NHB lancar pameran bergerak 'Love,Kebaya'
BERITAmediacorp: Lembaga Warisan Negara (NHB) telah melancarkan satu pameran bergerak yang diberi nama 'Love, Kebaya'.
Pameran di Muzium Negara Singapura itu mengetengahkan kepentingan kebaya sebagai suatu warisan hidup yang dikongsi bersama di rantau ini.
"Melalui pameran ini kami mengetengahkan beberapa reka bentuk kebaya. Ini kerana kami juga ingin memupuk kesedaran terutama di kalangan orang muda mengenai beberapa reka bentuk kebaya.
"Kebaya bukan sesuatu yang hanya kita pakai ketika kenduri-kendara ataupun majlis perkahwinan, tetapi ada juga reka bentuk kebaya yang selesa dan sesuai, dan boleh kita pakai untuk ke (tempat) tugas," kata Pengurus Besar Taman Warisan Melayu, Cik Asmah Alias.
KEBAYA KEMBEN ANTARA DITAMPILKAN
Pameran 'Love Kebaya' menampilkan enam pasang baju kebaya serta koleksi gambar kebaya yang dipakai oleh wanita daripada pelbagai masyarakat di Singapura, termasuk Melayu, Peranakan dan Serani, merentasi tempoh masa yang berbeza-beza dan majlis.

Antaranya, kebaya oleh Toko Aljunied, kebaya panjang oleh Ratianah Tahir, dan kebaya kemben.oleh Baju by Oniatta & Galeri Tokokita.
Pengasas Baju by Oniatta, Cik Oniatta Effendi berbesar hati diberi peluang untuk menyertai pameran bergerak itu.
Beliau mempamerkan Kebaya Kemben biru tua dengan sentuhan kontemporari.
"Kebaya kemben itu memaparkan dua elemen - pertama adalah kemben. Bagaimana kita tahu melalui buku-buku sejarah hitam putih, wanita-wanita hanya memakai kain kemben, iaitu kain yang sangat panjang untuk menutupi bahagian badan di atas. Dan itu dipadankan dengan kain batik. Selepas itu kebaya itu adalah untuk menutup kemben itu."
"Jadi kebaya kemben itu adalah sesuatu yang saya rasa agak kontemporari supaya pemakai pada zaman ini dapat melihat sesuatu yang moden tetapi tidak lari dari apa yang tradisional," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Bagi Cik Oniatta, kebaya bukan sahaja menampilkan keanggunan dan kesopanan si pemakai, tetapi juga melambangkan budaya dan tradisi masyarakat Asia Tenggara.
"Dalam usaha melestarikan warisan, budaya dan tradisi, harapan saya adalah kita akan teruskan perjuangan ini. Banyak sekali perkara yang perlu dilakukan untuk kami mempertingkatkan pengetahuan tentang tradisi, warisan, budaya," uja Cik Oniatta lagi.
USAHA-USAHA PROMOSIKAN KEBAYA
Lebih banyak program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaya telah dilakarkan.
Taman Warisan Melayu akan menampilkan busana kebaya menerusi beberapa program.
Ia termasuk video tahunan Hari Raya pada April ini, serta pameran mengenai tekstil Melayu pada pertengahan Jun 2023.

"Kami akan meneruskan usaha untuk mempromosikan dan memelihara mengenai pengetahuan, tradisi, dan juga kemahiran dan amalan-amalan yang berkaitan dengan kebaya. Juga, kami akan terus menggalakkan masyarakat untuk berkongsi gambar-gambar mereka mengenai kebaya dan rasa cinta mereka terhadap kebaya dan menggunakan #weheartkebaya," tambah Cik Asmah Alias.
Muzium Peranakan pula akan menganjurkan satu pameran kebaya pada Jun, yang akan menampilkan dan meraikan kebaya sebagai busana yang dipakai kaum wanita dari pelbagai masyarakat di Asia Tenggara.
Pameran 'Love Kebaya' itu menyusuli kerjasama lima negara iaitu Singapura, Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand untuk mencalonkan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.
Pameran 'Love Kebaya' akan berlangsung di Muzium Negara Singapura sehingga 23 April ini, sebelum berpindah ke Taman di Persisiran dan Hab Tampines Kita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.