NLB lancar sistem pinjaman buku automatik "Grab-n-Go"
SINGAPURA: Meminjam buku di Perpustakaan Awam Central kini dipermudahkan lagi dengan pelancaran satu sistem pinjaman sendiri yang menggunakan teknologi Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).
Orang ramai boleh mula menggunakan khidmat “Grab-n-Go” itu esok (18 Mei) di ruang belajarnya yang terletak di tingkat 5.
PROSES PINJAMAN EMPAT LANGKAH
Projek rintis ini diperkenalkan dahulu di ruang belajar di bangunan Perpustakaan Negara.
Untuk memasuki ruang belajar itu, para pengunjung perlu pertama sekali mengimbas kad pengenalan atau kad elektronik Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mereka.
Mereka kemudian boleh memilih sehingga lapan buku untuk dipinjam.
Orang ramai boleh membuat pilihan daripada sekitar 5,000 buku yang ditempatkan di ruang belajar di bangunan yang terletak di Bugis itu.
Daripada jumlah tersebut, lebih 200 merupakan buku-buku berbahasa Melayu.
Berkenaan proses memilih buku-buku tersebut untuk disertakan bagi projek rintis "Grab-n'go" ini, Ketua (Bahasa Melayu), NLB, Cik Zubaidah Mohsen berkata: "Apabila kita memilih buku, kita pilih berdasarkan data Perpustakaan Awam Central (tingkat B1) sekarang ini, apa yang popular. Pemilihan buku itu berdasarkan perhatian tersebut yang dikaji.
"Apa yang popular adalah buku-buku komik, kisah percintaan dan juga koleksi bukan fiksyen yang mungkin sesuai pada umum," tambah beliau.
Menurut jurucakap NLB, buku-buku yang disediakan di ruang itu juga adalah khas untuk orang dewasa.
Ini bagi mengelakkan keadaan di situ menjadi bising memandangkan khidmat "Grab-n-Go" disediakan di Ruang Belajar NLB.
KHIDMAT GRAB-N-GO HURAIAN BAGI PENUTUPAN SEMENTARA ARAS B1
Bagi menggunakan khidmat tersebut, buku-buku itu perlu dipegang dan tidak boleh diletakkan di dalam beg bagi memudahkan pengesanan RFID.
Apabila ingin keluar dari gantri ruang belajar itu, mereka perlu sekali lagi mengimbas kad pengenalan atau e-kad NLB mereka dan gantri "Grab-n-go" akan mengesan buku-buku di dalam tangan si pengunjung menggunakan teknologi RFID.
Setelah mengesahkan buku-buku yang ingin dipinjam, gantri itu akan menunjukkan skrin hijau yang menandakan proses pinjaman sudah selesai.
Buku-buku itu boleh dipinjam selama tiga minggu.
Projek tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan NLB untuk memanfaatkan teknologi bagi memperbaiki pengalaman para pengunjung perpustakaan di bawah Pelan Induk Perpustakaan dan Arkib 2025 (LAB25).
Ia juga merupakan khidmat sementara untuk orang awam meminjam buku apabila Perpustakaan Awam Central yang terletak di aras B1 ditutup bermula 13 Jun untuk kerja ubah elok.
Jika mendapat maklum balas positif, pihak NLB berharap untuk mengembangkan khidmat "Grab-n-go" ke lebih banyak perpustakaan awam dalam tahun-tahun mendatang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.