Skip to main content

Singapura

NITRA saksikan pelibatan lebih tinggi institusi pendidikan sejak ditubuhkan lima tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:
NITRA saksikan pelibatan lebih tinggi institusi pendidikan sejak ditubuhkan lima tahun lalu

Jawantankuasa Projek NITRA (Nilai dalam Sastera) yang diketuai oleh Dr Nor Hanisah Saphari (empat dari kanan/kiri). (Gambar: Projek NITRA)

SINGAPURA: Sejak ditubuhkan lima tahun lalu, program NITRA (Nilai dalam Sastera) menyaksikan peningkatan dalam penyertaannya – daripada hanya empat institusi pendidikan pada 2021, kepada sembilan institusi pelbagai peringkat pada tahun ini.

Penyertaan itu merangkumi maktab rendah, sekolah menengah, sekolah rendah dan madrasah, lantas mencerminkan keterangkuman serta daya tarikan NITRA sebagai sebuah wadah pendidikan berasaskan sastera dan nilai murni.

Antara institusi yang mengambil bahagian tahun ini termasuk Raffles Institution, Maktab Rendah Catholic, dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Sempena ulang tahun kelima NITRA pada Sabtu (26 Jul) yang diadakan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB), pelbagai persembahan kreatif berasaskan teks sastera tradisional seperti puisi dan prosa diaadakan.

Setiap persembahan diselitkan dengan mesej nilai kemanusiaan, seperti kejujuran, kebijaksanaan dalam membuat keputusan, semangat kekeluargaan dan keberanian – semuanya disampaikan melalui lakonan, dendangan puisi, dan pendekatan kreatif lain yang kini turut melibatkan unsur digital juga kecerdasan buatan (AI).
Related article image
(Gambar: Projek NITRA)
Bagi mengukuhkan lagi keterlibatan pelajar, sambutan kali ini turut menyaksikan pelancaran akaun Instagram @projeknitra oleh Profesor Madya Hadijah Rahmat.

Platform digital itu dijangka menjadi ruang bagi pelajar berkongsi pemikiran, memperluas penghargaan terhadap sastera Melayu, serta menyemarakkan perbincangan nilai secara lebih interaktif.

NITRA sediakan ruang inklusif untuk pelajar tonjol kreativiti
Related article image
(Gambar: Projek NITRA)
Ditubuhkan pada 2021, NITRA bertujuan memanfaatkan karya sastera – khususnya sastera kanak-kanak dan tradisional – sebagai wadah untuk pelajar mengenal pasti dan memahami nilai murni.

Ia juga menyediakan ruang yang inklusif dan selamat bagi pelajar dari pelbagai peringkat akademik untuk menonjolkan kreativiti mereka.

“NITRA merupakan satu-satunya projek yang menyatukan pelajar merentas tahap dan latar pendidikan. Ia tidak membezakan keupayaan akademik, malah menonjolkan bakat dan pemikiran unik pelajar dengan memberi mereka ruang untuk berkembang secara selesa,” jelas pengerusi projek NITRA, Dr Nor Hanisah Saphari.

Selain persembahan utama, acara NITRA turut menawarkan sesi selingan dan ‘Tambah Nilai’ – termasuk sesi interaktif yang dikendalikan guru pakar seperti Cikgu Muslim Hanafiah, yang membantu pelajar memperdalam pemahaman terhadap teks yang dibentangkan melalui aktiviti-aktiviti menarik.
Related article image
(Gambar: Projek NITRA)
Bagi Muhammad Fayaaz Shahiem Mohamed Fazila, pelajar Darjah 3 dari Sekolah Rendah Frontier, pengalaman tersebut sangat bermakna.

“Saya berasa bangga kerana mewakili sekolah saya dalam Projek NITRA. Dalam persembahan kisah Pak Kaduk, saya berlakon sebagai Tok Selampit. Kisah ini mengajar saya agar tidak mudah terpedaya dan berfikir dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.

NITRA sebagai platform pembelajaran sekolah, galak perbincangan terbuka

Melangkah ke hadapan, Dr Hanisah menerangkan potensi besar NITRA sebagai suatu platform pembelajaran.

Menurutnya, NITRA menggalakkan para pendidik untuk mengadakan perbincangan terbuka dan berani mengangkat nilai-nilai kemanusiaan yang relevan kepada kehidupan pelajar hari ini.
Related article image
(Gambar: Projek NITRA)
Malah, konsep NITRA juga boleh disesuaikan menjadi aktiviti bahasa demi mendekatkan pelajar dengan budaya dan warisan.

"Konsep NITRA boleh disesuaikan dan dijadikan kegiatan bahasa di sekolah seperti sebahagian daripada Program Dwiminggu Bahasa Ibunda. Dengan membudayakan kegiatan-kegiatan berasaskan nilai dan sastera, ia akan mendekatkan para pelajar dengan bahasa, budaya dan warisan bangsa dalam suasana santai dan bersahaja," kata beliau.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita