NHB lancar Jejak Warisan Sentosa, tampilkan 3 laluan bertema
Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Khamis (17 Mac) melancarkan Jejak Warisan Sentosa - daya usaha pertama daripada 22 jejak warisan yang terletak di luar tanah besar Singapura.
SINGAPURA: Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Khamis (17 Mac) melancarkan Jejak Warisan Sentosa - daya usaha pertama daripada 22 jejak warisan yang terletak di luar tanah besar Singapura.
Dari bekas monorel ikonik di Sentosa ke jeti Siloso yang tidak diketahui ramai, jejak warisan terbaru Singapura itu menyusuri perubahan pulau tersebut daripada sebuah kompleks tentera hinggalah menjadi destinasi riadah.
Dibangunkan NHB dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), Jejak Warisan Sentosa menampilkan 30 tapak warisan termasuk monumen negara Fort Siloso yang diwartakan baru-baru ini serta Barracks Hotel Sentosa.

Selain mencartakan perubahan pulau itu, jejak warisan tersebut bertujuan berkongsi kisah-kisah masyarakat yang dahulunya pernah menetap di sana. Ini di samping mengetengahkan kisah pembangunan semula Sentosa yang moden, menurut NHB dan Sentosa dalam kenyataan medianya.
Laluan pertama jejak warisan itu dipanggil “Kampongs and Barracks”. Sepanjang tiga kilometer, laluan tersebut memberi peluang kepada pengunjung meneroka kehidupan dan mata pencarian masyarakat Pulau Blakang Mati serta ruang kediaman mereka.
Antara tapak terkenal yang akan dilihat sepanjang laluan jejak warisan itu termasuk bekas hospital tentera serta laluan Sentosa Gateway.

Laluan kedua yang lebih panjang, iaitu sejauh empat kilometer, dipanggil "Forts". Ia meneroka kubu di Sentosa yang dijadikan sebagai benteng tentera ada lewat tahun 1800-an. Sorotan laluan ini termasuk Fort Siloso dan Fort Serapong.
Laluan terakhir - “Memories of Sentosa” - pula sepanjang 2.5 kilometer. Ia memaparkan beberapa bekas daya tarikan di pulau tersebut. Orang ramai diajak melawat semula lokasi-lokasi itu dan mengimbau kembali kenangan yang terkait dengannya.
Laluan ketiga ini merangkumi tapak-tapak seperti bekas Air Pancut Berirama dan bekas Terminal Feri.
Peta jejak warisan serta panduan laluan tersebut boleh dimuat turun dari portal warisan NHB dan laman web Sentosa.
Salinan cetak panduan itu juga akan disediakan buat tempoh masa terhad di ibu pejabat NHB di Stamford Court.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.