Skip to main content

Singapura

Nilai kekeluargaan, kemaafan dalam Tahun Baharu Cina & Ramadan penting dalam pemulihan penghuni rumah Rise Above PPIS

Anggaran Waktu Membaca:
Nilai kekeluargaan, kemaafan dalam Tahun Baharu Cina & Ramadan penting dalam pemulihan penghuni rumah Rise Above PPIS
Acara “Gong Xi Ramadan Bersama Rise Above 2026” menggabungkan berbuka puasa dan Lo Hei, dengan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar (Kolam Ayer), Dr Wan Rizal Wan Zakariah sebagai tetamu kehormat. (Gambar: PPIS)
SINGAPURA: Sambutan Ramadan dan Tahun Baharu Cina secara serentak dan meraikannya dalam satu ruang yang sama seperti acara “Gong Xi Ramadan bersama Rise Above 2026” anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pada Ahad (22 Feb), menjadi bukti bagaimana masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat terus memperkukuh hubungan dan persefahaman.

Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar (Kolam Ayer), Dr Wan Rizal Wan Zakariah juga berkata ia mencerminkan identiti Singapura sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama.
Related article image
Dalam ucapannya, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar (Kolam Ayer), Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata meraikan dua perayaan dalam satu ruang mencerminkan identiti Singapura sebagai masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam persefahaman. (Gambar: PPIS)
“Singapura benar-benar sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama, dan apabila kita dapat berkumpul untuk meraikan detik bermakna seperti ini, ia menunjukkan betapa rapatnya hubungan dan persefahaman kita,” kata Dr Wan Rizal.

Beliau menambah bahawa meskipun masih banyak usaha yang boleh dilakukan, acara seperti ini membantu mengeratkan hubungan antara kumpulan masyarakat yang berbeza.

Diadakan di Lagun Sari, Bukit Timah Plaza, acara itu menggabungkan acara berbuka puasa dan Lo Hei.

Ia menghimpunkan sekitar 130 tetamu termasuk penghuni, alumni serta anggota keluarga para penghuni Rumah Peralihan Rise Above.

KELUARGA TONGGAK SOKONGAN PEMULIHAN

Kehadiran anggota keluarga amat dialu-alukan kerana institusi keluarga merupakan sokongan utama.

Menyifatkan keluarga sebagai tulang belakang sesebuah masyarakat, Dr Wan Rizal berkata kehadiran mereka amat bermakna, khususnya bagi individu yang sedang melalui proses pemulihan.

“Ia menunjukkan tahap sokongan dan amat bermakna bagi individu untuk mengetahui bahawa keluarga mereka berada di belakang mereka, menyokong dan memberi semangat,” jelas beliau.

Sejajar dengan itu, Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum berkata ia bukan sahaja tentang mengumpulkan keluarga untuk meraikan perayaan itu tetapi juga membantu satu sama lain memahami perbezaan budaya.
Related article image
Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum berkata, acara “Gong Xi Ramadan Bersama Rise Above 2026” majlis ini bukan sekadar perayaan, tetapi ruang untuk memahami perbezaan budaya serta memperkukuh nilai kemaafan dan perpaduan. (Gambar: PPIS)
Menurutnya, Tahun Baharu Cina menekankan kepentingan keluarga berkumpul dan makan bersama dan Ramadan pula membawa nilai kemaafan, perpaduan dan saling membantu.

“Menggabungkan kedua-duanya melambangkan bagaimana kita boleh melayan individu yang pernah berdepan dengan undang-undang dan membawa mereka kembali ke dalam masyarakat secara holistik dan menyeluruh,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa acara seperti ini memberi kesatuan dan motivasi kepada para penghuni yang berkongsi matlamat untuk menamatkan tempoh pemulihan mereka dengan jayanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/BK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita