Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NIE NTU tubuh Hab Kajian dan Sumber Dr Muhammad Ariff Ahmad

Pendeta bahasa dan budaya Melayu Singapura, Dr Muhammad Ariff Ahmad, diberi pengiktirafan cukup tinggi oleh Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE NTU).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pendeta bahasa dan budaya Melayu Singapura, Dr Muhammad Ariff Ahmad, diberi pengiktirafan cukup tinggi oleh Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE NTU).

Ini apabila tokoh gergasi dalam dunia Sastera Melayu itu diberi penghormatan menerusi penubuhan sebuah hab demi mengenang segala sumbangan besar beliau kepada Singapura dan juga dunia persuratan Melayu.

Hab tersebut dinamakan Hab Kajian dan Sumber Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS RRH@LIBRIS) dan ia dirasmikan oleh Presiden Halimah Yacob hari ini (31 Mac).

(Gambar: Lim Sin Thai/MCI)

(Gambar: Lim Sin Thai/MCI)

"Almarhum menjadi pensyarah di maktab perguruan pendidikan TTC sejak tahun 1959 sampai 1979. 20 tahun beliau mengajar di sini, melatih, mendidik ribuan para guru dan masyarakat umumnya. Jadi NIE NTU merasakan memang wajarlah kami memberi pengiktirafan sebesar ini untuk Almarhum," jelas Ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia, Profesor Madya Hadijah Rahmat.

Usaha penubuhan MAS RRH@LIBRIS mula dijalankan pada 2016.

MENGIMBAS KEMBALI SIAPA CIKGU ARIFF

Nama Cikgu Ariff Ahmad sememangnya cukup sinonim dengan dunia persuratan Melayu sehingga digelar sebagai kamus atau eksiklopedia bergerak bagi bahasa dan budaya Melayu.

Beliau jugalah antara pengasas Angkatan Sasterawan '50.

(Gambar: Raman Daud)

(Gambar: Raman Daud)

Sebagai seorang tokoh, Cikgu Ariff membuat sumbangan sangat luas dan tidak ternilai dalam bidang bahasa, sastera, pendidikan dan sosial masyarakat Melayu menerusi ilmu dan kepimpinannya.

Beliau diakui memainkan peranan penting dalam usaha-usaha membina negara bagi Singapura sebelum dan selepas kemerdekaan.

Antara lain, pencipta lagu Kebangsaan Singapura, Almarhum Zubir Said, meminta pandangan Cikgu Ariff semasa menyusun lirik Majulah Singapura.

Maka itulah pada 1999, Cikgu Ariff diangkat menjadi 'Pendeta' - pengiktirafan besar bagi seseorang tokoh Bahasa Melayu yang hanya diberikan kepada tiga individu dalam Dunia Melayu hingga ke saat ini.

(Gambar: Lim Sin Thai/MCI)

Semasa menyampaikan ucapan acara perasmian MAS RRH@LIBRIS, Presiden Halimah turut mengisytiharkan: "Almarhum Dr Muhammad Ariff Ahmad layak diberi pengiktirafan tertinggi.

"Beliau sememangnya seorang Pendeta dan sesuai dikenali sebagai 'Bapa bahasa, sastera dan budaya Melayu' di Singapura."

Presiden Halimah malah merumuskan tingginya nilai sumbangan tokoh itu dengan serangkap pantun cukup bermakna yang dibacanya di pameran tersebut:

Raja Ariff turun ke taman,
taman larangan betara indera,
Ariff bertemu dengan budiman
terindah dari laut mutiara

FUNGSI MAS RRH@LIBRIS

MAS RRH@LIBRIS dibuka di lantai dua perpustakaan NIE dan ia seluas 42 meter persegi.

Di situlah, sebuah pameran tetap yang menampilkan koleksi peribadi, buku-buku dan manuskrip Pendeta Cikgu Ariff Ahmad dibuka.

Adikarya Cikgu ariff yang boleh dilihat para pengunjung MAS RRH@LIBRIS termasuklah, buku rujukan komprehensif bertajuk NILAM (Nilai Melayu).

Ada juga buka kanak-kanak ikonik bertajuk 'Sarah Pengarang Kechil' yang diterbitkan pada sekitar 1960. Ia antara karya pertama oleh penulis tempatan Singapura yang menggalak pemikiran kritikal berhubung wanita dan kerjaya.

"Visi Cikgu Ariff sudah ke hadapan. Jadi kami rasa buku itu wajar ditonjolkan. Apa lagi sekarang, kita meraikan Hari Wanita Antarabangsa. Perkara ini sudah difikirkan oleh Almarhum puluhan tahun dahulu," kata Prof Madya Hadijah.

Namun lebih penting lagi, penubuhan MAS RRH@LIBRIS bertujuan menyediakan sumber-sumber oleh dan tentang Cikgu Ariff yang berupaya meniup inspirasi kepada anak-anak muda - khususnya mereka yang mempunyai minat dalam bidang sastera.

Koleksi manuskrip dan bibliografi Cikgu Ariff pula sudah dialihkan ke wadah digital dan boleh diakses orang ramai, di dalam dan luar negara. Kegiatan buat para pelajar sekolah rendah dan menengah akan turut diatur.

APA YANG DIAMANAHKAN JADI NYATA: ANAK CIKGU ARIFF

Perasmian MAS RRH@LIBRIS cukup manis kerana ia dapat disaksikan balu Cikgu Ariff, Cikgu Sarinah Haniff, dan anak perempuannya, Cik Shahrulbariah Md Ariff.

(Gambar: Lim Sin Thai/MCI)

Melihat koleksi bapanya tersusun cantik dalam bentuk sebuah pameran begitu menjentik nostalgia bagi Cik Shahrulbariah.

"Arwah bapa saya selalu cakap dengan saya: ‘Jangan buang barang-barang saya. Nanti ada yang nak ambil. Nanti ada yang nak gunakan.' Jadi bila saya nampak (pameran ini), apa yang dipesan dan diamanahkan sudah terjadi," cerita Cik Shahrulbariah.

"Saya harap guru-guru - baik yang baru atau yang berpengalaman akan meneruskan perjalanan ayah saya."

Keluarga Cikgu Ariff menyumbang 150 buku dan lebih 400 manuskrip Cikgu Ariff bagi penubuhan MAS RRH@LIBRIS.   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan