Skip to main content

Singapura

NIE lancarkan Biasiswa Sarjana Muda ASEAN MAS, nilai Biasiswa MAS PhD kini S$90,000 setiap penerima

Satu biasiswa baharu bernilai S$25,000 diperkenalkan bagi membuka peluang kepada penuntut institusi pengajian tinggi dari negara-negara ASEAN mengikuti pengajian Melayu selama satu semester di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Oct 2026 04:00PM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 03:27AM
NIE launches MAS ASEAN Undergraduate Scholarship, raises MAS PhD Scholarship to S$90,000 per recipient
  • On 17 October 2026, Associate Professor Mohd Mukhlis Abu Bakar announced the expansion of the MAS Scholarships at NIE to support students and researchers in Malay Studies and strengthen regional knowledge exchange.
  • The ASEAN undergraduate scholarship, worth S$25,000, begins in the 2026/2027 academic year; Olivia Christila of Universitas Sebelas Maret has been identified as its first recipient.
  • PhD funding has been increased to S$90,000, research Master’s funding to S$30,000, and a coursework Master’s scholarship is offered at S$20,000, using a fund established in 2013 to honour Dr Muhammad Ariff Ahmad.
  • In a lecture at the National Library Building, Professor Nor Hashimah Jalaluddin discussed proverbs as a source of knowledge, etiquette and philosophy, while NIE is strengthening its regional expertise to become a reference centre for Malay Studies.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Satu biasiswa baharu bernilai S$25,000 diperkenalkan bagi membuka peluang kepada penuntut institusi pengajian tinggi dari negara-negara ASEAN mengikuti pengajian Melayu selama satu semester di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Pelancaran biasiswa itu diumumkan oleh Ketua Jabatan Bahasa dan Budaya Asia (ALC) NIE, Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar hari ini (17 Okt) di majlis Syarahan Perdana MAS IV 2026.

Syarahan itu diadakan sebagai wadah kesarjanaan untuk menghargai dan meneruskan legasi Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, seorang tokoh ilmuwan Melayu Singapura yang disegani.

Seorang penuntut dari Universitas Sebelas Maret, Indonesia, sudah dikenal pasti sebagai penerima pertama biasiswa tersebut.

Olivia Christila mengambil kursus-kursus sastera dan linguistik Melayu di Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu.

Biasiswa Sarjana Muda ASEAN MAS itu akan ditawarkan mulai Tahun Akademik 2026/2027, sebagai usaha memperkukuh jaringan intelektual dan pertukaran ilmu dalam bidang Pengajian Melayu di peringkat serantau.

Demikian antara inisiatif yang diperkenalkan menerusi peluasan Biasiswa Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS), selain usaha memperkukuh kepakaran akademik dalam bidang Pengajian Melayu.

Dalam ucapan beliau, Dr Mukhlis berkata: "Biasiswa bernilai $25,000 ditawarkan dengan niat untuk menyokong pengajian para pelajar tempatan dengan membawa masuk pelajar dari negara luar demi memperkukuh jaringan intelektual dan pertukaran ilmu dalam bidang Pengajian Melayu di peringkat serantau.”

Peluasan Biasiswa MAS itu mencerminkan hasrat NIE untuk menjadikan institut tersebut sebagai pusat tumpuan rujukan pengajian Melayu di rantau ini.

Related article image
Ketua Jabatan Bahasa dan Budaya Asia (ALC) NIE, Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar. (Gambar: Aqil Ezat)

NIE PERLUAS BIASISWA MAS, NAIKKAN NILAI TAJAAN PENGAJIAN PHD KEPADA S$90,000

Selain biasiswa baharu yang akan ditawarkan itu, Dr Mukhlis turut mengumumkan bahawa nilai biasiswa bagi pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) akan dinaikkan daripada S$30,000 kepada S$90,000 untuk setiap penerima.

Menurut Dr Mukhlis, peningkatan nilai biasiswa itu diharapkan dapat meringankan beban penyelidik dan pelajar untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang pengajian Melayu.

Sementara itu, nilai biasiswa bagi pengajian Sarjana melalui laluan penyelidikan turut digandakan daripada S$15,000 kepada S$30,000.

Di samping majlis syarahan perdana itu, Dr Mukhlis berkata: "Pendorong utamanya adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan nyata kepada generasi seterusnya untuk meneruskan keilmuan, untuk meneruskan pengkajian penyelidikan."

Related article image
Cikgu Siti Maryam Lim Zulkifli, salah seorang penerima Biasiswa Sarjana MAS. (Gambar: Athirah Karim)

Mulai Tahun Akademik 2026/2027, Biasiswa MAS turut diperluas kepada pelajar Sarjana melalui laluan kursus, dengan nilai S$20,000 bagi setiap penerima.

Peningkatan kepada kesemua biasiswa itu hasil daripada Dana Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad yang telah ditubuhkan pada tahun 2013.

Dana itu ditubuhkan sebagai penghormatan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang bahasa, sastera, kebudayaan dan pendidikan Melayu.

Dalam usaha meningkatkan jaringan akademik serantau pula, NIE juga melantik kakitangan antarabangsa.

"Jabatan kini sudah melantik Profesor Penolong dalam bidang linguistik dari Malaysia dan pada masa yang sama kita juga sedang berusaha untuk melantik Profesor Penolong dalam bidang sastera dari Indonesia," kongsi Dr Mukhlis.

Beliau harap dengan ketiga-tiga faktor tersebut - kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera di peringkat serantau, hab penyelidikan NIE dan biasiswa yang ditingkatkan - dapat menjadikan NIE sebagai destinasi utama dalam melanjutkan Pengajian Melayu di rantau ini.

Semasa acara tersebut pagi tadi (17 Okt), para penerima Biasiswa Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS) diraikan, termasuk tiga penerima pertama biasiswa Sarjana melalui laluan kursus serta penerima sulung Biasiswa Sarjana Muda ASEAN MAS.
 

Related article image
Profesor Nor Hashimah Jalaluddin, dari Universiti Malaysia Perlis. (Gambar: Aqil Ezat)

PERIBAHASA MELAYU KHAZANAH ILMU, ADAB DAN FALSAFAH

Sementara itu, kepentingan memelihara dan menghayati khazanah Bahasa Melayu menjadi tumpuan Syarahan Perdana MAS keempat, yang berlangsung di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara.

Syarahan bertajuk "Ta’dib, Ta‘lim dan Akal Budi Masyarakat Melayu dalam Peribahasa: Satu Analisis Semantik dan Pragmatik terhadap Konsep Kerendahan Hati dan Kebijaksanaan Sosial", disampaikan Profesor Nor Hashimah Jalaluddin, dari Universiti Malaysia Perlis.

Beliau menekankan bahawa peribahasa Melayu bukan sekadar ungkaan berkias, sebaliknya mengandungi ilmu, falsafah dan milai kehidupan yang terbentuk daripada pemerhatian masyarakat Melayu terhadap alam sekitar.

Profesor Nor Hashimah menambah bahawa peribahasa berperanan sebagai wadah untuk mendidik masyarakat tentanag adab, tingkah laku serta hubungan sesama manusia.

"Ia merupakan satu ilmu yang untuk menasihat masyarakat, mendidik masyarakat, menghargai alam sekitar dan memahami makna yang ingin disampaikan supaya kita jadi manusia yang beradab, yang menyayangi alam sekitar kita, yang memahami apa yang patut kita buat dalam bertingkah laku," ujarnya.

Syarahan Perdana MAS merupakan antara inisiatif NIE untuk meneruskan legasi Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad.

Ia juga menggalakkan perkongsian ilmu serta perbincangan mengenani perkembangan bahasa, sastera dan kenudayaan Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita