NHB akan lancar kit sumber, cenderamata, permainan digital selepas kebaya diiktiraf UNESCO
Dalam catatannya di Facebook, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata pencapaian itu wajar diraikan.
"Sebagai pengiktirafan kedua Singapura dalam UNESCO dan yang pertama bagi pencalonan berbilang negara (yang terbesar oleh Asia Tenggara setakat ini, dari segi jumlah negara yang mencalonkannya) melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, ia satu pencapaian yang semestinya diraikan," kata Encik Tong yang juga Menteri Kedua Undang-Undang.
"Kebaya lebih dari sekadar sehelai pakaian, ia tradisi malar segar (living tradition) yang mencerminkan sejarah, jati diri dan keindahan seni. Masyarakat yang memakai kebaya telah mendakap seni sulaman yang halus dan rumit dengan jahitan sendiri yang melambangkan budaya mereka, dengan ciri-ciri yang melambangkan warisan kita yang dikongsi bersama," tambahnya.
Beliau juga mengajak orang ramai untuk sama-sama meraikan pencapaian itu dan terus menghargai serta memelihara warisan budaya yang kaya untuk generasi akan datang.
Hasil pencalonan itu diumumkan semasa Sesi ke-19 Persidangan Jawatankuasa Antara Pemerintah bagi Memelihara Warisan Budaya Tidak Ternilai yang diadakan di Paraguay pada Selasa (4 Dis).
Ia disaksikan oleh sekurang-kurangnya 130 wakil negara dan pertubuhan bukan pemerintah.
Menurut Lembaga Warisan Negara (NHB), pengiktirafan itu membawa komitmen dan tanggungjawab untuk sama-sama memelihara dan melestarikan budaya warisan itu.
Selain meningkatkan kesedaran tentang kebaya, ia juga membuka peluang untuk mengadakan dialog silang budaya dan menjalin kerjasama bagi memelihara kebaya untuk generasi akan datang.
USAHA UNTUK TERUS LESTARIKAN WARISAN KEBAYA
Sejak pencalonan itu, pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaya.
Bagi meneruskan usaha setelah mendapat pengiktirafan UNESCO, Lembaga Warisan Negara (NHB) akan membangunkan dua sumber utama bagi murid sekolah rendah.
Bagi murid darjah 4 hingga 6, sebuah permainan digital kebaya akan dilancarkan dalam suku pertama tahun depan.
Kit sumber kebaya (resource kit) juga akan dihasilkan untuk murid darjah 1 hingga 3 tahun depan.
Ini bagi meningkatkan kesedaran sekali gus memupuk minat terhadap kebaya.
Di samping itu, NHB akan bekerjasama dengan Sekolah Reka Bentuk dan Media Politeknik Nanyang untuk menghasilkan cenderamata seperti 'keychain' bertemakan kebaya yang akan mula dikeluarkan pada Mac 2025.
Usaha ini diharap dapat memupuk minat dalam kalangan belia untuk menghayati dan menimba ilmu tentang kebaya.
Anda juga boleh tonton dokumentari 'Kebaya Gaya Nusantara' terbitan Mediacorp di pautan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.