Skip to main content

Singapura

NLB alih buku kanak-kanak ke koleksi dewasa ekoran aduan kandungan berbaur perkauman

Sebuah buku kanak-kanak berbahasa Cina yang dikecam atas sebab kandungan berbaur perkauman dipindahkan ke koleksi bahan bacaan dewasa di perpustakaan awam menyusuli penilaian semula selama tiga bulan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah buku kanak-kanak berbahasa Cina yang dikecam atas sebab kandungan berbaur perkauman dipindahkan ke koleksi bahan bacaan dewasa di perpustakaan awam menyusuli penilaian semula selama tiga bulan.

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) menyatakan pada Isnin (19 Okt) bahawa ia selesai menjalankan penilaian semula terhadap buku bertajuk Who Wins? oleh penulis Wu Xing Hua menerusi rundingan dengan sebuah panel bebas.

Selepas mengambil kira maklum balas orang awam dan pandangan panel, NLB menyatakan bahawa ia memutuskan untuk memindahkan buku itu ke bahagian bahan bacaan keluarga dan keibubapaan dalam koleksi bahan bacaan dewasa.

"Ibu bapa dan para penjaga boleh menggunakan buku itu untuk membincangkan dengan anak-anak bagaimana untuk menangani perbuatan buli di sekolah dan membetulkan sebarang salah faham kanak-kanak," tambah NLB.

Buku itu dinilai oleh Panel Perundingan Perpustakaan, sebuah "jawatankuasa bebas berasaskan penduduk yang terdiri daripada para anggota dari pelbagai lapisan masyarakat", tambah NLB. Panel itu memberi saranan kepada NLB mengenai buku-buku yang menimbulkan keprihatinan orang awam.

"Memandangkan NLB memperolehi sekitar sejuta buku setiap tahun, kami bergantung kepada maklum balas oleh para pengunjung dan penilaian oleh panel itu," tambah NLB.

Pada Julai, NLB menyatakan bahawa semua naskhah buku itu "dialihkan buat sementara" dari rak-rak menyusuli aduan tentang paparan watak seorang pembuli sekolah bernama Mao Mao, dalam buku itu.

Watak itu digambarkan sebagai "berkulit gelap dengan kepala berambut keriting dan berminyak".

Satu catatan Facebook oleh seorang pembaca yang dikenali sebagai Umm Yusof yang menyifatkan buku itu sebagai "amat bersifat perkauman", tersebar secara meluas. Catatan itu mengatakan buku tersebut menggambarkan Mao Mao menggunakan "perkataan yang terang-terangan bersifat perkauman berbanding watak-watak lain yang digambarkan sebagai berkulit cerah".

Pembaca itu juga mengecam Marshall Cavendish Education kerana menerbitkan buku itu.

Syarikat penerbitan itu memohon maaf dan menyatakan ia akan berhenti daripada menjual dan mengedarkan siri buku berkenaan. Buku-buku itu juga akan ditarik balik dari kedai, katanya pada Julai.

Mediacorp sudah menghubungi NLB dan Marshall Cavendish Education bagi mendapatkan ulasan lanjut. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita