Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ng Kok Song mahu dekati lebih ramai penduduk dari pelbagai latar belakang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bakal calon Pilihan Raya Presiden, Ng Kok Song berkata pasukan yang menyokong pencalonannya mempunyai kekuatan dari segi hati nurani mereka berbanding pemikiran.

Namun kata Encik Ng, beliau akan hanya mengumumkan pasukannya selepas beliau diiktiraf layak untuk bertanding bagi jawatan itu.

Kenyataan itu dibuat Encik Ng sehari selepas Encik Tharman Shanmugaratnam mengumumkan barisan penyokongnya.

"Senarai orang yang bersetuju dengan pencalonan Encik Tharman sebagai presiden yang diumumkan semalam sangat mengagumkan. Saya masih dalam perancangan berhubung senarai penyokong saya dan sedang buat banyak kemajuan," kata Encik Ng.

"Namun saya tidak boleh umumkan senarai saya sehingga saya disahkan layak bertanding jawatan Presiden tetapi saya sedang mengusahakan pencadang saya, penyokong saya dan senarai orang yang bersetuju dengan pencalonan saya," tambahnya.

Bakal calon presiden, Ng Kok Song, bercakap kepada media di Pasar Geylang Serai pada 27 Jul 2023. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)
Beliau yang juga Mantan Ketua Pegawai Pelaburan Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) akur beliau kurang dikenali ramai penduduk Singapura.

Dengan itu beliau bertekad untuk mendekati lebih ramai orang dari pelbagai lapisan masyarakat di sini.

Untuk itu, beliau ke beberapa tempat tumpuan masyarakat seperti ke Kuil Sikh pada Ahad lalu (23 Jul) dan ke Geylang Serai hari ini (27 Jul).
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Sepanjang kira-kira dua jam Encik Ng berada di Pusat Penjaja dan Pasar Geylang Serai, beliau sempat beramah mesra dengan para pegerai dan pengunjung kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat Melayu itu.

Beliau menarik perhatian tentang kepentingan menjaga hubungan baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura dan peranan seorang presiden bagi menyatukan rakyat.

Encik Ng juga mengambil kesempatan itu untuk menikmati hidangan-hidangan sarapan Melayu seperti lontong dan mi rebus bersama tunangnya, Cik Sybil Lau di situ.

"Saya suka ke pasar. Saya lakukannya tiga kali dalam seminggu tetapi saya tidak lakukannya sebagai ketua politik. Hari ini saya sangat gembira kerana ramai yang saya jumpa, saya menyapa mereka, mereka senyum balik kepada saya dan saya dapat kaitkan diri saya dengan mereka. Saya sangat teruja dapat lakukan perkara ini," kata beliau.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Encik Ng, 75 tahun, menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada Rabu lepas (19 Jul).

Menurutnya, tujuan utama beliau mahu bertanding bagi jawatan presiden adalah supaya penduduk boleh membuat pilihan dan menekankan bahawa seorang presiden tidak wajar ada kaitan politik.

"Saya tampil ke hadapan supaya ada pilihan raya dan supaya rakyat Singapura diberi peluang untuk memilih presiden mereka," ujar Encik Ng.

"Salah satu perkara dalam era baru pemerintahan di Singapura adalah keseimbangan dalam jawatan presiden Ketua Negara dan pemerintah. Jadi saya fikir rakyat Singapura hendak melihat keseimbangan dalam era baru di mana presiden itu lebih daripada politik dan tidak ada kaitan dengan politik," tambahnya.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Dalam pada itu, beliau turut mengatakan akan melakukan lebih banyak lawatan ke tempat-tempat ibadah pelbagai masyarakat di Singapura dalam minggu-minggu mendatang.

Selain Encik Ng, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik George Goh juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden kali ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan