib Singapura.
Bagaimanapun, lawatan berpandu masih digantung.
Tayangan awam filem di Oldham Theatre oleh Arkib Filem Asia akan menambah had pengunjung kepada 50 orang bagi setiap tayangan di kedua-dua teater dan atrium. Sehingga dua filem akan ditayangkan bagi setiap hari penayangan.
Tempat duduk dalam teater dan pergaulan antara kumpulan akan tertakluk kepada langkah jarak selamat.
Para pengunjung yang melawat mana-mana kemudahan NLB harus memakai pelitup pada setiap masa. NLB menyatakan ia akan membersihkan tempat-tempat yang sering disentuh dalam premisnya dengan lebih kerap.
"Dengan penyambungan program-program, kerja-kerja pembersihan, pembasmian kuman dan pengalihan udara tambahan akan dijalankan secara lebih kerap di kawasan penganjuran program antara setiap sesi," menurut NLB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.