Skip to main content

Singapura

NHB akan kaji jika 38 Oxley Road wajar dipelihara; timbang semua pilihan

Anggaran Waktu Membaca:
NHB akan kaji jika 38 Oxley Road wajar dipelihara; timbang semua pilihan

38 Oxley Road. (Gambar: CNA/Howard Law)

Diterbitkan : 24 Oct 2024 01:47PM Dikemas Kini : 25 Oct 2024 12:48AM
SINGAPURA: Lembaga Warisan Negara (NHB) akan mengkaji tapak Oxley Road untuk menilai sama ada ia wajar dipulihara sebagai monumen negara.

NHB akan menilai sama ada tapak itu ada kepentingan dari segi sejarah, warisan dan seni bina, menurut lembaga itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (24 Okt), sambil menambah bahawa rakyat Singapura menyuarakan "pandangan yang berbeza-beza" mengenai perkara itu.

Jika ia mengarahkan agar tapak itu dipulihara, NHB menyatakan pemerintah "akan ada masa yang yang diperlukan" untuk menimbangkan pelbagai pilihan yang sudah dikenal pasti dalam laporan jawatankuasa menteri pada 2018 mengenai 38 Oxley Road.

Laporan pada 2018 itu menyimpulkan bahawa meskipun mendiang Encik Lee Kuan Yew memilih untuk merobohkan kediaman itu, beliau bersedia menerima pilihan lain - jika ia dibaik pulih dan dijaga dalam keadaan boleh didiami di samping melindungi privasi keluarganya, menurut NHB.

Anak bongsu mendiang Encik Lee Kuan Yew, Encik Lee Hsien Yang pada 15 Okt berkata beliau akan memohon untuk merobohkan rumah tersebut, beberapa hari selepas kakaknya, Dr Lee Wei Ling meninggal dunia.

<<BACA>>

 
Menurut NHB, beliau memohon kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 21 Oktober untuk menjalankan kerja-kerja merobohkan rumah itu.

"Namun, mengambil langkah sedemikian sekarang akan mengecualikan pertimbangan yang betul dan dilakukan sepenuhnya bagi pilihan-pilihan tersebut," menurut NHB dalam kenyataannya.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong menerusi catatan Facebooknya pada Khamis (24 Okt) berkata "kami tidak rasa sebarang pilihan yang ada harus dikecualikan, ditolak pada waktu ini".

"Penting untuk kita menangani perkara ini dengan fikiran terbuka, selain memastikan pilihan juga terbuka. Masa akan membantu kita untuk menghargai dengan lebih baik perkara ini dalam konteks yang betul, dengan berpandangan jauh."

Kajian itu akan dijalankan oleh lembaga penasihat pemuliharaan tapak warisan dan monumen, yang termasuk para pakar dari pelbagai sektor.

NHB kemudian akan menyerahkan saranannya kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) untuk memutuskan sama ada untuk mengeluarkan perintah pemuliharaan bagi tapak tersebut di bawah Akta Pemeliharaan Monumen.

Jika menteri memutuskan untuk memulihara tapak itu, NHB akan memaklumkan kepada pemilik dan penghuni supaya menyerahkan sebarang bantahan "dalam tempoh munasabah" sebelum menteri membuat keputusan muktamad.

Jika pemerintah memutuskan untuk memulihara tapak itu sebagai monumen negara, semua pilihan bagi akan ditimbangkan oleh pemerintah sekarang dan masa akan datang, menurut NHB.

Perintah pemuliharaan boleh dipinda atau dibatalkan dan tiada pengezonan semula atau penggunaan alternatif bagi tapak tersebut akan dibenarkan sehingga keputusan dimuktamadkan, tambahnya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita