Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NIE NTU lancar Kursi Dr MAS, himpun pakar pengajian Melayu teliti karya pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Untuk menyemarakkan pengajian Melayu dan memperkukuhkan legasi Dr MAS, program Kursi MAS akan dilancarkan tahun depan.

Program itu akan menghimpunkan pakar terkemuka dalam pengajian Melayu ke Singapura untuk meneliti bahan-bahan di Hab Kajian dan Sumber Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS RRH@LIBRIS) serta merancang kajian relevan.

Inisiatif itu diadakan di bawah Dana Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad (Dana MAS) dan diumumkan semasa Syarahan Perdana Memperingati MAS di Auditorium Masjid Sultan pagi tadi (30 Nov).

PELANCARAN KURSI PENGAJIAN MELAYU DR MAS DI NIE

Sejak Dana Muhammad Ariff Ahmad diperkenalkan juga, beberapa inisiatif yang juga telah dilancarkan termasuk Biasiswa MAS dan Anugerah Kajian MAS.

Sumbangan Almarhum Cikgu Muhammad Ariff kepada Singapura dan dunia persuratan Melayu terus dikenang melalui penubuhan Hab Kajian dan Sumber Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS RRH@LIBRIS) di NIE-NTU.

Program itu akan menghimpunkan pakar terkemuka dalam pengajian Melayu ke Singapura untuk meneliti bahan-bahan di MAS RRH@LIBRIS serta merancang kajian yang relevan.
Inisiatif terbaharu itu diumumkan Ketua Jabatan Bahasa dan Budaya Asia (ALC) NIE, Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar hari ini.

"Setelah banyaknya bahan yang dikumpulkan dalam MAS RRH@LIBRIS, kami rasakan bahan-bahan itu bukan sahaja patut dibiarkan di hab itu tetapi digunakan dengan lebih baik lagi. Menerusi Kursi MAS, profesor yang diundang akan membantu kita meneliti beberapa bahan yang ada di sana untuk membuat perancangan dan menyarankan kepada kita apakah kajian yang boleh dilakukan dengan bahan-bahan yang ada."

Menurut Dr Mukhlis, para profesor yang diundang adalah pakar dalam bidang pengajian Melayu.
 
"Apabila mereka di sini, mereka akan menghabiskan masa selama seminggu di mana mereka akan menyampaikan kuliah dan seminar umum unutk masyarakat dan kakitangan NIE-NTU, pengkaji, guru dan aktivis di Singapura yang ingin berkecimpung lagi dalam pengajian Melayu," kata Dr Mukhlis.

Kursi Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad akan dilancarkan di NIE-NTU pada Oktober tahun depan, berselang-seli dengan Syarahan Perdana MAS.

SYARAHAN PERDANA MEMPERINGATI DR MAS

Syarahan Perdana oleh Senator Datuk Seri Emeritus Prof Dr Awang Sariyan membincangkan warisan dan sumbangan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad.

Syarahan selama sejam itu dihadiri lebih 100 individu, termasuk tokoh bahasa, pendidik, dan penulis.
"Saya memilih tajuk yang menyeluruh dan membicarakan sumbangan beliau, juga pendidikan, dan penulisan dan juga dalam bahasa, sastera dan kebudayaan. Juga dalam sumbangan beliau kepada negara, beliau bukan sahaja aktif dalam bahasa dan sastera bahkan juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan," jelas Dr Awang.

Pengerusi Lembaga Penasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, menyorot peranan Dr MAS sebagai pejuang bahasa dan budaya Melayu, dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemikir yang memandang ke hadapan

Dr Awang berkata: "Sebelum negara merdeka, perlu dipersiapkan pendidikan, soal bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat. Itu jauh ke hadapan, kita tidak boleh menantikan selepas kemerdekaan baharu merancang. Beliau dan rakan-rakan menubuhkan ASAS50 di rumah beliau sendiri. Sekarang bahasa Melayu masih menjadi bahasa kebangsaan dan itu hasil perjuangan beliau dan rakan-rakan."
Dr Awang mengusulkan kajian peringkat diploma, ijazah, dan siswazah yang memberi tumpuan kepada karya-karya Dr MAS.

Beliau juga berharap karya-karya Almarhum diperkenalkan di sekolah dan pengajian tinggi.

BUKU PERMATA PENDETA DILANCARKAN SEMPENA MEMPERINGATI SEABAD KELAHIRAN DR MAS

Hari ini juga menyaksikan pelancaran buku 'Permata Pendeta: Sempena Seabad Kelahiran Dr MAS'.

Buku setebal 284 muka surat itu adalah hasil kerjasama antara Jabatan Bahasa dan Budaya Asia (ALC) dengan LBKM.
Ia menampilkan penilaian tokoh-tokoh dalam dan luar negara mengenai sumbangan Dr MAS, serta koleksi pantun dan puisi Allahyarham.

Ketua Editor buku itu, Dr Hadijah Rahmat berkata: "Usahasama ini diadakan untuk memperingati sumbangan besar Almarhum Pendeta kepada masyarakat. Sumbangan beliau cukup hebat dan besar, dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Meskipun kita tahu beliau adalah perintis bahasa dan sastera dan kebudayaan Melayu, tetapi di Singapura, jasa dan sumbangan beliau melebihi tiga bidang tersebut."

Buku itu memuatkan penilaian tokoh-tokoh dalam dan luar negara mengenai sumbangan Dr MAS dalam bahasa dan budaya Melayu.

"Selain itu, kami juga mendapat sumbangan daripada keluarga pendeta dan guru-guru serta individu yang rapat dengan Allahyarham, memberikan perspektif menyeluruh mengenai impak sumbangan beliau terhadap bahasa, budaya, dan kesusasteraan Melayu di Singapura," jelas Dr Hadijah.

Selain itu, buku memperingati pendeta itu juga mengemukakan tiga idea utama Almarhum Dr Muhammad Ariff.
"Buku itu menampilkan "Bahasa Jiwa bangsa" - ini moto Dewan bahasa, tetapi ini idea beliau. "Seni untuk Masyarakat" dan "Sastera Bina Manusia" juga memperlihatkan pemikiran beliau yang bersifat sejagat," tambah Dr Hadijah.

E-buku Permata Pendeta akan dilancarkan dalam masa terdekat dan boleh diakses oleh masyarakat menerusi laman NIE NTU.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan