Skip to main content

Singapura

NLB, Jabatan Pengajian Melayu NUS lancar portal digital dwibahasa, papar kisah lebih 100 tokoh Melayu SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu portal dwibahasa baharu yang menampilkan kisah-kisah lebih 100 tokoh Melayu yang telah membentuk landskap sejarah dan pembangunan Singapura dilancarkan pada Sabtu (11 Okt).

Pelancaran portal itu bersempena dengan sambutan SG60 dan ulang tahun ke-30 Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB).

Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura (PMoS) itu dibangunkan hasil kerjasama NLB dengan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

Pelancaran portal itu di Galeri Nasional Singapura dirasmikan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.

MEMARTABATKAN SUMBANGAN MASYARAKAT MELAYU SG

PMoS memberi tumpuan kepada pencapaian tokoh-tokoh Melayu dalam pelbagai bidang termasuk seni, pendidikan, politik, keagamaan, perniagaan, sukan, penjagaan kesihatan, perundangan dan perkhidmatan awam yang telah memberi kesan besar kepada masyarakat dan negara.

Antara tokoh yang tersenarai dalam portal itu termasuk Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak, legenda bola sepak Fandi Ahmad, ikon budaya Nona Asiah dan pelukis batik terkenal Sarkasi Said.

Ini selain mantan Pemangku Presiden MUIS, Almarhum Haji Shafawi Ahmad yang meninggal dunia pada Sabtu (11 Okt).
Portal itu menyediakan kandungan berbentuk teks, gambar serta bahan audio visual dan pautan ke sumber NLB yang lain yang sekaligus memperkaya pengalaman para pembaca.

Timbalan Pengarah / Pustakawan Utama, Lembaga Perpustakaan Negara, Zubaidah Mohsen, portal itu disediakan dalam dua bahasa bagi memastikan ia dapat diakses oleh semua golongan masyarakat.

"Portal ini diadakan dalam dwibahasa iaitu Inggeris dan bahasa Melayu agar lebih ramai yang boleh mendapat informasi dari portal ini yang kami sediakan untuk semua, agar generasi muda kita dapat inspirasi dalam membaca segala sumbangan dari tokoh-tokoh kita," kata Cik Zubaidah.

Beliau turut berharap portal itu akan menjadi pencetus kepada penglibatan masyarakat secara aktif dalam berkongsi dan merakamkan warisan budaya kita bersama.

"Mungkin mereka juga akan tergerak untuk membuat kajian seterusnya dan menambah lagi bahan dalam portal kami ini dan sekaligus bila diadakan dalam bahasa Inggeris, lebih ramai yang akan boleh membaca dalam portal ini atau menggunakannya untuk penyelidikan selanjutnya," kongsi Cik Zubaidah.

Tambahnya, portal itu bukan sahaja berfungsi sebagai sumber rujukan sejarah, malah turut disasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pengkaji dan penyelidik.

PEMILIHAN TOKOH-TOKOH, CABARAN DOKUMENTASI

Pengerusi Panel Penasihat Melayu NLB, Dr Azhar Ibrahim Alwee, menjelaskan bahawa pemilihan tokoh-tokoh dibuat secara teliti dan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Beliau juga menerangkan bahawa pemilihan tokoh dibuat dengan rujukan kepada senarai sedia ada dan saranan daripada pakar-pakar penasihat.

"Pemilihan itu bukanlah arbitrari, pastinya berdasarkan beberapa kriteria sumbangan, contohnya penganugerahan, apakah kesan yang telah dibawa oleh seseorang tokoh itu kepada masyarakat Singapura secara umumnya? Dan satu sisi yang lain ini berdasarkan kepada bidang masing-masing

"Contohnya, dunia kesusasteraan, dunia keagamaan, dunia, kesenian, dunia, ekonomi dan pembangkang dan sekitarnya agak pelbagai. Jadi, kita mengambil tokoh-tokoh dalam sektor masing-masing," jelas Dr Azhar.

Beliau juga menekankan pentingnya untuk memperingati tokoh-tokoh Melayu dalam wacana sejarah dan kebudayaan Singapura.

"Itu sangat penting kerana Singapura dibina oleh tokoh-tokoh yang hebat. Maknanya, daya usaha manusia, kemampuan untuk memimpin, kemampuan untuk menyumbang.

"Kita sudah terkenal dengan sumber daya manusia. Jadi, ketokohan itu adalah contoh daripada sumber daya yang terbaik dalam sejarah Singapura dan pastinya kita memilih tokoh-tokoh ini bukan sahaja sebagai kenangan tetapi juga sebagai teladan, sebagai peringatan dan juga sebagai contoh seharian yang boleh kita ikuti," kata Dr Azhar.

Namun, beliau juga mengakui terdapat beberapa cabaran dalam membangunkan portal itu, terutama sekali dari segi dokumentasi.

"Antara tantangan atau cabaran kita hadapi adalah sebilangan tokoh sudah punyai dokumentasi yang baik. Namun, ada beberapa yang tidak pernah punyai pendokumentasian yang yang apa yang yang yang tegap atau baik. Jadi itu memerlukan sedikit kajian ataupun ramalan ataupun wawancara," kongsi Dr Azhar.

Tambah beliau, cabaran lain termasuk mendapatkan sumbangan sukarelawan yang berpengetahuan dan berdisiplin dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti.

"Saya rasa mencari penulis untuk menyumbang bakti secara sukarelawan menyumbang kepada makalah-makalah ataupun 'entry' dalam portal ini juga adalah satu yang harus kita rancang dengan cermat," kongsi Dr Azhar.

Memandang ke hadapan, Dr Azhar berkongsi bahawa PMoS itu adalah inisiatif jangka panjang yang akan terus berkembang.

"Rancangan ke depan adalah untuk mempelbagaikan dan memperbesarkan senarai yang ada ataupun kalau kalau kita boleh lebih maju ke depan, mengetahui tokoh-tokoh Singapura bukan sahaja pada tokoh individunya tetapi juga institusi yang pernah tokoh-tokoh itu terlibat. Kita membesarkan tema-tema yang ada. Jadi ini satu usaha yang boleh kita lanjutkan," kata Dr Azhar.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran portal itu, pameran bergerak akan diadakan di enam perpustakaan dari Oktober 2025 hingga Mac 2027.

Ini termasuk Perpustakaan Bedok, Woodlands, Tampines, Jurong, Punggol dan Perpustakaan Negara.

Anda boleh layari Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura untuk menerokai kisah dan sumbangan tokoh-tokoh Melayu yang berpengaruh di sini.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita