Skip to main content

Singapura

Niat nak menipu, tidak sengaja hubungi pegawai ICA sebenar

Anggaran Waktu Membaca:
Niat nak menipu, tidak sengaja hubungi pegawai ICA sebenar
Diterbitkan : 27 Oct 2022 10:48PM Dikemas Kini : 27 Oct 2022 10:49PM
SINGAPURA: Sebuah video dimuat naik Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) ke Facebook dan TikTok baru-baru ini menunjukkan seorang pegawainya ASP Kelvin Teo menjawab panggilan dari seorang penipu menyamar sebagai pegawai ICA.

Video itu bermula dengan ASP Teo mendengar pesanan automatik yang memberitahu beliau nombor pasportnya "tersalah daftar" dan beliau perlu menekan nombor lima untuk bercakap dengan khidmat pelanggan.

ASP melakukan seperti yang diminta dan menunggu "pegawai khidmat pelanggan" untuk membantunya.

Beliau langsung melayan penipu tersebut dengan berkongsi masalah yang dihadapinya.

Penipu itu kemudian meminta ASP Teo memberi nama penuhnya dengan beliau memberi nama samaran "Dong Bee Lee". Berlagak seakan-akan memeriksa sistem ICA, penipu itu memberitahu ASP Teo terdapat 'kesilapan' dalam pasportnya dan ia tidak lagi sah digunakan.

Apabila ditanya cara unutk mengatasi masalah pasport itu, penipu tersebut meminta ASP Teo memberi nombor kad pengenalannya (IC) supaya pasport beliau dapat 'dihidupkan' semula. ASP Teo mula menanyakan sebab ICA tidak mempunyai rekod IC dalam sistemnya.

Tidak boleh menjawab soalan ASP Teo, penipu itu terus mendesak dia perlukan nombor IC tersebut, malah mengugut untuk membatalkan pasportnya jika ASP Teo bekerjasama.

Apabila penipu itu memberitahu ASP Teo bahawa pejabatnya di ibu pejabat ICA, ASP Teo akhirnya mendedahkan bahawa beliau sendiri seorang pegawai ICA yang bertugas di ibu pejabat ICA. Beliau juga memberitahu penipu tersebut perbuatannya itu bukan amalan yang dilakukan di ICA.

"Kami tidak akan pernah meminta maklumat peribadi. Disebabkan itu saya tidak percaya anda!", kata ASP Teo.

Penipu tersebut serta merta letakkan telefon.

Video itu diakhiri dengan ASP Teo membuat pengumuman awam kepada orang ramai tentang panggilan-panggilan sedemikian. Beliau memberi amaran kepada warga Singapura agar jangan menjawab sebarang panggilan mencurigakan daripada individu yang mendakwa dirinya dari pegawai imigresen dan meminta maklumat peribadi atau butiran kewangan.
Sumber : Agensi berita/HY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita