Skip to main content

Singapura

Nicole Seah, Leon Perera letak jawatan; bagaimana hubungan sulit mereka terbongkar

Anggaran Waktu Membaca:
Nicole Seah, Leon Perera letak jawatan; bagaimana hubungan sulit mereka terbongkar

(Gambar: Facebook/Nicole Seah, CNA/Goh Chiew Tong)

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) mengadakan sidang media pada Rabu (19 Jul) bagi mengumumkan peletakan jawatan dua anggota kanannya iaitu Leon Perera dan Nicole Seah yang mengaku menjalin hubungan sulit.

Setiausaha Agung WP Pritam Singh berkata Encik Perera, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, sudah memaklumkan pemangku Speaker Parlimen bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai AP.

Pasangan itu sebelum ini duduk dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP. Encik Perera mengetuai pasukan media WP manakala Cik Seah bertindak sebagai presiden sayap belia parti tersebut.

Berikut adalah garis masa rentetan insiden yang membawa kepada peletakan jawatan Encik Perera dan Cik Seah dari WP.

GE2020

Semasa Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), Encik Perera menyertai pasukan GRC Aljunied yang dipimpin ketua parti Pritam Singh. Mereka menang hampir 60 peratus undi.

Pasukan WP terdiri daripada Encik Singh, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap, dengan Encik Perera dan Encik Gerald Giam sebagai anggota baharu yang menggantikan Encik Chen Show Mao dan Encik Low Thia Khiang.

Encik Perera membuat penampilan pertama dalam bidang politik apabila beliau menjadi calon bagi GRC East Coast semasa pilihan raya umum 2015. Beliau kemudian menjadi AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sebelum menyertai pasukan yang mengekalkan kubu kuatnya di GRC Aljunied.

Pada GE2020, Cik Seah adalah antara calon WP yang menandingi pasukan PAP di GRC East Coast yang dipimpin Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Pasukan WP kalah kepada pasukan PAP yang berjaya meraih 53.41 peratus undi.

Pada lewat tahun itu, Cik Seah dipilih sebagai anggota CEC parti tersebut.

Cik Seah menyertai WP pada 2015 selepas menganggotai Parti Reform dan Parti Perpaduan Nasional. Beliau menjadi tumpuan netizen sebagai calon wanita paling muda pada pilihan raya umum 2011, ketika itu berusia 24 tahun.

SELEPAS GE2020

Menurut Encik SIngh, Encik Perera dan Cik Seah mengaku menjalin hubungan sulit "sejurus selepas" GE2020 tetapi hubungan itu sudahpun berakhir.

Kedua-dua Encik Perera dan Cik Seah sudah berumahtangga.

Encik Perera, yang berusia 53 tahun pada tahun ini, mempunyai dua orang anak. Cik Seah, 36 tahun, baru melahirkan anak perempuan keduanya pada April tahun lalu.

2021

Semasa sidang media pada Rabu Encik Singh mendedahkan bagaimana beliau dihampiri pemandu Encik Perera "sekitar lewat 2020 dengan awal 2021".

Pemandu itu menulis dalam kiriman mesej WhatsApp bahawa Encik Perera dan Cik Seah "sering" berjumpa di restoran dan hotel, dan dilihat berpelukan dan berpimpin tangan.

Encik Singh berkata pada Rabu bahawa tiada bukti atau maklumat pada waktu itu untuk menyokong dakwaan berkenaan. Beliau bertanya Encik Perera dan beliau menafikan dakwaan tersebut.

"Leon mengesahkan bahawa dakwaan pemandunya itu tidak benar. Leon juga berkongsi dengan saya bahawa ada pertikaian antara dirinya dengan pemandu itu, dan beliau dalam proses menamatkan khidmatnya serta mendapatkan nasihat guaman berhubung dakwaan pemandu itu," kata Encik Singh.

Pemandu itu juga "banyak berkongsi maklumat serupa" dengan anggota-anggota lain parti berkenaan, jelasnya.

Anggota-anggota berkenaan - Cik Sylvia Lim, Encik Gerald Giam, Encik Dennis Tan dan Encik Jamus Lim - dinamakan dalam sebilangan laporan media.

"Apabila mereka menerima mesej berkenaan daripada pemandu Leon, mereka semua cuba mendapatkan pengesahan daripada Leon. Leon memberitahu mereka bahawa dakwaan itu tidak benar," tambah Encik Singh.

Beliau juga berkata tidak ada "bukti" bagi menyokong dakwaan yang dibuat, dan ia juga datang dari sumber yang mana khidmatnya akan ditamatkan.

"Dalam pertimbangan kami, adalah paling wajar unuk bercakap sendiri dengan Leon. Dan jawapan yang beliau berikan kepada saya... mencadangkan bahawa saya perlu berhenti berbual mengenai perkara itu," kata Encik Singh.

"Bagaimanapun, sekiranya wujud elemen berlainan atau baharu dalam isu itu, misalnya, timbul bukti atau sumber lain yang menyokong dakwaan itu bagi mengesahkan bahawa ia merupakan satu masalah, tentu sekali parti akan mengambil tindakan yang berbeza."

Beberapa anggota CEC juga secara berasingan menghampiri Cik Seah berhubung dakwaan itu, yang turut disangkal Cik Seah.

17 Jul 2023

Sebuah video tersebar online, yang mencadangkan Encik Perera sedang makan bersama Cik Seah sambil memegang dan membelai tangannya.

Tidak diketahui bila atau di mana video itu dirakam. Ia kali pertama dimuat naik oleh pengguna Facebook "Victoria Wang" dan setakat lewat petang Selasa, video dan akaun itu tidak lagi ditemui.

Encik Singh berkata beliau kali pertama ternampak video itu pada Isnin dan tidak tahu bila atau di mana ia dirakam.

Beliau segera menghubungi Encik Perera dan merancang untuk bertemunya petang itu juga. Beliau juga mengatur untuk berjumpa Cik Seah secara berasingan pada hari yang sama.

"Mereka kecewa dengan diri mereka sendiri. Mereka kecewa dengan... atas perasaan yang dilukai" kata Encik Singh.

"Dalam kes Leon, tentu sekali kerana melukakan perasaan anggota keluarganya. Bagi Nicole pula, beliau sudah menjelaskan dengan orang-orang yang tersayang untuk berbincang mengenai hal itu dan beliau sudah cuba menghuraikan isu itu sebelum ini. Dan proses mengubati rasa terluka itu bermula lebih awal lagi selepas hubungan mereka tamat."

CEC WP bertemu lewat petang itu bagi membincangkan perkara tersebut dan "sudah membuat keputusan", kata Encik Singh.

18 Jul 2023

Cik Seah meletak jawatan dari WP pada Selasa.

"Saya benar-benar memohon maaf kerana memusnahkan reputasi parti ini dan menjejas kerja keras anggota dan relawannya," tulis beliau dalam surat peletakan jawatannya.

"Tindakan saya bersifat mementingkan diri sendiri dan cuai. Dengan melanggar tatasusila, saya menyebabkan kekecewaan besar kepada pengundi di GRC East Coast dan sejumlah besar anggota dan relawan yang mengorbankan masa peribadi dan sumber mereka untuk menyokong kerja-kerja menyeluruh di lapangan yang telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu."

19 Jul 2023

Encik Perera meletak jawatan dari parti itu pada Rabu, kata Encik Singh semasa sidang media tersebut.

Dalam surat peletakan jawatannya, Encik Perera berkata beliau tidak memenuhi standard yang ditetapkan bagi dirinya.

"Saya berharap dapat memberi tumpuan pada keluarga saya dalam minggu-minggu dan bulan akan datang supaya saya dapat menangani perasaan mereka yang telah saya sakiti, yang juga penyesalan terbesar saya," tambah beliau.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita