Skip to main content

Singapura

Nilai portfolio bersih Temasek naik S$7 bilion kepada S$389 bilion; dipacu pelaburan Amerika & India

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jul 2024 05:27PM Dikemas Kini : 11 Jul 2024 02:16PM

SINGAPURA: Temasek Holdings melaporkan peningkatan S$7 bilion pada portfolio bersihnya, dengan pulangan pelaburan dari Amerika Syarikat dan India merangsang dan mengimbangi prestasi rendah China.

Portfolio bersih Temasek bernilai S$389 bilion setakat 31 Mac, meningkat daripada S$382 bilion setahun lalu, menurut semakan tahunan terbaharu yang dikeluarkan pada Selasa (9 Jul).

Temasek mencatatkan pulangan pemegang saham tahunan yang positif, iaitu sebanyak 1.6 peratus selepas mengalami kemerosotan 5.07 peratus pada tahun lalu, yang merupakan terburuk sejak 2016.

Temasek ialah satu daripada tiga entiti yang merupakan sebahagian daripada rangka kerja NIR. Melalui NIR, Pemerintah Singapura boleh membelanjakan sehingga 50% daripada jangkaan pulangan sebenar jangka panjang daripada aset bersih yang dilaburkan oleh entiti pelaburan untuk memberi manfaat kepada rakyat Singapura.


Jumlah pulangan pemegang saham selama 10 tahun ialah 6 peratus, sama seperti tahun sebelumnya. Pulangan 20 tahun adalah 7 peratus, turun daripada 9 peratus - penurunan ini disebabkan oleh perangkaan terkini yang tidak termasuk 2004, yang merupakan tahun pemulihan pasca SARS.

MELABUR SECARA BERHEMAH, TETAPI PADA RENTAK STABIL

Temasek mencatatkan penjualan aset bersih sebanyak S$7 bilion bagi tahun yang berakhir pada 31 Mac. Ia melaburkan S$26 bilion, tetapi melupuskan S$33 bilion.

Sekitar S$10 bilion daripada pelupusan itu disebabkan oleh pembayaran balik bon daripada Singapore Airlines (SIA) dan penebusan saham keutamaan oleh Pavilion Energy.

Menurut Temasek, ia mengekalkan kadar pelaburan yang "berhati-hati tetapi stabil", didorong oleh jangkaan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat sehingga Rizab Persekutuan berpaling daripada dasar kewangannya yang ketat dan kadar pemulihan pasca COVID-19 yang lebih perlahan daripada jangkaan di China.


RAMALAN LUAR NEGARA

Amerika membentuk 22 peratus daripada portfolio Temasek, kedua selepas Singapura, yang berjumlah 27 peratus.

Perangkaan itu lebih kurang sama dengan tahun sebelumnya, apabila Amerika membentuk 21 peratus dan Singapura pula 28 peratus.

Pelaburan di China jatuh daripada 22 peratus kepada 19 peratus. China meningkatkan pulangan portfolio Temasek dari 2004 hingga 2014, tetapi prestasi pasaran merosot dalam dekad seterusnya.

"Kami juga telah meningkatkan pelaburan di India, kerana kami melihat lebih banyak peluang dalam sektor khidmat jagaan kesihatan dan kewangan," kata Cik Connie Chan, ketua khidmat kewangan di Temasek International.

KESAN PERTUKARAN ASING

Dalam wawancara berasingan dengan Mediacorp, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Chia Song Hwee enggan mengulas sama ada Temasek akan menerima sebarang pembayaran daripada syarikat mata wang kripto FTX, yang telah memperoleh semula sehingga AS$16 bilion untuk membayar pelanggannya.

Beliau berkata prosiding undang-undang masih diteruskan, tetapi Temasek akan terus melabur dalam teknologi.

Cik Png Chin Yee, Ketua Pegawai Kewangan Temasek berkata, teknologi adalah sektor yang penting kerana Temasek harus sentiasa mengikuti perkembangan inovasi yang berlaku di seluruh dunia.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita