Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NKF beri amaran kes kegagalan buah pinggang melonjak, gesa lebih ramai pilih dialisis di rumah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) memberi amaran wujudnya "tsunami ginjal" dengan jumlah kes kegagalan buah pinggang di Singapura meningkat pada kadar yang sukar untuk ditangani sistem jagaan kesihatan. 

Enam orang kini didiagnos menghidap penyakit ginjal setiap hari, tiga kali kali banyak berbanding dua dekad lalu. 

NKF yang menjaga sebilangan besar pesakit dialisis di Singapura, merawat 600 pesakit baru setiap tahun. Buat masa ini, NKF mempunyai 41 pusat, tetapi memandangkan kes kegagalan ginjal pesat meningkat disebabkan penduduk semakin menua dan bertambahnya pesakit kencing manis, ia dijangkakan lima pusat tambahan perlu dibina setiap tahun. 

NKF menerima kira-kira 100 permohonan baru dialisis setiap bulan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tim Oei kepada Mediacorp. 

"Ia amat memprihatinkan. Kami perlu menanganinya dan bukan sekadar menambah ruang, hospital pun tidak boleh menanganinya," kata beliau lagi. 

Proses membersihkan darah dengan mengeluarkan sisa toksin, lebihan garam dan cecair daripada badan pesakit atau haemodialisis yang disediakan NKF, harus dilakukan di pusat NKF oleh seorang jururawat dan perlu dilakukan tiga kali seminggu, selama empat jam setiap kali, tambah Encik Oei. 

DIALISIS PERITONEAL DI RUMAH

Singapura tidak mampu bergantung pada haemodialisis, ujar Encik Oei.

Walaupun usaha pencegahan kegagalan ginjal penting sebagai matlamat jangka panjang untuk meringankan beban, dalam jangka pendek, lebih banyak sokongan boleh diberikan dalam masyarakat agar dialisis peritoneal dilakukan di rumah sendiri, katanya. 

NKF berharap untuk  mendapatkan lebih ramai pesakit dialisis ginjal melakukan dialisis peritoneal, iaitu sejajar dengan program  Pemerintah. 

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam ucapannya pada Ogos tahun lalu berkata Kementerian Kesihatan (MOH) ingin menggalak  pesakit yang layak supaya melakukan dialisis peritoneal di rumah.

Matlamatnya adalah bagi 30 peratus pesakit baru dialisis  memilih dialisis peritoneal menjelang 2025, naik berbanding  20 peratus sekarang, katanya.

Bagi dialisis peritoneal, cecair khas diperkenalkan ke bahagian perut menerusi tiub yang diletakkan di rongga peritoneum - ruang yang mengandungi usus, perut dan hati. Cecair itu akan melalui bahagian perut untuk mengeluarkan bahan-bahan kotor yang kemudian disalurkan keluar badan. 

"Dialisis peritoneal boleh dilakukan di rumah. Ia menawarkan lebih fleksibiliti kepada pesakit dari segi menyesuaikannya mengikut gaya hidup mereka dan memberikan mereka fleksibiliti untuk membuat aturan lain, di tempat kerja atau di rumah," kata Encik Oei.

Buat masa ini, latihan disediakan di hospital, namun NKF ingin menyokong dialisis peritoneal dalam konteks masyarakat, tambahnya. 

"Kami rasa sebahagian latihan ini boleh dilakukan dalam konteks masyarakat, tidak kira di pusat NKF atau di rumah pesakit dan matlamatnya adalah untuk memberikan mereka masa untuk menyesuaikan diri kepada kaedah rawatan ini," ujarnya. 

Pemahaman mengenai kebaikan dan kemudaratan kedua-dua rawatan itu agak kurang setakat ini, kata Encik Oei. Untuk membantu pesakit, NKF membuat aturan bagi pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan untuk mengongsi pengalaman mereka bersama pesakit baru, tambahnya. 

FLEKSIBILITI GUNA DIALISIS PERITONEAL

Antara pesakit yang layak dan memilih untuk melakukan dialisis peritoneal di rumah ialah Encik Yusop Yacob. 

Warga emas berusia 70 tahun itu telah menjalani dialisis sejak Ogos tahun lalu, menggunakan sebuah mesin selama lapan hingga 10 jam semalaman. 

"Saya seperti robot. Pada waktu malam, saya mengecas diri saya, pada waktu pagi pula, saya sudah dicas penuh dan boleh berjalan-jalan," kata Encik Yusop. 

Proses itu memerlukan Encik Yusop memasukkan tiub pada bahagian perutnya. Encik Yusop dan isterinya perlu menjalani latihan sepanjang seminggu untuk menyediakan mereka bagi dialisis peritoneal. 

Encik Yusop berkata beliau menikmati kebebasan menjalani rawatan di rumah, berbanding dengan haemodialisis. 

"Bagi haemodialisis, tidak kira hujan atau tidak, kena pergi ke pusat, tetapi bagi rawatan ini, saya boleh melakukannya di rumah pada bila-bila masa," katanya kepada Mediacorp. 

Encik Oei menggesa orang ramai  supaya menjaga kesihatan mereka. 

Pesakit yang didiagnos dengan kegagalan buah pinggang selalunya memasuki sistem jagaan kesihatan menerusi jabatan kecemasan, selepas gagal mematuhi nasihat doktor untuk mendapatkan rawatan perubatan awal, katanya. 

"Kebanyakan penyakit yang kami lihat tidak ditangani ketika peringkat awal dan apabila anda datang ke jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E), anda tidak ada pilihan lain," tambahnya. 

"NKF berpegang pada prinsip  pengesanan awal, pemahaman dan juga pemahaman kesan-kesan penyakit akan membantu kami mengambil tindakan yang lebih proaktif."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan