Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Night Safari sambut empat Tasmanian Devil betina dari Australia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat pertama kalinya di Singapura, pengunjung ke Night Safari akan dapat melihat empat ekor Tasmanian Devil betina - Crumpet, Snickers, Jesse dan Panini yang membuat penampilannya pada Selasa (15 Nov).

Haiwan marsupial terancam itu tiba dari Australia pada 7 Okt, dan akan tinggal di sini sebagai sebahagian daripada satu inisiatif pemuliharaan.

Jesse, Panini, Crumpet dan Snickers, semuanya berusia sekitar tiga tahun, diperkenalkan kepada orang ramai sempena pelancaran pameran baru Tasmanian Devil di Night Safari.
Gambar: Mandai Wildlife Group
Haiwan karnivor itu berada di Singapura sebagai sebahagian daripada program Menyelamatkan Tasmanian Devil di mana haiwan-haiwan itu dihantar ke taman haiwan di merata dunia untuk melindungi haiwan liar itu.
Pasukan Jagaan Haiwan di Night Safari bekerja rapat dengan rakan sejawat mereka di Australia dan belajar cara terbaik untuk menjaga penghuni baru di Night Safari itu.

"Saya terlibat dalam perancangan, dari mula lagi sejak 2018 - dari bina pameran ini, kami adakan bengkel untuk berbincang dengan rakan sejawat di Australian tentang apa yang perlu kita lakukan dan sediakan apabila haiwan-haiwan itu tiba," kata Encik Razak Jaffar, Penolong Kurator bagi haiwan marsupial di Mandai Wildlife Group.
Walaupun seluruh proses membawa haiwan yang diancam kepupusan itu mengambil masa empat tahun, Encik Razak teruja kerana akhirnya, pengunjung di Singapura dapat melihat dari dekat haiwan sinonim dengan Australia itu.

Ini lebih-lebih lagi dengan haiwan itu diancam pupus disebabkan serangan penyakit.

Sebanyak 80 peratus jumlah haiwan itu terbunuh akibat barah yang menular iaitu penyakit ketumbuhan pada bahagian muka.

Seperti kanak-kanak seusianya, setiap Tasmanian Devil itu ada karenah masing-masing.

"Setiap satu Tasmanian Devil ini ada ciri-ciri unik. Misalnya, Crumpet paling garang dan berani, suka membuat bising dan selalu tunjukkan kekuatannya kepada yang sama," kongsi Encik Razak
yang bersama pasukannya telah ke Tasmania pada 2019 untuk berkenalan dengan lebih rapat Crumpet, Snickers, Panini dan Jesse.

Jelas sekali, hubungan yang terjalin dengan haiwan-haiwan itu.

"Snickers pendiam, pandai 'mengalah' jadi ia dipasangkan dengan Crumpet dalam pameran ini," jelas Encik Razak.

Jesse dan Panini pula tambah beliau dipasangkan bersama dengan setiap pasangan mempunyai ruang di dalam dan luar tersendiri.

Walaupun spesies haiwan itu suka 'tunjuk kuasa', ia tidak pernah bergaduh.

Pengunjung yang ingin tahu lebih lanjut tentang rutin harian atau karenah haiwan itu, ada sesi perbualan bersama penjaga Tasmanian Devil pada 8.00 malam hingga 9.00 malam setiap hari sempena pameran itu.

Tasmanian Devil itu juga merupakan salah satu haiwan "hitam dan putih" yang diraikan pada hujung tahun di Taman Haiwan Singapura, River Wonders dan Night Safari yang boleh dinikmati sekeluarga pada cuti sekolah nanti. Maklumat lanjut boleh didapatkan di mandai.com.
Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan