Skip to main content

Singapura

Ninja Van berhentikan 12% kakitangan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Ninja Van berhentikan 12% kakitangan SG

Kenderaan milik Ninja Van. (Gambar fail: Ninja Van)

Diterbitkan : 12 Aug 2025 06:56PM Dikemas Kini : 12 Aug 2025 06:58PM
SINGAPURA: Penyedia logistik Ninja Van memberhentikan kira-kira 12 peratus daripada pekerjanya di Singapura.

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp, syarikat itu pada Selasa (12 Ogos) menyatakan bahawa langkah pemberhentian ini “tidak dibuat secara mudah”.

Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk memperkukuh model perniagaannya dan memastikan pertumbuhan yang mampan, jelas syarikat itu.

Ninja Van menambah bahawa ia sudah melaksanakan "susunan semula strategik" ke atas pasukannya.

Ia juga menjalankan semakan terhadap peranan dalam pertubuhan bagi menilai kesesuaiannya dengan keperluan perniagaan masa depan, di tengah-tengah cabaran logistik global yang berterusan serta persaingan sengit di seluruh Asia Tenggara.

“Malangnya, walaupun kami telah berusaha mengurangkan kesan, kami tidak dapat mengelakkan pemberhentian dan ini telah memberi kesan kepada anggaran 12 peratus rakan sekerja kami di Singapura.”

Pemberhentian terbaharu ini menyusuli langkah pemberhentian yang dibuat oleh Ninja Van pada April dan Julai tahun lalu, yang menjejas pasukan teknologi serantau dan tenaga kerja yang berpangkalan di Singapura.

Ninja Van menyatakan ia sedang “menyelaras semula” fungsi ibu pejabatnya untuk menyokong kawasan pertumbuhan utama seperti pemulaan semula perniagaan antara perniagaan (B2B) berasaskan teknologi, di samping memastikan operasi perkhidmatan berjalan lancar.

Perubahan ini bertujuan untuk memastikan Ninja Van kekal tangkas, berdaya saing dan bertumpukan masa depan.

Pekerja yang terjejas oleh pusingan pemberhentian terbaharu ini akan menerima pakej pampasan selaras dengan makluman tiga pihak mengenai pengurusan lebihan tenaga kerja dan pemberhentian yang bertanggungjawab, yang menyatakan bahawa pekerja dengan dua tahun perkhidmatan atau lebih layak menerima faedah pemberhentian.

Pekerja yang terjejas dengan kurang daripada dua tahun perkhidmatan juga akan menerima pakej pampasan, kata syarikat itu.

Insurans perubatan dan sokongan kesihatan mental akan dilanjutkan sehingga 31 Disember, manakala tarikh akhir untuk menebus pilihan saham pekerja yang diperuntukkan, akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada satu tahun.

“Pekerja yang mempunyai kemahiran relevan telah dipertimbangkan dalam bidang pertumbuhan kami, jika sesuai,” kata Ninja Van.

Syarikat itu menambah bahawa pekerja yang terjejas akan menerima sokongan peralihan kerjaya, seperti surat cadangan atau rujukan.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita