Skip to main content

Singapura

NHB pelawa idea, saranan bangunkan projek warisan maya Kampong Gelam

Pengunjung ke Kampong Gelam, tidak lama lagi, boleh menyusuri sorotan warisan kawasan itu dengan lebih lancar secara sendiri tanpa ditemani pemandu pelancong.

Anggaran Waktu Membaca:
NHB pelawa idea, saranan bangunkan projek warisan maya Kampong Gelam

Gambar hiasan kawasan Kampong Gelam. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 11 Aug 2021 09:00PM Dikemas Kini : 11 Aug 2021 09:02PM

SINGAPURA: Pengunjung ke Kampong Gelam, tidak lama lagi, boleh menyusuri sorotan warisan kawasan itu dengan lebih lancar secara sendiri tanpa ditemani pemandu pelancong.

Ini boleh dilakukan apabila sebuah pengalaman warisan maya berasaskan web yang baru dirintiskan menjelang hujung 2021.

Laman web itu dalam proses dibangunkan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB), menurut badan itu dalam satu kenyataan media pada Rabu (11 Ogos).

Namun, tambahnya, ia juga mahu mendapatkan sumbangan kreatif masyarakat dengan melibatkan artis dan pencipta tempatan untuk menjadi sebahagian daripada proses projek tersebut.

Matlamatnya adalah untuk membolehkan pengunjung ke Kampong Gelam meneroka persekitaran seperti pemandangan maya serta lawatan 3D untuk mempelajari tentang sejarah kawasan itu dan budayanya yang bertenaga.

Related article image
(Gambar fail: Calvin Oh)

Mulai sekarang sehingga 31 Ogos, NHB mengalu-alukan saranan bagi projek digital berkenaan di bawah inisiatif tahunannya, 'DigiMuse Presents'.

Inisiatif itu bertujuan melibatkan sektor teknologi lebih luas bagi mengumpulkan idea dan menyemarakkan lagi sektor kebudayaan di sini.

Saranan idea bagi projek yang diserahkan itu haruslah menerapkan ciri-ciri mendampingi masyarakat tempatan mahupun antarabangsa dan membuat mereka teruja untuk meneroka kawasan Kampong Gelam, baik secara fizikal atau maya.

Menurut NHB para artis dan pencipta tempatan yang mahu mengambil bahagian boleh mencedok inspirasi dari mercu-mercu tanda di Kampong Gelam seperti Taman Warisan Melayu dan memanfaatkan pameran, sejarah serta koleksi di pusat tersebut.

Related article image
Istana Kampong Gelam. (Gambar: NHB)

Selain itu, mereka juga boleh memetik idea dari jejak warisan dan Galeri Warisan Sudut Jalan di kawasan Kampong Gelam atau kandungan warisan dan kebudayaan lain yang boleh didapati di portal warisan NHB, Roots.gov.sg.

Apapun cadangan yang diserahkan, tujuan adalah:

- Meningkatkan kesedaran awam bahawa teknologi boleh membantu menambah baik pengalaman warisan dan budaya

- Bereksperimen dengan teknik-teknik digital yang menggalak pelibatan masyarakat dan penghasilan kandungan oleh masyarakat serta

- Menjadikan kandungan dan koleksi NHB lebih mudah diakses

Semua penyerahan cadangan projek digital yang diterima akan disemak oleh barisan panel terdiri daripada wakil NHB.

Saranan terpilih akan diumumkan pada Oktober, dengan setiap yang terpilih masing-masing menerima hingga S$25,000.

Projek-projek yang sudah selesai akan dipamerkan di wadah pengalaman warisan maya berasaskan web NHB serta di Roots.gov.sg pada hujung tahun ini, sebagai sebahagian daripada program tahunan 'DigiMuse Presents'.

Pengarah Program projek Digimuse, Encik Jervais Choo, berkata: "Kami berharap kerjasama dengan masyarakat ini akan membolehkan kami untuk terus membina landskap warisan tempatan yang bersemangat yang dikongsikan bersama masyarakat rencam kita."

"Kami sedar potensi besar memanfaatkan teknologi digital yang baru muncul dalam menghubungkan yang maya dan yang fizikal. Kami berharap dapat menghidupkan kawasan Kampong Gelam dengan projek digital baru ini," ujarnya lanjut.

Semua cadangan projek mesti diserahkan secara elektronik ke emel DigiMuse (DigiMuse [at] nhb.gov.sg) selewat-lewatnya jam 4.00 petang pada 31 Ogos.

Bagi maklumat lanjut sila rujuk ke laman https://go.gov.sg/digimuse. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita