Skip to main content

Singapura

NLB lancar inisiatif 'WondeRead', hadiahkan buku kepada 100,000 kanak-kanak kurang bernasib baik

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melancarkan satu inisiatif baru hari ini (28 Jul) yang dinamakan 'WondeRead'.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jul 2018 07:11PM Dikemas Kini : 28 Jul 2018 10:11PM

SINGAPURA: Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melancarkan satu inisiatif baru hari ini (28 Jul) yang dinamakan 'WondeRead'. Melalui inisiatif itu, buku-buku percuma akan 'dihadiahkan' kepada kanak-kanak kurang bernasib baik setiap tiga bulan.

Ini diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran sempena Hari Membaca Kebangsaan hari ini (28 Jul). Acara itu bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Selama empat tahun akan datang, inisiatif itu diharap dapat menjangkau 100,000 kanak-kanak kurang bernasib baik berusia antara 7 hingga 17 tahun.

"Saya suka membaca kerana ia membantu mempertingkat penggunaan bahasa saya. Saya juga suka membaca buku-buku bertemakan pengembaraan kerana ia menarik. Saya berasa seronok hari ini kerana saya dapat membawa pulang buku-buku ini dan membacanya di rumah," kata Muhd Akif, salah seorang penerima manfaat.

"Objektif inisiatif ini adalah untuk menjangkaui, khususnya kanak-kanak yang mungkin jarang berkunjung ke perpustakaan-perpustakaan kami, terutama sekali mereka daripada keluarga berpendapatan rendah. Program WondeRead ini akan mengagih-agihkan sekitar 10 buku bagi setiap penerima, yang boleh mereka simpan, dengan harapan mereka akan membina koleksi mereka sendiri pada masa akan datang," kata Encik Iswaran.

Buku-buku itu akan dibungkus oleh para relawan dari rakan-rakan pertubuhan NLB dan diberikan kepada kanak-kanak melalui Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO).

Acara amal 'Read for Books' juga diadakan dari 14 hingga 29 Julai bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik. Bagi setiap 10 orang yang membaca selama 15 minit, NLB akan menderma satu buku kepada kanak-kanak memerlukan. Acara itu menyasarkan 4,250 buku untuk diagih-agihkan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita