Nilai portfolio bersih Temasek tumbuh 10.5% kepada S$518 bilion, dihambat konflik Timur Tengah
Nilai portfolio bersih Temasek Holdings meningkat 10.5 peratus berbanding tahun lalu untuk mencecah S$518 bilion setakat 31 Mac tahun ini, demikian diumumkan oleh pelabur negara itu pada Rabu (8 Jul).
Logo syarikat pelaburan Temasek di ibu pejabatnya di Singapura. (Gambar: CNA/Abigail Ng)
Di tengah-tengah ketidaktentuan global disebabkan oleh perang Iran, kadar pertumbuhan pada 2026 adalah lebih perlahan berbanding kenaikan 11.9 peratus yang dicatatkan dari 2024 hingga 2025.
Nilai portfolio bersih Temasek pada tahun lalu adalah S$469 bilion atas dasar penandaan kepada pasaran.
Pertumbuhan itu sebahagian besar didorong oleh prestasi kukuh syarikat-syarikat tersenarai yang berpangkalan di Singapura dalam portfolio Temasek, serta keuntungan daripada pelupusan, walaupun di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan.
"Kami bukan sekadar berada dalam dunia VUCA (ketidaktentuan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan), kami berada dalam dunia polikrisis," kata ketua pegawai eksekutif Temasek Holdings, Dilhan Pillay Sandrasegara dalam satu kenyataan video.
Persekitaran semasa merupakan paling kompleks yang pernah disaksikan oleh Temasek dalam tempoh lima dekad, namun syarikat ini dapat meneruskan dengan momentum yang diteruskan sepanjang beberapa tahun lalu, katanya.
"Kami menyaksikan pemulihan di China. India telah mencatatkan prestasi yang sangat baik untuk kami, walaupun pada tahun lalu ia agak mencabar disebabkan oleh kadar pertukaran mata wang yang tidak stabil," kata Encik Pillay.
Prestasi syarikat itu turut terjejas oleh konflik di Timur Tengah, katanya.
Sehingga akhir Februari, pulangan bagi portfolio pasaran awam Temasek adalah "sangat memuaskan", katanya.
"Nilai bersih portfolio kami (NPV) sekitar 2 peratus lebih tinggi sekiranya bukan disebabkan oleh kesan peristiwa-peristiwa ini terhadap pasaran awam,” katanya.
Encik Pillay berkata penilaian pasaran awam pulih semula pada April dan Mei.
"Sebahagian besar kerugian dapat dipulihkan, yang memberi kami keyakinan bahawa strategi pasaran awam kekal relevan bagi prestasi portfolio jangka panjang," katanya.
TAHUN PELABURAN YANG AKTIF
Lebih 40 peratus portfolio Temasek dibentuk daripada syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura termasuk DBS, Singtel dan Singapore Airlines.
Pemberhentian pelaburan utama oleh Temasek termasuk penjualan syarikat Belanda Axia Vegetable Seeds dan Schneider Electric India.
Ia juga melepaskan pegangan kawalan terhadap Global Health Exchange yang beribu pejabat di Amerika Syarikat tetapi mempunyai kepentingan berterusan dalam perniagaan itu.
Syarikat itu melabur S$51 bilion dan menjual S$31 bilion, lalu meraih pelaburan bersih sebanyak S$20 bilion.
Dalam tempoh terdekat, firma itu merancang meningkatkan pelaburan dalam kecerdasan buatan, infrastruktur dan kredit swasta.
Jumlah pulangan pemegang saham setahun Temasek adalah 10.5 peratus dari segi dolar Singapura, dan 14.8 peratus dari segi dolar Amerika.
Kekuatan dolar Singapura telah mengurangkan angka jumlah pulangan pemegang saham bagi tempoh setahun sebanyak kira-kira 2 peratusan mata, menurut Temasek.
Pulangan pemegang saham bagi tempoh lima tahun adalah 4.6 peratus, terjejas oleh faktor-faktor penghambat dalam pasaran modal China antara 2021 hingga 2024.
Bagi tempoh jangka panjang, jumlah pulangan pemegang saham dalam tempoh 20 tahun adalah 6.8 peratus, turun daripada 7.4 peratus pada 2025, manakala pulang pemegang saham dalam tempoh 10 tahun adalah 7.1 peratus, naik daripada 5.8 peratus pada tahun lalu.
Ini adalah tahun pertama Temasek beralih sepenuhnya kepada
penilaian nilai pasaran semasa bagi pelaburannya yang tidak disenaraikan, yang bermakna nilai pelaburan itu disesuaikan berdasarkan nilai pasaran semasa.
Berdasarkan nilai buku, nilai portfolio bersihnya ialah S$486 bilion.
PROSPEK GLOBAL
Memandang ke hadapan, Temasek menyatakan pihaknya kekal yakin terhadap daya tahan Singapura walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global dan gangguan berkaitan tenaga.
Negara itu berada di kedudukan baik dengan asas kukuh dan dasar fleksibel, menurut Temasek.
Amerika Syarikat kekal sebagai destinasi modal terbesar bagi pelaburan langsung global syarikat tersebut.
"Kami melihat peluang yang menarik memandangkan kedudukannya yang menerajui inovasi, khususnya merentas rantaian nilai kecerdasan buatan (AI), serta disokong oleh pasaran modal awam dan swasta yang kukuh," menurut syarikat itu, sambil menambah ia akan terus berdisiplin dari segi penilaian dan risiko.
Apabila ditanya mengenai dolar Amerika yang semakin melemah, ketua pegawai pelaburan Temasek International Rohit Sipahimalani akur terhadap isu tersebut, namun berkata memandangkan pendapatan syarikat dan ekonomi sedang berkembang, pulangan yang munasabah boleh dijangkakan.
Beliau memberitahu wartawan semasa taklimat media bahawa terdapat "momentum yang sangat kukuh" dalam pertumbuhan pendapatan dan Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran penting.
"Kami memperuntukkan sekitar 50 peratus daripada modal kami di sana setiap tahun, dan anda boleh melihat bahagiannya dalam jumlah portfolio kami semakin meningkat secara beransur-ansur," katanya.
Bahagian pelaburan Temasek di rantau Amerika meningkat kepada 26 peratus pada tahun ini, berbanding 24 peratus pada tahun lalu.
Pendedahannya terhadap China pula menyusut daripada 18 peratus pada 2025 kepada 17 peratus tahun 2026, manakala pelaburan di India turut berkurangan daripada 8 peratus kepada 7 peratus.
Export China kekal kukuh tetapi penggunaan domestik kekal tidak sekata, menurut Temasek, sambil menambah ia komited sebagai pelabur jangka panjang.
Trend penggunaan yang rendah masih berterusan sebahagiannya disebabkan oleh isu-isu berterusan dalam pasaran hartanah China, kata Encik Chia Song Hwee, ketua pegawai eksekutif Temasek Global Investments.
"Perkara itu bersifat agak struktural, oleh itu kita tidak boleh melabur dengan andaian bahawa keadaan akan berbalik semula," katanya.
Justeru, Temasek berhasrat untuk melabur dalam bidang yang tidak bergantung pada perbelanjaan pengguna atau pasaran hartanah, tambah Encik Chia.
Syarikat itu melihat "peluang yang menarik" dalam bidang di mana inovasi semakin pesat, seperti bioteknologi, robotik, teknologi berkaitan AI dan pengilangan canggih.
Temasek menyatakan ia menyaksikan sisi positif pada prospek pertumbuhan struktural India walaupun terdapat ketidaktentuan ekuiti jangka masa terdekat dan tekanan berkaitan tenaga
Ia menarik perhatian terhadap pasaran pengguna India yang besar, pembangunan infrastruktur dan kelas pertengahan yang semakin berkembang, dan menyatakan ia tertumpu terhadap merebut peluang dalam khidmat kewangan dan pengguna serta jagaan kesihatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.