Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NKF pergiat usaha pertingkat kesedaran penyakit ginjal

Anggaran Waktu Membaca:
NKF pergiat usaha pertingkat kesedaran penyakit ginjal

(Gambar: Edwin Tan/iStock)

BERITAmediacorp: Encik Sumali Mohamin, 65 tahun, berjalan pantas dan berbasikal hampir setiap minggu.

Beliau juga berjumpa doktor keluarganya sekurang-kurangnya empat kali dalam setahun untuk memantau keadaan kesihatannya.

Baru-baru ini, noja di Masjid Maarof ini memanfaatkan pemeriksaan kesihatan percuma yang ditawarkan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).

(Gambar: Rosli A Razak)

"Bila Masjid Maarof menjemput kita semua pegawai-pegawai untuk menjalani saringan kesihatan, saya ikut. Saya diberitahu yang saya mempunyai protein dalam air kencing saya. Saya pun terkejut juga," kata Encik Sumali.

Keputusan itu bermakna, beliau berisiko mengalami kerosakan ginjal sekiranya tidak menguruskannya dengan betul.

NKF PERGIAT USAHA DEKATI MASYARAKAT MELAYU/ISLAM
Sejak Februari lalu, NKF kembali mempergiat usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit ginjal di masjid-masjid dan badan-badan Melayu/Islam selepas dihentikan buat sementara akibat COVID-19.

Ini memandangkan bilangan pesakit ginjal Melayu yang dirawat pusat-pusat dialisisnya sudah meningkat lebih seganda berbanding sedekad lalu.

Sejauh ini, ia sudah mendekati lebih 800 individu dan keluarga mereka.

Walau bagaimanapun, hanya 50 individu sahaja atau enam peratus yang memanfaatkan pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan secara percuma di Klinik Intervensi Penyakit Buah Pinggang Kronik NKF di Kim Keat Road.

Saringan itu termasuk ujian kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

"Masyarakat kita ramai yang mengambil sambil lewa.  Ada kemungkinan pada mereka takut untuk mendapat tahu mereka ada masalah kesihatan. Sebahagiannya walau pergi berjumpa doktor tapi dari segi pemakanan ramai yang tidak ambil kisah. Ada yang mengatakan - Tak makan sakit, makan pun sakit. Lebih baik makan," kata Jururawat Pendidik Kanan NKF Encik Adzhari Boimin.

Ini diakui sendiri Encik Sumali.

"Sebelum saya pergi pemeriksaan saringan ini saya makan sembarangan saja. Yang berminyak, makanan segera seperti McDonald's dan  KFC, semua saya 'bantai," kongsi beliau.

Sebagai langkah susulan, Encik Sumali dirujuk kepada seorang pakar diet dan senaman di mana beliau dibimbing bagaimana untuk meneliti faktor risiko dan melewatkan penyakit buah pinggang peringkat akhir.

Selain itu, mereka yang dikesan mempunyai masalah kesihatan juga dinasihatkan agar berjumpa doktor keluarga (GP), ke poliklinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan susulan bagi menguruskan penyakit mereka. 

"Penyakit kencing manis ini tidak akan datang besok lusa. Kita tidak tahu bila. Bila kita telah dikenal pasti mengalami sesuatu penyakit terutama sekali penyakit kencing manis atau darah tinggi dan kita tidak mengambil arahan doktor yang sepatutnya, berkemungkinan dalam beberapa tahun yang akan datang buah pinggang kita akan rosak, tegas Encik Adzhari.

Encik Sumali berkata beliau sudah mengubah dietnya kepada makanan yang lebih sihat selain berjumpa doktor keluarganya untuk menguruskan kesihatannya dengan lebih baik.

Saringan kesihatan percuma di Klinik Intervensi NKF dibuka kepada mereka yang berumur antara 21 tahun hingga 70 tahun. 

Mereka yang mempunyai anggota keluarga yang menghidap penyakit ginjal, ada penyakit kencing manis, darah tinggi atau kedua-dua sekali dan tidak berjumpa doktor untuk rawatan susulan digalakkan menjalani saringan tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan